Papan di bahu jalan menunjukkan aku telah melengkapkan 8 kilometer setakat ini dan walaupun aku kuat berlari sebentar tadi, kini aku kembali terasa penat. Penat yang amat sangat. Padahal aku baru sahaja melepasi water station terakhir. Aku lihat kepada jam tangan, pukul 8.15 pagi. Sudah 1 jam 15 minit sejak waktu flag off. Qualifying time untuk mendapatkan medal dan layak untuk melihat Ariff Adly berlari bogel keliling taman adalah 1 jam 30 minit. Cuma ada 15 minit lagi untuk aku lengkapkan baki 2 kilometer. Bila aku fikir-fikir, memang mustahil untuk dilakukan. Kaki terasa penat sangat. Mujur tidak cramp.
Dan aku rasa tidak sedap hati. Seperti ada benda buruk yang bakal berlaku. Aku berhenti berlari dan sambung dengan berjalan sambil mengambil nafas. Memang tak larat. Aku tak rasa aku mampu habiskan larian. Aku toleh ke belakang dan seorang dengan t-shirt bertulis 'Self Acceptance' berlari merapati aku. Seseorang yang aku kenal. Dia berhenti di hadapan aku. Hi, katanya.
Faznur pernah cakap, dalam sesebuah larian, kau akan alami sebuah fenomena yang rata-rata para pelari gelarkan sebagai "Hitting the wall". Ianya titik di mana kau rasa telah kalah dengan desakan fizikal dan emosi. Titik di mana kau rasa seperti telah lari selama-lamanya, tapi cuma bergerak beberapa meter dari tempat asal. Titik di mana kau tidak mahu lagi berlari. Kau cuma mahu berhenti dan berehat.
"Hitting the Wall" dalam kes aku adalah Mike.
"Apa kau buat kat sini?" tanya aku terkejut.
"Tengok kau la. Apa lagi. Kau penat kan?" jawabnya selamba sambil berjalan di sebelah aku.
Sambil mengelap-lap peluh di dahi menggunakan belakang tangan, aku mengangguk menandakan ya, dan beritahu dia supaya jangan ganggu aku.
"Jom blah jelah dari sini. Kita pergi mimum kat mamak. Aku tahu kau dah tak larat. Pekena teh O ais memang sedap ni. Dengan ayam goreng. Pergh."
Aku cuma pandang dia tanpa berkata apa-apa. Tergoda juga tapi aku lawan. Kaki mula mengatur langkah untuk berlari perlahan-lahan.
"Jomlah, tak guna paksa diri kau. Kau pun tak suka buat benda ni kan? Apa yang kau cuba buktikan sebenarnya?" kali ini Mike memegang tangan aku, menghalang aku dari memulakan larian.
"Kau jelah blah. Aku punya race dah nak habis dah pun. Lagi 2 kilo. Jangan kacau aku."
"Kau dah tak suka lepak makan dengan aku macam selalu? Come on, Jamal. Jangan hipokrit la. Apa salah kita malas macam selalu?" Kita malas tapi bahagia kot. Kau lari penat-penat ni dapat apa?"
Aku tarik tangan dari Mike dan kembali cuba memulakan larian. Dan aku sedang menambah kelajuan pada hayunan kaki ketika Mike, di luar sangkaan aku, menyepak kaki aku hingga aku tersadung dan jatuh ke atas jalan.
"Argh..apa masalah kau ni, setan?"
Lengan kanan yang sedikit tercalar dek bergesel dengan permukaan jalan disapu-sapu sambil aku melihat atas ke arah Mike yang berdiri tidak jauh daripada aku.
"Ha berhenti pun. Dah, baring je kat situ. Aku kata, taknak dengar. Kan dah kena." katanya lagi dengan selamba sambil tergelak-gelak. Makin sakit hati pula aku tengok mamat ni.
"Jangan berubah, Jamal. Lepak dengan aku macam selalu, jom."
Dengan selaju mungkin, kaki aku melibas kaki Mike yang sedang berdiri menyebabkan dia juga jatuh terbaring. Dia mengaduh panjang. Arghhh.
Rasakan.
Aku cuba bangun untuk meneruskan larian, tapi baru separa berdiri, Mike menarik kaki aku, cuba menghalang. Aku yang semakin geram, mengepalkan tangan dan menghayun penumbuk ke mukanya.
Buk.
Mike tercampak ke belakang dan kembali terbaring di atas jalan.
Dia memegang mulutnya dan pandang ke arah aku yang kini telah berdiri tegak. Darah mengalir dari mulutnya, menitis ke atas jalan membuatkan jalan bertar itu comot dengan merah gelap.
"Bodoh!"
Pelari lain hanya memandang sambil meneruskan larian mereka tanpa menghiraukan kami.
Aku fikir dia akan mengalah. Jangkaan aku nyata meleset kerana dia kemudiannya bangun dan meluru ke arah aku sambil melepaskan tumbukan ke arah perut. Aku berjaya mengelak tumbukannya, namun Mike susuli pula serangan dengan menggunakan siku, tepat terkena ke dagu aku.
Kali ini, mulut aku pula comot dengan darah. Badan terhuyung-hayang tertunduk sambil memegang mulut. Aku mengelap-lap bibir dengan jari sambil memerhatikan Mike, yang bersedia untuk kembali menyerang. Kedua-dua hanya menunggu langkah lawan. Aku dah tiada masa. Aku kena habiskan Mike sekarang juga dan teruskan larian.
Aku lepaskan tumbukan ke arah Mike.
Mike adalah seorang yang selalu ikut aku ke mana-mana aku pergi.
Mike balas tumbukan aku.
Mike selalu suruh aku slow down dan ambil benda dengan mudah. Jangan terlalu mencuba, katanya. Slow down, berjalan. Berhenti.
Aku lepaskan sepakan ke arah pinggang Mike.
Bila aku kuat berkerja, Mike selalu beritahu yang aku terlalu serious. Dan ajak untuk chill.
Mike melutut perut aku.
Mike selalu suruh aku untuk tidur, apabila aku ingin keluar berlari. Kau layak untuk rehat setelah penat seharian, katanya.
Aku menolak Mike ke belakang.
"Hitting the wall" mungkin terlalu susah untuk diatasi. Dinding adalah objek yang tidak boleh dialih. Kau tak boleh buat apa bila kau dihalang dinding.
Mike boleh dialih. Mike boleh dihapuskan. Mike boleh diatasi.
Secara tiba-tiba, Mike menunduk dan meluru ke arah aku untuk membuat serangan yang apa aku fikir adalah crossline seperti di gelanggang gusti. Aku berkira-kira untuk mengangkat kaki dan melutut dagunya memandangkan kepalanya agak rendah, namun dengan objek seberat 120 kg seperti ini meluru ke arah kau dengan laju, mana mungkin kau boleh buat begitu. Peh sempat pula aku berkira-kira di waktu genting seperti ini.
Mike semakin dekat dan aku lompat mengelak ke atas dengan menekan kepalanya membiarkan dia lalu di celah kangkang.
Gedebuk gedebak.
Dia jatuh terjelepuk ke atas jalan dan menjerit kesakitan. Nasib baik sempat elak. Power juga move aku tadi. Aku cuma biar Mike terbaring di situ.
"Jangan halang aku. Aku akan habiskan larian ni, collect medal aku yang pertama, dan lihat Ariff Adly berlari bogel."
Walaupun melihat Ariff Adly berlari bogel masih adalah sebab untuk aku berlari, tapi kini aku dah jumpa sebab yang lain. Aku berlari untuk lari dari Mike.
Kemudian aku mulakan langkah dan kembali berlari.
YOU ARE READING
Jog
General FictionCatatan ringkas mengenai 1000 kilometer pertama seorang lelaki yang berlari untuk mencari sesuatu.