Bab 2

4.3K 391 56
                                    

JAM penggera yang berbunyi lantang membuatkan Alisa mengeluh kemalasan. Tangannya cuba menggapai jam itu untuk dimatikan. Dibaling jam itu ke dinding setelah cubaannya untuk mematikan jam itu gagal. Matanya terkebil-kebil akibat silauan cahaya matahari yang menerjah masuk dari tingkap biliknya.

"Cepat bangun Al, pagar tutup kejap lagi," Laung suara Erisa dari luar biliknya. Alisa menguap kemalasan. Kejadian malam semalam masih terngiang-ngiang di mindanya. Bibirnya mengukir senyuman, hujung rambutnya yang terkena cat dipandang sekilas. Akibat keletihan dia langsung tertidur setelah pulang dari restoran.

Perlahan-lahan Alisa bangkit dari katil dan menapak ke bilik air. Ditarik sedikit seluar tidurnya yang terlondeh. Pancuran air kedengaran dari luar pintu bilik Alisa diiringi suara nyaring gadis tersebut menyanyi di dalam bilik air.

Erisa menggeleng kepala dan bergegas menuruni tangga. Langkahnya dituju ke peti sejuk. Diambilnya sekotak air milo dan disedut laju. Pembantu rumah mula menghidangkan sarapan di atas meja. Erisa cuma mengambil roti telur dan mengemamnya di mulut. Dia menggapai kunci motornya dan bergegas ke garaj. Jam tangan dikilas sesaat cuma.

"Lantak kau la Al, kau yang lambat bukan aku," Enjin motor dihidupkan dan helmet disarung di kepala. Motornya berlalu dari kawasan perumahan dengan deruman enjin yang kuat.

Alisa bernyanyi riang sepanjang dia menuruni tangga, sarapan yang dihidangkan langsung tidak dipandang. Melihatkan motor Erisa sudah tiada, laju sahaja dia masuk ke dalam kereta dan bergegas keluar. Mahu mengejar masa yang sudah dibuang akibat menyental cat yang tidak mahu tanggal dari rambutnya.

Dalam perjalanan, Alisa bersiul-siulan sambil mendengar lagu dari radionya pada tahap kelantangan yang paling tinggi. Kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak lagu yang disiarkan. Jalan yang agak sunyi membolehkan Alisa untuk memecut keretanya dengan sesuka hati.

Sedang dia menekan butang untuk menukar siaran radio, sesusuk tubuh yang melintasi jalan raya membuatkan Alisa menekan brek dengan serta merta.

Degupan jantungnya amat kencang sehingga dapat didengari oleh dirinya sendiri. Alisa meraup wajahnya dengan perlahan. Dia memerhati seorang lelaki yang berpakaian kusut sedang menunduk ke bawah.

Alisa menurunkan cermin keretanya. "Hello? Encik tak apa-apa ke?" Soalannya tidak dijawab. Tiba-tiba Alisa berang kerana diabaikan.

"Hey? Encik? Helloooooooooo?" Setelah kali kedua tidak dijawab. Alisa melihat sekilas ke arah jam tangannya. Dia menaikkan cermin keretanya semula.

"Penagih dadah la tu, menyusahkan hidup aku je," Alisa meneruskan perjalanannya. Manakala lelaki tadi bergerak perlahan-lahan ke seberang jalan. Dia mengangkat kepalanya untuk melihat kereta Alisa yang meluncur laju.

Dan darah mula berjejeran keluar dari mulutnya. Lelaki itu beransur gerak di sepanjang jalan. Memerhati satu demi satu kenderaan yang lalu di hadapannya. Mata hitamnya bersinar-sinar. Tatkala seorang pemuda menaiki basikal berhenti berhampiran dengannya, kakinya terhenti.

"Encik? Nak saya tumpan—" Tidak sempat pemuda itu menghabiskan katanya, dia diterkam oleh lelaki berpakaian kusut itu. Pada mulanya difikir segalanya prank semata. Tetapi apabila lehernya digigit rakus, jeritannya bergema di sepanjang jalan tersebut. Pandangan pemuda itu semakin pudar. Darah mula merembes keluar dari tengkuknya. Dan akhirnya dia terkulai lemah di tepi jalan.

SEWAKTU Alisa hendak menutup pintu keretanya, kelihatan Erisa sedang berjalan selamba memasuki bangunan sekolah.

"Dia langsung tak tunggu aku, cis!" Alisa mendengus kasar dan mengunci keretanya. Beg disandang dengan rakus dan matanya tepat menikam tubuh Erisa.

LariWhere stories live. Discover now