Bahagian 16 : Rahsia

29 2 0
                                        


Pagi di Istana Beringinpura biasanya bermula dengan ketenangan yang hampir menipu.

Cahaya matahari masuk perlahan melalui tirai tinggi kamar tidurku. Dari tingkap, aku boleh melihat sebahagian taman istana yang masih basah dengan embun pagi. Burung-burung kecil melintas di antara pokok-pokok tua yang telah berdiri di situ jauh lebih lama daripada kebanyakan manusia yang pernah tinggal di istana ini.

Namun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ketenangan itu terasa seperti lapisan nipis yang menutup sesuatu yang lebih gelap di bawahnya.

Aku berdiri di hadapan cermin besar di kamar persalinan, membetulkan butang kemeja putih sebelum menyarungkan blazer gelap di atasnya. Pakaian korporat seperti ini sudah menjadi kebiasaan sejak aku kembali ke Beringinpura.

Tiada lagi kehidupan santai seperti ketika aku berada di Kuala Lumpur dahulu.

Sekarang setiap hari datang dengan tanggungjawab baru.

Dan semakin lama aku berada di sini, semakin aku sedar bahawa tanggungjawab itu bukan sekadar menghadiri majlis atau mewakili istana.

Ada sesuatu yang lebih besar sedang bergerak di sebalik dinding-dinding lama ini.

Tanganku berhenti seketika pada butang lengan.

Fikiranku kembali kepada satu perbualan beberapa hari lalu.

Perbualan dengan ASP Haris.

~~~~~~~~~

ASP Haris duduk di hadapanku dengan fail nipis di tangannya.

Wajahnya seperti biasa—tenang, profesional, tetapi matanya menunjukkan bahawa dia tahu perkara yang kami bincangkan bukan sesuatu yang kecil.

"Keterangan Muaz sudah diambil," katanya.

Aku mengangguk perlahan.

"Bagaimana keadaannya?"

"Masih lemah sedikit, tapi cukup stabil untuk bercakap."

Aku bersandar sedikit ke kerusi.

"Apa yang dia ingat?"

ASP Haris membuka fail itu.

"Menurut Muaz, kejadian berlaku di luar kawasan istana. Waktu itu sudah selepas waktu kerjanya."

Aku menunggu.

"Kejadian berlaku di kawasan parkir berhampiran sebuah kedai serbaneka. Muaz ke situ untuk beli barang. Dalam perjalanan dia balik ke keretanya, dia di tembak." sambung ASP Haris.

Aku mengerutkan dahi.

"Dia nampak pelaku?"

ASP Haris menggeleng.

"Tidak."

"Langsung tidak?"

"Tidak."

Beliau menyelak satu lagi halaman.

"Muaz hanya ingat dia mendengar bunyi tembakan. Selepas itu dia rasa bahunya seperti dipukul sesuatu yang sangat kuat. Dia jatuh... dan selepas itu semuanya kabur."

Aku menghela nafas perlahan.

"Jadi kita tidak tahu siapa yang menembaknya."

"Belum."

Sunyi beberapa saat.

Kemudian aku bertanya soalan yang sebenarnya bermain di fikiranku sejak awal.

"Tuan... adakah ini benar-benar serangan rawak?"

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang