21

639 24 2
                                    

Ekiden adalah perlumbaan lari jarak jauh yang dilakukan secara berganti-ganti dalam satu pasukan. Seingat aku, ianya berasal daripada Jepun. Kerana perkataan itu sendiri adalah perkataan Jepun. Ia adalah gabungan karektor 駅 iaitu Stesen dan 伝, Peralihan. Jadi Ekiden mungkin boleh diterangkan sebagai, suatu pergerakan yang beralih dari satu stesen ke stesen yang lain.

Toki Zemmaro, seorang pemuisi dari akhabar Jepun, Yomiuri Shimbun, adalah orang yang bertanggungjawab memberi nama perlumbaan seperti ini sebagai Ekiden. Konsepnya berdasarkan sistem pengangkutan lama Jepun yang bergerak sepanjang Tokaido. Setiap pelari di dalam satu pasukan akan lari dari satu 'stesen' ke 'stesen' yang lain, sebelum memberikan baton atau di dalam Ekiden dipanggil Tasuki, ke pelari di 'stesen' tersebut sebelum dia menyambung larian sambil membawa Tasuki ke stesen seterusnya pula. Ianya diterusnya sehingga perlumbaan tamat.

Ah senang cerita macam relay lah. Kau tahu, relay?

Sukan Ekiden atau relay ini sangat popular di Jepun sampaikan pelari di sana boleh dianggap sebagai selebriti dan dikenali ramai. Sukan Ekiden ditonton secara meluas di kaca televisyen dan mendapat rating yang sangat tinggi. Ianya tidak beberapa popular di Malaysia, tapi ia sedang berkembang secara perlahan. Dan aku telah melibatkan diri dalam sebuah perlumbaan Ekiden di sini yang diberi nama Ekiden 1 Malaysia. Kah kah kah. Yela, nama dia macam gampang sedikit. Mungkin sebab bukan pemuisi yang beri namanya.

Apa pun, biar aku terangkan sedikit mengenai Ekiden 1 Malaysia, atau secara pendeknya dipanggil E1M. Kah kah. Maaf, namanya terlalu kelakar. Pada masa awal-awal sertai perlumbaan ini lagi, memang aku tidak puas hati dengan namanya. Tapi tak kisahlah, konsep perlumbaan itu sendiri agak menarik.

Ok, begini. Apa yang jelas, ia akan perlumbaan secara berpasukan. Satu pasukan perlu diwakili oleh 6 orang ahli yang akan berlari pada jarak 96 kilometer di satu-satu perlumbaan. Jika matematik aku adalah betul, 96 kilometer jika dibahagi dengan 6 orang pelari bermakna seorang pelari perlu berlari sejauh 16 kilometer (tak sia-sia bapa aku hantar aku ke kelas tuisyen matematik setiap malam Selasa dulu-dulu). Itu jika setiap pelari perlu lari pada jarak yang sama.

Ia tidak seperti itu.

E1M meletakkan syarat pertamanya mengenai pembahagian jarak seperti berikut:

Pelari #1 – 12 KM

Pelari #2 – 21 KM

Pelari #3 – 5 KM

Pelari #4 – 17 KM

Pelari #5 – 31 KM

Pelari #6 – 10 KM

Jadi jumlah keseluruhannya seperti yang aku cakap tadi, 96 kilometer. (Terima kasih, abah). Pembahagian jarak perlumbaan seperti di atas adalah syarat penting dalam E1M dan ianya sangat mempengaruhi satu-satu perlumbaan. Percaturan perlu dibuat untuk sesebuah pasukan bagi memanfaatkan setiap ahli di jarak yang paling sesuai dengan keupayaan mereka untuk mencatatkan masa terpantas.

Dan syarat kedua perlumbaan E1M pula, aku rasa agak menarik dan unik. Setiap ahli pasukan seramai 6 orang tersebut haruslah terdiri daripada 3 kumpulan berat badan yang berbeza yang telah ditetapkan seperti berikut:

Kategori satu – Bawah 60 kg

Kategori dua – 60 – 100 kg

Kategori tiga – Atas 100 kg.

Ahli perlu terdiri dari 2 orang daripada setiap kumpulan berat yang berbeza. Mungkin dari situ nama 1 Malaysia tersebut diambil. Make sense juga walaupun kelakar. Ia melibatkan perlumbaan di mana satu pasukan yang terdiri daripada ahli yang berbeza-beza dari segi fizikal berkerjasama untuk mencapai hal yang sama, iaitu menghabiskan perlumbaan dalam masa paling singkat.

Nama aku Ahmad. Kau boleh panggil aku A. Aku adalah ketua pasukan Segalanya Serigala. Ia sebuah pasukan yang, entahlah. Nak cakap power, power juga kadang-kadang. Tapi ada masanya tak power juga. Dalam 10 pasukan yang bertanding dalam E1M tahun lepas, pasukan Segalanya Serigala ataupun SS, berada di posisi 8. Boleh la tu. Power la juga bila diambil kira untuk layak sebagai 10 pasukan yang bertanding di acara akhir pun, kau perlu melepasi pusingan saringan. Tapi aku nak SS jadi lebih power dari itu.

Tapi sekarang ini masalah aku adalah, Hadi, salah seorang ahli SS di kumpulan berat atas 100 kg, telah terlalu banyak berlari dan kini berat badannya telah jatuh di bawah 100 kg. Pada satu aspek ianya adalah bagus (untuk Hadilah), dan aku agak ia adalah salah satu objektif peraturan E1M dibuat begitu supaya mereka yang berbadan agak besar dapat bersukan dan menurunkan berat badan secara sihat. Tapi dalam pada masa yang sama, aku telah kekurangan seorang ahli untuk mendaftar di pusingan saringan E1M tahun ini. Hadi dahlah seorang pelari yang sangat reliable. Aku belum buat keputusan samada untuk masukkan dia di dalam kumpulan 60-100 kg bersama aku dan terpaksa keluarkan pasangan aku atau keluarkan Hadi terus. Apa pun keputusan, aku kurang seorang ahli.

Syarat-syarat yang diletak E1M pada aku adalah sangat menarik kerana selain daripada menggunakan tenaga fizikal untuk berlari, kau juga perlu susun strategi. Dan salah satu strategi adalah melibatkan pelari di atas 100 kg yang menjadi permasalahan aku sekarang ini. Pelari pasukan SS di kumpulan berat ini, Hadi dan Juno, tidaklah boleh dianggap sebagai pelari yang pantas. Tapi mereka mempunyai kemahuan yang tinggi. Dari segi mental, mereka power.

Jadi aku perlu cari seseorang seperti itu.

JogWhere stories live. Discover now