BAB 2

11.5K 1K 154
                                    

- not edited-

BAB 2

Nickolai patut berjaga-jaga dari awal lagi. Sejak hari dia dimulakan dengan mandi air simbahan baldi Mario, dia tahu harinya ini akan penuh dengan sial. Dalam perjalanan, nyaris kemalangan. Ketika tiba, suasana bertukar mendung, bagaikan mahu hujan. Dan ketika dia menyerahkan cek sumbangan, ketika itulah hujan mula turun.

Majlis pula dilakukan di tempat terbuka. Maka... bertempiaran larilah semua orang mencari tempat perlindungan sambil terjerit-jerit, seolah-olah yang turun itu bukan hujan tapi asid. Hilang segala protokol.

Dramatis!

Nickolai sendiri mencari tempat terdekat untuk berteduh. Mario pula hilang entah ke mana. Cari payung untuknya katanya.

"I'm gonna sue the weather forecaster and the materiologist. Sunny morning, huh?" bebel Nickolai sambil menggosok-gosok lengan bajunya untuk menghilangkan sisa air hujan. Wajah berkerut tak puas hati.

Kemudian pandang langit. Hujan masih renyai. Tapi melihat warna hitam di dada langit, dia yakin renyai akan bertukar lebat. Kalau tak bernasib baik, boleh jadi siap dengan guruh dan petir.

Makin merudum mood Nickolai tapi pada masa yang sama dia rasa lega. Sedar tak sedar, semua ini singkatkan masa dia di sini. Dia punya alasan untuk balik awal.

Di balik bunyi hujan yang menimpa bumi itu, tiba-tiba telinga Nickolai menangkap bunyi sesuatu. Suara yang sedang bersenandung, diiringi oleh ketawa perlahan. Kepalanya automatik berpusing ke arah itu. Tercari-cari siapa gerangannya, tapi dia tak nampak sesiapa.

Nickolai jadi tertanya-tanya. Maka dia berjalan mengikut arah bunyi itu. Kakinya membawanya ke satu taman bunga kecil yang cantik. Makin lama, makin jelas kedengaran. Dan langkah Nickolai terpaku.

Kelihatan seorang gadis dalam lingkungan awal dua puluhan sedang menari di dalam hujan. Berkaki ayam. Namun, dengan gaun merah jambu dan rambut blonde separas pinggang yang didandan rapi, figuranya kelihatan seperti seorang puteri.

Gadis itu terus bersenandung dan menari. Bagaikan berada di dunianya sendiri. Wajahnya jelas gembira, buatkan wajah berkerut Nickolai turut sirna.

Tanpa sedar, kaki Nickolai melangkah ke arah gadis itu. Bagaikan ada magnet menariknya. Bagaikan dipukau. Sampai tubuh sendiri kena hujan pun Nickolai masih tak sedar. Dia hanya sedar apabila mendengar suara lunak itu.

"Monica?"

Gadis itu sudah berhenti menari dan berpusing ke arahnya. Tubuh Nickolai terus kaku.

Jeda.

"Per favoure (please)... saya taknak masuk lagi. Bagi saya lima minit. Lepas ni saya janji saya masuk. Saya belum puas. Please... please... please...." Suaranya seakan-akan sedang memujuk. Bibir dijebik untuk memancing simpati. Berwajah comel. Dah pasti ini semua senjata untuk buat orang kalah dengan permintaannya.

Nickolai masih pegun. Hanya memandang gadis itu. Gadis itu juga sedang memandangnya. Tepat. Hanya beberapa langkah yang memisahkan mereka. Dan Nickolai sedar sesuatu.

Dia... tak nampak. Gadis itu tidak dapat melihatnya.

Buta.

"Jangan beritahu papa," kata gadis itu lagi dengan senyum manisnya apabila tiada jawapan. Mungkin menganggap diam itu tanda setuju.

Gadis itu tak sambung menari. Hanya tadahkan kedua-dua tangannya untuk merasai air hujan itu.

Nickolai hanya memerhati. Masih membatukan diri. Dia pun tak tahu kenapa dia masih belum berganjak atau memperbetulkan tanggapan gadis itu. Biarkan gadis itu terus menganggapnya Monica.

SAPPHIRE (Siri Permata #1)Where stories live. Discover now