Bahagian 12 : Nasihat Nenda

36 2 0
                                        


" Nenda..." panggilku. Nenda berpaling memandangku.

" Boleh Indera tanya sesuatu?" soalku.

" Tanya apa? tanyalah, apa yang Nenda boleh jawab, Nenda jawab."

" Indera nak tanya pasal Almarhum Tuanku Sultan Idris." Ujarku. Nenda berpaling pandang kewajahku. Senyuman di bibirnya pudar.

" Apa yang Indera ingin tahu?" soal Nenda kembali.

" Bagaimana Almarhum Tuanku Mangkat?" Soalku tanpa berselindung. Nenda diam seketika.

"Baginda mangkat akibat serangan jantung," ujar Nenda perlahan.

"Itu yang diumumkan." Itu yang tertulis dalam warta. Itu yang diajar dalam sejarah istana. Itu yang diulang oleh guru-guru istiadat setiap kali menyebut tentang peralihan takhta pada masa itu.

Namun ada sesuatu dalam suara Nenda yang membuatkan aku bertanya lagi.

"Adakah itu kebenaran sepenuhnya, Nenda?"

Baginda tidak segera menjawab. Hanya memandang ke arah kolam, seperti mencari bayang masa lalu di permukaannya.

"Hati seorang ibu tidak pernah benar-benar berhenti bertanya," jawabnya akhirnya.

Aku merasakan dadaku menjadi berat. Nenda tidak menafikan.Nenda juga tidak mengesahkan. Nenda hanya mengakui bahawa hati Nenda tidak pernah tenteram.

"Malam itu, Almarhum Baginda cergas macam biasa. Baginda masih berbicara tentang perubahan pentadbiran. Tentang keputusan yang akan menyentuh kepentingan pihak-pihak tertentu yang berpengaruh. Tentang rancangan yang belum sempat dilaksanakan. Dan keesokan paginya, baginda rebah. Serangan jantung. Tiba-tiba."

"Baginda diisytiharkan mangkat akibat serangan jantung. Secara rasmi, semuanya jelas. Tapi, bagi Nenda secara peribadi, terlalu banyak yang terasa tergantung."

" Maksud Nenda?"

" Almarhum Baginda, seorang yang sihat. Pemeriksaan kesihatan rutin tahunannya tak menunjukan apa-apa masalah. Macam mana baginda boleh dapat serangan jantung yang tiba-tiba?"

Aku tekun mendengar. Aku biarkan Nenda terus bercerita tanpa aku ganggu atau potong dimana-mana.

"Almarhum Baginda adalah putera sulung Nenda. Anaknya pula, Rezuan, ketika itu masih terlalu kecil. Apabila baginda mangkat, Dewan Diraja bersepakat melantik adindanya, Sultan Iskandar, menaiki takhta."

" Almarhum Ayahanda." bisik ku perlahan. Nenda pandang aku sekilas dan mengangguk kecil.

Aku memerhati wajah Nenda ketika nama itu disebut. Tiada kebencian. Tiada kemarahan. Hanya sesuatu yang jauh lebih sukar untuk ditafsir.

" Semuanya beralih terlalu cepat. Bagai telah dirancang semuanya. Keputusan bedah siasat, keputusan Dewan Diraja berkaitan pengganti baginda dan pemasyhuran sultan baharu."

"Nenda pernah mengesyaki Ayahanda?" soalku, dan jujur, aku tidak tahu sama ada aku benar-benar bersedia untuk jawapannya. Nenda diam. Baginda menunduk sedikit sebelum kembali pandang ke hadapan.

"Nenda tidak pernah menuduh Sultan Iskandar," jawab baginda tegas.

Jawapan itu datang tanpa ragu.

Baginda memandangku tepat ke mata.

"Baginda memerintah dengan penuh tanggungjawab. Baginda bekerja siang dan malam. Nenda bangga dengan ayahanda kamu."

Aku menghela nafas, tetapi sebelum aku sempat berasa lega sepenuhnya, Nenda menyambung.

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang