Penang Bridge International Marathon 2015.
Faznur kata yang dia akan sertai larian tersebut dan mengajak aku untuk turut sama menyertainya memandangkan seorang kenalannya tiba-tiba menarik diri kerana kecederaan dan ingin menjual bib lariannya.
"I masuk kategori half marathon. I rasa selepas lihat larian you hari ini, you boleh cuba untuk masuk kategori half marathon juga bersama I. Berminat? Ok you, cuma 21 KM. I rasa you perlu masuk, banyak lagi masa untuk you bersedia." kata Faznur panjang lebar petang itu setelah kami selesai berlari di Desa Park City. Memang larian aku petang itu agak bagus, 1 jam 25 minit untuk jarak 10K.
Setelah tamat larian 10K anjuran Pacesetter dua bulan lalu, aku telah banyak berlari. Dengan bantuan Faznur, kenalan lain di kampus, dan bahan bacaan yang sesuai, aku berjaya sedikit sebanyak memperbaiki larian aku dan kini berasa lebih yakin berbanding waktu mula-mula berlari dulu. Aku mempelajari cara-cara berlari dengan betul supaya larian lebih efisyen dan membuatkan badan dapat bertahan lebih lama.
Antaranya adalah kepala kau perlu tegak dan menghadap ke hadapan, bukannya ke bawah memandang kaki yang sedang berlari. Badan juga perlu tegak dan tidak membongkok. Jika kau terasa sedikit membongkok ketika berlari, kau perlu ambil nafas dalam-dalam dan secara tak langsung badan kau akan tegak secara semulajadi. Bahu perlu rendah dan bebas, jangan rapatkan ia kepada leher. Lengan haruslah dihayun ke depan dan ke belakang, jangan hayunkan ia melintasi dada.
Tangan tidak perlu digenggam kuat, biarkan jari-jemari berehat di atas tapak tangan dengan rileks. Pastikan lengkungan siku adalah 90 darjah dan lutut juga perlu diregangkan sedikit untuk membengkok secara semulajadi apabila menerima impak.
Kaki perlu mendarat di bawah badan kau dan bukannya di hadapan. Mendarat antara tumit dan tengah tapak kaki adalah penting untuk pendaratan yang selamat dan secara tak langsung mengelakkan risiko mendapat kecederaan. Dan akhir sekali langkah kaki perlu diangkat sebanyak mana yang perlu sahaja, tidak perlu terlalu tinggi, untuk mengekalkan tujahan langkah yang bagus. Setelah mengaplikasi semua ini, memang terasa juga perbezaan dalam larian aku.
Selain daripada aspek teknikal larian, aku juga semakin menitik-beratkan aspek diet dan meneruskan pemakanan secara sihat atas nasihat Faznur yang memberi idea (tidak memberitahu secara terus) jika seseorang berlari secara aktif dengan berat badan yang berlebihan, pelari akan terdedah kepada kecederaan seperti Plantar Fasciitis. Pengambilan kalori aku semakin berkurang dari hari ke hari kepada jumlah yang bersesuaian dengan keperluan badan seharian.
Biarpun aku dah tahu mengenai bahaya kalori berlebihan, aku kadang kala ambil mudah tentang perkara ini. Lalu Faznur terangkan jumlah kilometer yang perlu aku lengkapkan untuk membakar kembali jumlah pengambilan makanan tersebut.
"Kentang goreng McDonald's tu kalau you makan sekotak kecil tu sampai habis, you perlu lari 5.97 kilometer untuk buang dosa-dosa tersebut."
"Betul ke? Ke awak saja takut-takutkan saya je. Haritu saya tengok awak makan rileks je?"
"Itu saya mengidam!" Faznur tiba-tiba melatah dan seperti biasa, cubitan diterima. Kali ini di bahagian peha sebagai habuan, sebelum dia menyambung dengan nada rileks seperti tadi. "Betul you, I bukan saja nak takut-takutkan you. Tapi kalau ketakutan itu boleh menjadi satu motivasi, apa salahnya?"
Kemudian Faznur teruskan bebelan kalori tentang betapa 2 biji Ferrro Rocher sebenarnya memerlukan kau berlari sejauh 2.21 kilometer, sebatang bar coklat Mars yang menuntut 3.34 kilometer, sebiji Double Cheese Burger (Faznur seperti ada hubungan aneh dengan McDonald's) memerlukan 4.05 kilometer dan 1 tin coke pula sejauh 1.87 kilometer. Aku cuma dengar endah tak endah sambil menggigit sebatang Snickers yang Faznur sedang fikirkan berapa kilometer berada di dalamnya.
"3.66 kilometer!" katanya tiba-tiba.
Walaupun berasa yakin, aku masih rasa 10 kilometer adalah batas aku buat masa sekarang. Aku kemudian memberi alasan Plantar Fasciitis kepada Faznur yang juga boleh berlaku kepada seseorang jika dia menaikkan jarak larian secara tiba-tiba. Bila dah banyak membaca ni pandai pula aku beri pelbagai alasan. Ewah.
"You nak tahu tak sesuatu mengenai zon selesa?" tanya Faznur petang itu. Ketika itu kami sedang duduk berehat sambil memerhatikan kanak-kanak yang sedang bermain belon buih sabun di kawasan rekreasi yang agak mewah tersebut.
"Apa dia?" tanya aku sambil melihat pace larian aku sebentar tadi di Sportwatch GPS yang dibeli atas sogokan Faznur minggu lalu. Mengikut maklumat di jam, aku telah melengkapkan 179 kilometer setakat ini dan masih berada di Orange Level. Lagi 71 kilometer untuk ke Green Level.
"Ianya, selesa." jawab Faznur. Aku memberi ekspresi 'Err-nama-pun-gitu?' kepadanya. Dia cuma senyum dan meneruskan perbualan.
"Yela, memang obviously ia selesa. Ia sangat sangat selesa. Dan selamat. Sebab tu you rasa tak mahu tinggalkan zon tersebut, kan?" tanya Faznur merujuk kepada kengganan aku untuk beralih dari jarak 10 kilometer ke half marathon. Atau merujuk kepada benda lain yang lebih besar, aku pun tak tahu.
Aku mengangguk perlahan sambil terus memicit-micit jam.
"Tapi tak fun la kan? Hidup secara selamat tanpa sebarang perkara-perkara yang mencabar. You tak rasa begitu? Banyak lagi benda di luar sana yang you boleh nikmati jika you berani untuk keluar dari zon selesa you tu."
Aku akui aku memang seorang yang agak membosankan sebenarnya. Aku tidak berani untuk mencuba perkara baru yang aku rasakan sangat asing bagi aku. Faznur yang lebih berumur dari aku pun mempunyai semangat mencuba sesuatu baru yang lebih tinggi. Perkara yang paling bahaya aku pernah buat ketika di kolej dahulu adalah memanjat pagar asrama pada pukul 3 pagi untuk keluar membeli makanan, hanya untuk berjumpa dengan pak guard tak jauh dari pagar tersebut yang sedang memerhati gelagat aku ketika selesai turun dari pagar. Aku terus kembali memanjat pagar untuk masuk ke dalam semula.
"Orang memang akan takut dengan perkara-perkara yang mereka tak tahu. Sebab tu you kena kenal perkara tu dulu."
"Tapi saya dah kenal dah half marathon tu, awak. Ia 21 kilometer. Jauh gila tu." aku bergurau dan menerima lagi cubitan di lengan sebagai habuan yang sedikit pedih.
"You kena rasa dulu. Baru faham. The thing about running ni you, you gotta run into the right direction. You tak boleh lari dari fears. You kena face your fears, run towards it and smash it."
Pada waktu itu aku memang terasa tercabar juga. Tapi aku belum buat keputusan untuk bersetuju untuk menyertainya berlari half-marathon di Pulau Pinang.
2 perkara ini, ia berlaku serentak. Waktu belon buih sabun kanak-kanak di depan kami pecah dan ajakan Faznur sambil menjeling manja ke arah aku.
"Jom Jamie, join me on the wild side."
Dan sebab itulah kini, sebulan selepas peristiwa di Desa Park City tersebut, aku sedang berada bersamanya di dalam kereta menuju ke Pulau Pinang untuk menyertai Penang Bridge International Marathon. Walaupun dah hampir ke tahun 2020 yang serba canggih, aku masih rasa senjata paling merbahaya di dunia ini adalah jelingan seorang perempuan comel.
YOU ARE READING
Jog
General FictionCatatan ringkas mengenai 1000 kilometer pertama seorang lelaki yang berlari untuk mencari sesuatu.