Sejak malam di hospital itu, fikiranku tidak pernah benar-benar tenang.
Wajah Muaz yang pucat di atas katil. Mata Alya yang merah. Suara ASP Haris yang tegas—
'memang cuba untuk dibunuh'.
Dan di celah semua itu, suara Nenda kembali bergema dalam ingatanku.
"Seorang ibu tidak menuduh... tetapi tidak mampu menolak kemungkinan."
Kemungkinan.
Aku cuba mengabaikannya. Cuba menumpukan perhatian kepada tugas rasmi. Tetapi semakin aku cuba menolak, semakin kuat ia menarikku kembali ke satu kenangan yang sudah lama aku simpan di sudut paling sunyi fikiranku.
Perbualan antara Tuanku Permaisuri dan Tengku Muhammad yang aku dengar secara tidak sengaja tempoh hari kembali bermain dalam mindaku.
~~~~~~~~~~~
" Almarhum Tuanku Sultan Idris bukan mangkat akibat sakit jantung kan?" Soal Bonda Noriah. Aku tersentak. Eh...Almarhum Sultan Idris? Ayahanda Kanda Rezuan.
" Kanda jangan nak tuduh saya macam-macam. Saya tak akan sampai ke tahap tu." bentak Tengku Muhamamd.
" Sudahlah Muhamamd, cukuplah. Bersyukurlah dengan apa yang kita dah ada sekarang ni. Tak perlulah kita cuba rampas apa yang bukan hak kita. Jangan sampai kamu menyesal macam kanda. Kanda terpaksa bawa sesal ni sampai mati. Maryam dah tak ada untuk kanda minta maaf." Tambah Bonda Noriah lagi. Tengku Muhamamd menarik nafas dalam.
" Saya tak tahu apa yang kanda merepekkan malam-malam ni. Mungkin betul saya yang pengaruhi kanda dulu. Tapi tu dulu. Tak ada kena-mengena dengan apa yang berlaku pada pembantu Indera tu. Saya tak tahu apa yang kanda maksudkan." Ujar Tengku Muhamamd tegas.
~~~~~~~~~~
Sejak hari itu, aku cuba meyakinkan diri bahawa aku mungkin salah faham. Bahawa setiap keluarga mempunyai rahsia kecil dan pertelingkahan sendiri.
Tetapi kemudian Nenda berbicara tentang kemungkinan.
Kemudian Muaz ditembak.
Dan semua serpihan itu mula bercantum.
Tengku Muhammad.
Pemangku Raja.
Orang yang paling hampir dengan pusat kuasa sejak dahulu.
Aku mula yakin—jika ada kunci kepada segala kekacauan dalam istana ini sejak kemangkatan Sultan Idris... dan mungkin juga sebelum itu—kunci itu berada di tangannya.
Dan lebih menyakitkan—
aku yakin ramai yang tahu.
Namun memilih untuk berdiam diri.
Seperti Nenda.
Seperti mungkin juga Tuanku Permaisuri.
Diam bukan kerana setuju.
Tetapi kerana takut.
Atau kerana melindungi sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri.
Dalam pusaran fikiran itu, satu nama kembali muncul.
Tengku Rezuan.
Anak kepada Almarhum Sultan Idris. Titik awal kepada semua masalah yang menghantui keluarga ini hari ini.
Putera yang dinafikan haknya.
Jika ada sesuatu yang berlaku pada ayahandanya... dia sepatutnya yang paling terkesan.
