Bahagian 13 : Tepukan Harapan

22 2 0
                                        


Aku tidak pernah benar-benar memahami makna "muncul di hadapan rakyat" sehingga hari ini.

Selama ini aku hadir dalam majlis-majlis kecil—mesyuarat dalaman, sesi taklimat tertutup, pertemuan bersama pegawai kerajaan. Tetapi hari itu berbeza. Hari itu adalah penampilan awam pertamaku sejak pemasyhuranku sebagai Putera Mahkota, bukan sekadar seorang putera yang berdiri di belakang, tetapi seorang yang diperkenalkan sebagai wajah masa depan negera.

Majlis ini adalah Majlis Perasmian Kompleks Warisan dan Kebudayaan Sultan Iskandar Shah, sebuah pusat kebudayaan dan pendidikan yang dibina atas ilham Almarhum Sultan Iskandar—ayahandaku.

Majlis yang sangat besar dan berat bagiku ini terasa lebih janggal. Janggal kerana Muaz tiada.

Muaz masih terlantar di hospital.

Peluru yang menembusi tubuhnya malam itu hampir meragut nyawanya. Doktor berkata dia stabil, tetapi masih belum sedar sepenuhnya. Setiap kali aku teringat tubuh kakunya yang terlantar di katil hospital dengan semua wayar dan tiub yang berselirat, aku merasakan satu tikaman halus di dalam dada—seolah-olah aku yang sepatutnya berada di katil itu.

Hari ini sepatutnya dia berdiri tidak jauh dariku. Bukan sekadar sebagai pembantu peribadiku, tapi juga sebagai sahabat.

Sebaliknya, aku melangkah ke majlis ini dengan bayang rasa bersalah yang tidak pernah hilang.

"Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Indera Shah..."

Namaku diumumkan.

Suara rakyat di luar bergema. Ribuan yang hadir—pemimpin masyarakat, pelajar universiti, usahawan muda, warga emas yang setia kepada institusi diraja sejak dahulu.

Aku melangkah ke pentas.

Buat pertama kali, aku berdiri di hadapan mereka bukan sebagai bayang seorang sultan—tetapi sebagai seseorang yang bakal memikul takhta itu.

Tanganku terasa sejuk walaupun cuaca panas.

Aku menarik nafas.

"Bismillahirrahmanirrahim..."

Suara aku kedengaran stabil. Lebih stabil daripada perasaanku sendiri.

"Pada hari ini, beta berdiri bukan sekadar untuk merasmikan sebuah bangunan, tetapi untuk merasmikan satu komitmen—bahawa warisan negera ini akan terus dipelihara dan diperkasakan..."

Aku memandang wajah-wajah di hadapan.

Mereka mendengar.

Tidak ada yang berbual. Tidak ada yang berpaling.

"Kompleks Warisan dan Kebudayaan ini adalah ilham Almarhum Sultan Iskandar. Baginda percaya bahawa bangsa yang kuat adalah bangsa yang mengenal sejarahnya, bangga dengan budayanya, dan generasi muda yang berani membentuk masa depannya."

Tepukan bergema.

Nama ayahanda disebut dengan penuh hormat.

Namun dalam dadaku, nama lain turut hadir—Sultan Idris.

Sultan yang mendahului ayahanda menaiki takhta. Mangkat dalam keadaan yang tidak pernah benar-benar difahami oleh sesiapa.

Aku menyambung.

"Sebagai pewaris, beta tidak melihat kepimpinan sebagai satu keistimewaan. Ia adalah amanah. Amanah untuk berlaku adil. Amanah untuk mendengar. Amanah untuk memastikan bahawa kebenaran sentiasa didahulukan..."

Kata "kebenaran" itu terasa berat di lidahku.

Adakah aku berani mencari kebenaran, jika ia menyakitkan?

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang