Bahagian 21 : Serangan

8 1 0
                                        


Aku masih belum pasti mana yang lebih menyesakkan dada. Tertangkap di dalam kamar ini...atau ketenangan Tuanku Permaisuri yang terlalu sukar untuk dibaca.

Alya duduk di sebelahku, diam, namun aku dapat merasakan ketegangan pada setiap nafasnya. Aku sendiri masih mencari-cari kata yang sesuai, tetapi tiada satu pun yang terasa cukup.

Tuanku Permaisuri tidak terus bersuara. Sebaliknya, baginda bangun perlahan. Langkahnya tenang, tidak tergesa, menuju ke satu sudut kamar yang jarang diberi perhatian. Sebuah peti kayu lama terletak di situ, berukir halus, berkunci.

Aku memerhati. Tanpa sedar, seluruh tumpuan aku tertumpu pada setiap gerak-geri baginda.

Alya juga begitu.

Tuanku Permaisuri mengeluarkan satu kunci kecil dari lipatan kainnya.

'Klik.' Bunyi kunci itu dibuka terasa lebih kuat daripada biasa. Penutup peti diangkat perlahan.

Dan dari dalamnya, baginda mengeluarkan sesuatu. Sebuah buku. Kulitnya gelap, sedikit lusuh dimakan masa.

Namun bentuknya...aku kenal. Aku dapat merasakan jantung aku berhenti seketika. Itu—

Alya menarik nafas perlahan di sebelahku. "Kanda..."

Aku diam tanpa respon. Terlalu banyak yang aku fikirkan saat ini sehinggakan otak ku gagal berfungsi dengan baik.

Itulah diari yang kami cari.

Tuanku Permaisuri kembali duduk di hadapan kami. Diari itu diletakkan di atas meja kecil di antara kami bertiga.

Dekat....terlalu dekat. Namun terasa seperti sesuatu yang tidak boleh disentuh.

"Ini yang kamu cari, bukan?" Suara Tuanku Permaisuri tenang. Tiada nada marah. Tiada sindiran. Hanya satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan.

Aku terdiam. Tiada gunanya berpura-pura lagi.

"...ya," jawabku akhirnya.

Alya menunduk sedikit, namun tidak menafikan. Sunyi seketika memenuhi ruang itu.

Tuanku Permaisuri memandang kami berdua lama. Seolah-olah bukan sekadar melihat, tetapi menilai.

"Bonda tahu," katanya perlahan. Dua perkataan itu cukup untuk membuatkan aku terasa seolah-olah tanah di bawah kaki aku hilang.

"Bonda tahu apa yang kamu berdua sedang lakukan." ujar baginda lagi. Masih tenang seperti tadi.

Aku menelan liur.

Pandangan aku tidak beralih dari wajah baginda.

"Bukan sahaja kamu," sambungnya lagi. "Tengku Rezuan juga." Nama itu membuatkan aku sedikit tersentak.

Jadi, tiada apa yang benar-benar tersembunyi.

"Sejak bila?" soalku perlahan.

Tuanku Permaisuri tidak terus menjawab. Sebaliknya, baginda memandang ke arah diari itu.

"Sejak kamu mula bertanya perkara yang tidak sepatutnya ditanya," katanya akhirnya.

Aku terdiam. Setiap langkah yang aku sangka dilakukan dalam bayang, rupanya sudah lama berada dalam pandangan.

"Ayahanda kamu..." baginda berhenti seketika, "bukan seorang yang mudah." Nada suaranya berubah sedikit. Lebih dalam. Lebih berat.

"Dan apa yang berlaku... tidak pernah semudah yang orang sangkakan."

Aku menahan nafas. Ini, lebih daripada yang aku jangkakan.

"Kalau begitu..." aku bersuara perlahan, "kenapa Bonda simpan semua ini?"

Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: 3 days ago ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang