Bahagian 17 : Pakatan

18 2 0
                                        


Ada saat dalam hidup seseorang di mana segala perkara yang berlaku di sekelilingnya tiba-tiba terasa lebih jelas. Namun kejelasan itu bukan membawa ketenangan. Sebaliknya... ia membawa ketakutan.

Aku berjalan laju menuju ke Istana Bakawali. Hanya pengawal peribadiku yang kubawa tanpa pengiring yang lain.

Selepas Muaz meninggalkan bilikku pagi itu, aku tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan. Jika apa yang dia dengar benar dan aku tahu Muaz bukan jenis yang mereka-reka cerita, maka seorang lagi manusia yang berada dalam bahaya selain aku ialah Tengku Rezuan. Tengku Rezuan perlu tahu.

Istana tetamu itu kelihatan tenang seperti biasa. Bangunan putih dengan seni bina lama itu berdiri sedikit terpisah daripada istana utama, cukup jauh untuk memberikan privasi kepada tetamu diraja, tetapi cukup dekat untuk memastikan mereka masih berada dalam lingkungan istana.

Aku berdiri di hadapan bilik Tengku Rezuan. Pintu diketuk.

"Masuk."

Suara itu tenang seperti biasa.

Aku melangkah masuk.

Tengku Rezuan duduk di sofa panjang berhampiran tingkap, membaca sesuatu di tangannya. Dia mengangkat kepala apabila melihatku.

"Indera."

"Kanda Rezuan."

Dia meletakkan dokumen itu di atas meja.

"Apa yang membawa kamu ke sini?"

Aku tidak membuang masa.

"Ada sesuatu yang kanda perlu tahu."

Dia mengangguk perlahan.

"Duduk."

Aku duduk di hadapannya.

"Nampaknya macam serius." ujarnya tenang. Aku angguk perlahan.

Dan buat beberapa minit seterusnya, aku menceritakan semuanya. Tentang perbualan Muaz yang didengar secara tidak sengaja. Tentang rancangan Tengku Muhammad dan Perdana Menteri. Tentang niat mereka untuk menyingkirkan kami berdua dari laluan takhta.

Sepanjang aku bercakap—

Tengku Rezuan hanya mendengar.

Tenang.

Terlalu tenang.

Apabila aku selesai, dia masih duduk bersandar di kerusi dengan ekspresi yang sukar dibaca.

Aku mengerutkan dahi.

"Kanda...?"

Dia menarik nafas perlahan.

"Indera."

"Ya?"

"Ada satu perkara yang mungkin kamu belum sedar."

Nada suaranya tenang.

"Hampir semua yang kamu ceritakan tadi..."

Dia berhenti seketika.

"...kanda sudah tahu."

Aku terpaku.

"Apa?"

Dia mengangguk sedikit.

"Sudah lama."

Dadaku terasa seperti dijatuhkan batu.

"Kenapa kanda tak beritahu saya?"

Dia tidak menjawab soalan itu.

Sebaliknya dia memandang ke arah pintu bilik.

"Kamu boleh masuk sekarang."

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang