Perpustakaan diraja pada waktu malam mempunyai suasana yang berbeza.
Pada siang hari, tempat ini kelihatan seperti ruang yang teratur dan penuh sejarah—rak buku tinggi yang menyimpan dokumen berusia puluhan tahun, meja kayu besar yang digunakan oleh para sarjana istana, dan cahaya matahari yang masuk melalui tingkap tinggi.
Tetapi pada waktu malam... ia terasa seperti tempat yang menyimpan rahsia.
Sunyi. Berat. Seolah-olah setiap helaian kertas yang tersimpan di sini mempunyai sesuatu yang belum pernah diceritakan sepenuhnya.
Aku duduk di meja panjang di tengah ruang itu, ditemani hanya lampu meja yang memancarkan cahaya kekuningan. Di hadapanku bertimbun beberapa fail lama—rekod dalaman istana, laporan pentadbiran, jadual pertemuan rasmi.
Semua dari tahun-tahun terakhir pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar, Ayahandaku.
Aku tidak pernah benar-benar meneliti tempoh itu secara mendalam sebelum ini. Ketika baginda mangkat, aku masih berada di luar negara. Segala urusan pengurusan istana berjalan tanpa aku.
Namun selepas perbualan dengan Nenda... selepas percakapan dengan Tengku Rezuan... selepas Muaz hampir mati ditembak—
aku tidak lagi mampu mengabaikan masa lalu.
Jika ada sesuatu yang berlaku kepada Sultan Idris dahulu, kesannya pasti berlarutan hingga ke zaman pemerintahan ayahandaku dan jika ayahandaku mengetahui sesuatu....jawapannya mungkin tersimpan di sini.
Aku membuka satu lagi fail.
Rekod mesyuarat Majlis Penasihat Istana.
Tarikh demi tarikh.
Kebanyakannya biasa—perbincangan pembangunan negara, perlantikan pegawai, peruntukan kewangan.
Namun di antara semua itu, ada satu dokumen kecil terselit di dalam sampul yang sudah sedikit pudar. Sepucuk surat, atau mungkin mem dalaman.
Ditujukan kepada Sultan Iskandar.
Daripada Ketua Keselamatan Istana ketika itu.
Aku membaca perlahan.
****
Tuanku,
Seperti yang telah Tuanku sedia maklum, pihak risikan telah memperoleh maklumat risikan yang menunjukkan kemungkinan ancaman terhadap keselamatan Almarhum Sultan Idris sebelum kemangkatan baginda.
Walau bagaimanapun, sesuai dengan perkenan Tuanku sendiri, siasatan tentang hal itu dihentikan sementara untuk mengelakkan huru hara dan ketidakstabilan dalam istana.
Aku berhenti membaca.
Degupan jantungku tiba-tiba terasa lebih kuat.
Aku menyambung.
Siasatan lanjut pihak risikan apda ketika itu juga menjumpai petunjuk yang ada kemungkinan ancaman itu datang dari dalam istana sendiri.
Oleh yang demikian, Unit Keselamatan dan risikan memohon perkenan Tuanku untuk membuka semula siasatan selepas menngambil kira petunjuk baru ini.
****
Di bahagian bawah memo itu terdapat catatan tangan.
Aku yakin itu tulisan tangan ayahandaku.
Ringkas. Tegas.
"Perkara ini ditutup. Jangan dibangkitkan lagi."
Tanganku berhenti di atas kertas itu.
