Aku tidak pernah menyangka, langkah seterusnya akan membawa aku kepada Alya. Nama itu berlegar dalam fikiranku sejak malam tadi. Setiap kali aku cuba mencari jalan lain, aku tetap kembali kepada satu hakikat yang sama, tiada siapa yang boleh membawa aku masuk ke kamar bonda Noriah kecuali Alya sendiri. Dan itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan keputusan ini terasa berat.
"Tengku Alya?"
Suara Muaz memecah sunyi kamar.
Aku berdiri di tepi jendela, memandang keluar tanpa benar-benar melihat apa-apa.
"Ya," jawabku ringkas.
Muaz bersandar pada tiang kayu berhampiran, seperti biasa, tidak terlalu formal, tidak terlalu jauh. Di hadapan orang lain, dia tahu batasnya. Tetapi di dalam kamar ini...dia hanyalah Muaz.
"Kau betul-betul nak libatkan dia?" soalnya serius.
Aku menghela nafas perlahan. "Aku tak nampak jalan lain."
Muaz diam seketika.
"Dia anak Permaisuri," katanya lagi. "Kalau benda tersilap langkah, bukan setakat kita yang jatuh."
"Aku tahu." Jawapan itu keluar tanpa ragu. Kerana itu yang bermain dalam fikiranku sejak semalam.
"Aku tahu risiko dia," sambungku perlahan. "Sebab itu aku tak suka pilihan ini."
"Jadi jangan buat." sanggah Muaz.
Aku tersenyum nipis. Kalaulah semudah itu. "Kalau aku tak buat," kataku sambil berpaling memandangnya, "aku akan terus jadi macam semalam, berdiri dalam dewan tu, dengar orang persoalkan aku... tanpa apa-apa untuk melawan."
Muaz tidak menjawab. Aku tahu dia faham. Dan dia juga tahu aku tidak akan berhenti di sini.
"Aku perlukan diari itu, Muaz," kataku lagi. "Kalau benar apa yang bekas pembantu itu cakap... itu mungkin satu-satunya jalan kita."
Sunyi seketika.
Kemudian Muaz menghela nafas. "Kalau kau dah buat keputusan..." katanya, "aku ikut."
Aku mengangguk. Itu sahaja yang aku perlukan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Aku mengatur langkah perlahan ke taman diraja di tengah Istana. Dari jauh aku dah dapat lihat Alya menungu di tepi kolam ikan. Aku jalan perlahan mendapatkannya.
"Alya." tegurku.
Dia tidak terkejut. Malah tidak berpaling serta-merta. "Kanda jarang cari Alya macam ni." katanya, masih memandang ke arah kolam.
Aku melangkah mendekat.
" Mesti ada sesuatu kan." duganya. Aku diam.
"Ya, memang ada sesuatu." ujarku berterus terang. Alya berpaling pandang ke arahku.
Matanya terus mencari sesuatu pada wajahku. "Apa yang jadi?" soalnya. "Sejak semalam... seluruh istana bercakap."
Aku terdiam seketika. "Ya....sebab tulah, kanda nak minta bantuan Alya."
Dia mengangkat kening sedikit.
"Bantuan?" ulangnya perlahan. "Daripada Alya?"
Aku angguk perlahan. Aku pandang keliling untuk pastikan tiada telinga yang mendengar dan tiada mata yang memandang.
"Kanda perlu masuk ke kamar Almarhum Ayahanda dan bonda Noriah."
Sunyi.
Kali ini, Alya benar-benar diam.
