14

947 41 10
                                    

Roti kosong separa rangup dikoyak sebelum hasil cebisan dicicah ke dalam kuah dal, kemudian ia beralih pula ke kuah kari dan akhirnya berakhir ke dalam mulut. Aduhai punyalah sedap.

"Sikit je makan? Selalu makan 4 keping?" Mike mula bersuara.

Dalam seminggu, aku boleh lost count tentang jumlah roti canai yang singgah ke dalam perut. Ianya tidak kedengaran bagus tetapi hal ini telah menjadi rutin dalam hidup aku dan agak sukar untuk disingkirkan.

"Kenyang." jawab aku pendek sambil merenggang-regangkan jari kaki yang kini bebas dari cengkaman kasut Airmax Faznur setelah aku tukar kepada selipar sebelum singgah ke mamak.

"Ai, takkan 2 keping dah kenyang? Come on.."

Aku membiar sahaja ajakan Mike sambil melihat kembali dalam kepala larian yang aku kira agak bagus juga tadi. Kurang seminggu dari larian 10K anjuran Pacesetter dan aku berasa semakin yakin. Aku tahu Ariff Afly sedang berpeluh-peluh dengan prospek untuk berlari bogel keliling rumah tidak lama lagi kerana mengikut perjanjian, elok-elok tamat sahaja larian pacesetter tersebut, cukuplah sebulan aku berlari secara serius. Kah kah padan muka. Dan, aku harus tamatkan larian itu, untuk lengkapkan perjanjian yang telah dibuat.

Larian aku sangat baik kebelakangan ini. Aku boleh berlari lebih lama dari sebelumnya. Keyakinan pun mula dah bertambah sedikit. Aku agak ini semua atas sebab perkara yang berlaku di Borders minggu lalu. Walaupun aku agak bengang juga pada Faznur pada mulanya, tapi tak lama kemudian aku faham apa yang dia cuba sampaikan. Dan ia membuka mata.

Sekarang aku fokus kepada pemakanan untuk membantu larian menjadi lebih bagus dan lancar. Mahu tidak mahu, aku harus kawal pemakanan aku dan perlu untuk tidak meneruskan budaya pemakanan aku yang bila difikirkan kembali, agak menakutkan.

Seperti jumlah roti canai, aku juga lost count jumlah aku singgah ke peti ais dalam usaha mencari sesuatu untuk disumbat ke dalam mulut apabila berada di rumah. Dan hal ini menjadi lebih ketara jika ia adalah hari minggu dan aku hanya duduk sahaja di rumah tidak ke mana-mana. Kadang memang aku singgah ke peti ais kerana perut terasa agak kosong. Tetapi kadang aku harus mengaku, ia berlaku cuma kerana aku terasa bosan dan aku lihat aktiviti menyumbat perkara-perkara seperti cokelat atau kek adalah benda yang sangat seronok untuk dilakukan.

Duduk di Malaysia juga, aku fikir adalah tidak membantu. Dengan bermacam makanan yang boleh didapati dengan mudah, mana mungkin aku tolak pelawaan mereka. Contohnya Mamak yang dibuka 24 jam. Aku tak rasa ada negara lain ada bersepah kedai yang buka 24 jam begini. Tapi baguslah. Memang mudah jika kau lapar tengah-tengah malam.

Hanya Mike yang faham aku dalam hal ini. Dia tidak akan judge jika aku makan lebih dari sepatutnya kerana dia faham aku sememangnya begitu. Orang kata, kau sepatutnya layan badan kau seperti ia adalah kuil. Perlu jaga setiap makanan yang masuk, sama ada baik atau tidak. Juga kuantiti pemakanan tersebut, haruslah berpatutan. Aku? Aku layan badan seperti ia adalah tong bergerak. Selagi boleh masuk, masuk.

Tapi aku kira inilah pengakhiran semua itu.

Aku perlu kurus.

Mulai beberapa hari yang lalu aku gigih melakukan research tentang pemakanan melalui google dan juga buku-buku kesihatan. Turns out magazine seperti yang Faznur cadangkan tidaklah teruk mana. In fact, ia sangat bagus. Cuma ia agak membosankan apabila kau tidak memberikan perhatian yang cukup.

Aku juga ke website seperti cekodok.com dan website kesihatan yang lain-lain dan dari bahan-bahan bacaan, aku dapat tahu nilai sebenar kalori sesetengah makanan dan mula kira pengambilan kalori yang aku selalunya ambil setiap hari dan bandingkan dengan kalori yang yang sepatutnya diambil.

Perbezaannya amat astargfirullahalazim.

Jumlah kalori yang diperlukan oleh lelaki dewasa seperti aku dalam sehari adalah 2000 hingga 2500. Ianya berbeza bagi wanita, di mana jumlahnya lebih rendah iaitu 1600 hingga 2000 sehari.

Kalori bagi sekeping roti canai kosong seperti yang aku sedang makan ni contohnya, adalah sebanyak 200. Itu belum termasuk kuahnya. Jika dicampur mungkin dalam 300 kalori.

Jadi berikut adalah anggaran pengambilan kalori aku setiap hari pra larian Borders yang aku telah kira:

Sarapan

Sepinggan nasi lemak Cik Yah (400 kalori)

3 biji cekodok pisang power(180 kalori x 3 = 540 kalori)

Secawan milo ais membesar bagai johan (150 kalori)

Jumlah = 1090 kalori

Minum pagi

2 biji donut (260 kalori x 2 = 520 kalori)

Secawan teh tarik kegemaran ramai (100 kalori)

Jumlah = 620 kalori

Makan tengahari

Sepinggan nasi goreng biasa (640 kalori- kalau tak tambah)

Ayam goreng (250 kalori)

1 tin coke (150 kalori)

Jumlah = 1040 kalori

Minum petang

4 keping roti canai tidak termasuk kuah dal kari cukup rasa (200 kalori x 4 = 800 kalori)

Air kosong (oleh kerana aku agak cuak dengan jumlah setakat ini jadi aku gantikan air minum petang ni sebagai air kosong. Ia 0 kalori)

Jumlah = 800 kalori

Makan malam

Seketul burger keju Brader Samad (425 kalori)

Teh O ais limau (120 kalori)

Jumlah = 545 kalori

Dan jumlah keseluruhan 1090 + 620 + 1040 + 800 + 545 =

4095 kalori.

A whopping 4095 Cal!

Terduduk juga bila aku tahu hal itu pada mulanya (padahal masa tu memang aku sedang duduk pun). Itu tidak mengambil kira jumlah junk food yang telah aku makan secara di bawah sedar seperti memakan keropok ketika menonton televisyen atau mengunyah nugget milo ketika melayari internet di hadapan laptop.

Kalori sebenarnya memang diperlukan untuk beri tenaga kepada tubuh kau. Cuma bila terlalu banyak kalori yang diambil, jadi satu hal pula untuk membakarnya. Ini kerana, kalori berlebihan ini jika tidak dibakar ia akan berkumpul menjadi lemak umpama gunung daik bercabang tiga. 4095 kalori tolak 2500 kalori yang dianjurkan masyarakat sama dengan 1595 kalori yang tidak perlu.

Dan lebih kurang 8000 kalori yang tidak dibakar akan menyumbang kepada 1 kilogram peningkatan berat badan. Aku perlu elak hal ini. 2 keping roti canai bersamaan 400 kalori (600 kalori jika ambil kira kuah) yang dikurangkan seperti sekarang ni adalah permulaan yang baik aku kira.

Aku lihat kepada perut di bawah meja dan mengenangkan betapa malasnya aku membakar selama ini. It needed some serious burning. Mulai sekarang, aku ingin lakukan pembakaran terbuka secara besar-besaran.

"Aku nak tambah roti ni, lapar. Kau nak sama?" Mike sambung memujuk.

Aku cuma sandar ke kerusi sambil mengalih pandangan ke arah skrin yang sedang pasang ulangan perlawanan EPL malam semalam "Takpe, kau makan jelah. Aku ok."

"Jangan macam tu. Aku tahu kau lapar. Cepat ah. Kau dah makin kurus ni sejak lari. Cuba makan sikit macam Jamal yang normal. Nanti kau boleh lari balik." jawab Mike sambil ketawa seolah-olah berkata 'Macamlah boleh kurus bila lari tu'.

"Mal, kalau kau dah nak kawal pemakanan bagai ni, aku rasa kau tak payahlah beriya nak berlari dah. Bukan boleh kurus sangat pun berlari tu." akhirnya dia sebut juga.

Aku mengalih pandangan dari perlawanan EPL dan memandang tepat ke arah dia. "Kat situ kau silap, Mike."

"Apa silapnya? Betul apa. Lari 5 kilometer sekali pun baru bakar dalam 300 kalori. Sama dengan sekeping roti canai ni." Mike menunjuk ke arah roti canai yang kebetulan sampai ke mejanya.

"Aku bukan nak berlari agar boleh kurus, Mike. Aku nak kurus agar boleh berlari."

Mike diam.

JogWhere stories live. Discover now