1

3.4K 60 6
                                    

"Hello! Selamat datang!"

Barista di balik kaunter mempelawa aku untuk membuat pesanan. Jika orang berbangsa asing atau yang kelihatan hip, seperti lelaki depan aku tadi, dia akan sambut dengan 'Welcome!' Jadi aku simpulkan yang muka atau gaya aku nampak sangat lokal. Cis. (bukanlah sesuatu yang buruk sangat pun bila difikirkan kembali)

"Iced Hazelnut Latte" lancar sahaja sebutan aku di depan barista, yang juga seorang perempuan berambut pendek itu, seperti sudah biasa datang ke cafe hipster sebegini. Padahal aku sebelumnya sudah google tentang menu-menu yang terdapat di cafe tersebut. Licik sungguh perbuatan ini, fikir aku seorang diri.

Barista, seorang perempuan berambut pendek, yang juga berkaca mata tersenyum dan bertanya nama aku. Walaupun tak pernah datang ke cafe sebegini, aku tahu yang dia bukannya berminat nak kenal dengan aku, tetapi ia diperlukan untuk ditulis ke atas cawan. Aku tahu ini melalui pemerhatian di Instagram.

"Jamie" beritahu aku kepada dia, sudah pasti itu cuma nickname. Aku beritahu itu dengan sedikit rasa kesal kerana memesan minuman sejuk, yang aku selalu rasa macam kebudak-budakan sedikit.

Setelah beberapa minit memerhati gelagat barista-barista di situ, minuman akhirnya siap dan aku terus menuju ke meja paling hujung, di sebuah sudut tepi tingkap bersama Iced Hazelnut Latte di tangan.

Memang aku tak pernah ke cafe sebegini. Aku cuma ke sini hari ini untuk duduk dan mula menulis tentang sesuatu yang telah aku janjikan pada diri sendiri tidak lama dahulu, lebih kurang 3 tahun yang lalu. Duduk di cafe menambahkan mood untuk menulis, aku kira.

Aku bercadang untuk menceritakan pengalaman larian aku, sejak dari mula berlari secara serius sehingga aku capai 1000 kilometer pertama. Dan aku baru capai 1000 kilometer tersebut minggu lepas, jadi ya, itu adalah sebab kenapa aku duduk di sini hari ini.

3 tahun adalah sesuatu tempoh yang agak lama juga, aku rasa, untuk diingat segala hal secara terperinci. Jadi aku harus gunakan segala medium yang telah aku catat tentang perihal larian aku sepanjang tempoh tersebut, seperti di laman-laman sosial, catatan-catatan pendek di blog, dan data yang terdapat di jam larian aku sendiri.

Aku bukan seorang penulis pada asalnya, tapi aku mengambil keputusan untuk berkongsi hal ini agar, mana tahu ia nanti boleh mendatangkan kebaikan kepada orang lain. Kerana ketika aku berada di kilometer 1, aku harap sangat sesuatu seperti ini ada. Jadi jika tulisan ini kedengaran agak aneh, redha sajalah. Untuk tidak terlalu membosankan, aku akan tulis pengalaman berlari ini bersama perkara-perkara lain seperti kehidupan dan perempuan. Jadi anggap sajalah tulisan ini sebagai tentang lari, sedikit hal perempuan, kehidupan dan perihal kecil yang lain. Aku juga akan olah semula kisah-kisah yang diceritakan kepada aku oleh pelari dan orang-orang lain yang aku jumpa sepanjang 3 tahun ini.

Terus, aku keluarkan laptop dari beg dan letakkan ia rapi di sebelah Iced Caramel Macchiato tadi, atau Iced apa entah tadi. Lupa dah. Perlu google semula. Aku menjeling ke arah kaunter sambil membuka laptop dan barista, seorang perempuan berambut pendek dan berkaca mata, tersenyum pada aku. Mungkin betul dia sebenarnya mahu berkenalan dengan aku.

Aku membalas dengan senyuman kecil dan kembali memandang ke arah skrin laptop. Fail Microsoft Word dibuka. Setelah beberapa minit, ia masih kosong. Susah juga, fikir aku, menulis ini.

Ah damn it, here goes.

JogWhere stories live. Discover now