Bahagian 19 : Sandiwara

17 2 0
                                        


Langit petang itu terasa berat. Aku tidak pasti sama ada ia benar-benar muram, atau sekadar bayangan dari fikiran aku sendiri yang masih terikat dengan pertemuan tadi. Wajah Tengku Muhammad, suaranya yang tenang, dan kata-kata yang tersusun rapi, semuanya masih berlegar dalam kepala aku seperti gema yang enggan hilang.

Aku melangkah ke halaman belakang istana, mencari satu-satunya tempat yang masih memberi sedikit ruang untuk aku bernafas. Di bawah pohon cengal tua itu, kelihatan seorang yang aku percayai lebih daripada yang lain.

"Kanda Rezuan." aku memanggil perlahan.

Dia berpaling. Seperti biasa, wajahnya tenang. Tetapi aku tahu, dia tidak pernah benar-benar leka.

"Indera," jawabnya. "Kenapa kusut sangat Kanda Lihat. Sesuatu terjadi?"

Aku berhenti beberapa langkah darinya. Sejenak, aku sendiri teragak-agak untuk memulakan. Aku lepaskan satu keluhan berat.

"Saya terserempak dengan Tengku Muhammad."

Tiada riak terkejut di wajahnya. Hanya perhatian yang semakin tajam.

"Di mana?" tanyanya.

"Koridor timur."

"Terserempak?" soalnya lagi.

" Ya...atau mungkin sebenarnya dia memang tengah tunggu saya di situ." jawabku perlahan.

Aku masih boleh merasakan bagaimana Tengku Muhammad berdiri di situ, bukan sekadar menunggu, tetapi menguasai ruang sekelilingnya.

"Apa yang dia kata?" tanya Rezuan lagi.

Aku memandang tepat ke arahnya.

"Dia beri amaran. Dia tahu saya sedang menyiasat tentang kemangkatan ayahanda... dan juga ayahanda kanda."

Aku dapat melihat perubahan halus di wajah Rezuan. Bukan terkejut, tetapi lebih kepada pengesahan terhadap sesuatu yang sudah lama dia jangka.

"Dan dia mahu saya berhenti."

"Respon kamu?" soal Rezuan.

Aku tidak perlu berfikir panjang.

"Saya katakan saya tidak akan berhenti. Saya juga beritahu dia, saya sudah tahu cukup untuk tidak berpatah balik."

Untuk seketika, hanya angin yang bersuara. Kemudian Rezuan menghela nafas perlahan.

"Itu bermakna dia juga tidak akan berundur," katanya. "Indera... Tengku Muhammad bukan lelaki yang memberi amaran tanpa sebab."

Aku mengangguk dalam diam.

"Jika dia sudah bersuara, langkah seterusnya pasti lebih keras." tegas Kanda Rezuan.

Aku sudah menjangkakan itu. "Saya tahu. Dia tidak akan biarkan saya sampai ke kebenaran."

"Lebih dari itu," balas Rezuan, "dia akan pastikan kamu tidak sempat sampai ke sana."

Kata-kata itu... terlalu tepat.

Aku terdiam.

Seolah-olah semua yang aku lakukan selama ini hanyalah berjalan di atas benang halus dan kini, seseorang sedang bersedia untuk memutuskannya.

"Kita masih tiada bukti," aku bersuara akhirnya. "Hanya serpihan... dan kecurigaan."

"Betul....itu tak cukup, untuk jatuhkan dia." kata Kanda Rezuan.

Aku tahu itu. Aku sentiasa tahu itu. Namun mengetahui... tidak pernah menjadikan keadaan lebih mudah.

"Kita perlukan bukti yang tidak boleh disangkal," sambungnya lagi. "Sesuatu yang memaksa semua orang melihat apa yang selama ini disembunyikan."

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang