Bahagian 18 : Konfrantasi

18 2 0
                                        


Langit di atas makam diraja kelihatan kelabu pucat, sunyi, seolah-olah matahari sendiri memilih untuk bersinar dengan lebih perlahan. Kawasan itu sentiasa terasa berbeza dari tempat lain dalam istana. Udara di sini lebih tenang, lebih berat. Seperti masa yang bergerak lebih perlahan.

Aku datang dengan Muaz. Tiada protokol rasmi. Tiada pengawal berbaris. Hanya kami berdua berjalan menyusuri laluan batu menuju ke makam ayahandaku, Almarhum Sultan Iskandar.

Aku sudah beberapa kali datang ke sini sejak pulang ke Beringinpura beberapa bulan lalu. Namun hari ini terasa lain. Hari ini aku datang membawa sesuatu yang tidak pernah aku bayangkan akan perlu aku bawa ke hadapan pusara ayahandaku.

Keraguan.

Muaz berdiri sedikit di belakang ketika kami sampai di hadapan pusara itu. Batu nisan marmar putih berdiri tegak, dihiasi ukiran khat yang kemas. Di sekelilingnya bunga-bunga segar yang baru ditukar oleh penjaga makam pagi tadi.

Aku duduk bersila di hadapan pusara itu. Muaz ikut duduk di sebelahku. Kami membuka mushaf kecil yang selalu dibawa oleh Muaz. Kemudian kami membaca Yasin bersama-sama. Suara kami perlahan. Tenang. Bergema lembut di ruang sunyi makam diraja. Setiap ayat terasa berat di lidahku. Setiap kalimah seolah-olah menembusi sesuatu dalam dadaku yang selama ini aku cuba abaikan.

Selepas selesai membaca, Muaz menadah tangan. Aku ikut menadah tangan. Dia membaca doa. Aku hanya mengaminkan dalam hati. Dan ketika doa itu selesai, kesunyian kembali memenuhi ruang di antara kami.

Muaz akhirnya bangun. "Aku tunggu di sana."

Aku mengangguk. Dia berjalan beberapa langkah menjauh, memberi aku ruang. Aku kembali memandang batu nisan di hadapanku. Nama ayahandaku terukir jelas di situ.

Sultan Iskandar Syah Ibni Sultan Ibrahim Syah.

Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Beringinpura.

Aku menarik nafas perlahan.

"Ayahanda....sudah lama Indera tak datang." Suara aku sendiri kedengaran asing di telingaku. "Bukan sebab tak mahu." Aku memandang tanah di hadapan pusara itu. "Tapi sebab Indera tak tahu apa yang patut Indera rasa."

Angin pagi bergerak perlahan melalui pepohon besar di sekeliling makam.

Aku menyambung. "Semua ini terlalu asing. Indera tak pernah menyangka Indera ada keluarga di sini."

Kenangan lama muncul satu demi satu. "Indera membesar jauh dari sini. Di luar negara. Dengan keluarga angkat, dengan dunia yang bukan dunia istana."

Aku tersenyum pahit. "Kadang-kadang Indera rasa macam orang asing di negeri sendiri."

Sunyi.

Aku memandang kembali batu nisan itu.

"Tapi Indera tak pernah sangka satu hari... Indera akan datang ke sini dengan soalan seperti ini."

Aku berhenti. Kata-kata itu terasa berat untuk keluar. "Betulkah ayahanda tahu apa yang akan berlaku pada Almarhum Sultan Idris?"

Nama itu terasa asing di mulutku. Walaupun dia sebenarnya bapa saudaraku sendiri. "Betulkah ayah biarkan perkara itu berlaku?"

Angin bertiup sedikit lebih kuat. Daun-daun kering berdesir di atas tanah. Aku menundukkan kepala.

"Indera tak tahu apa yang patut Indera percaya." Dadaku terasa sempit. "Kalau semua ini benar... maka ayahanda bukan sekadar mangsa dalam permainan ini."

Aku menelan air liur. "Ayahanda sebahagian daripadanya."

Sunyi.

Hanya bunyi angin yang bergerak melalui pokok. Aku memandang semula pusara itu. Namun walau bagaimana pun, satu perkara tetap tidak berubah.

PuteraCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang