Buku sejarah itu aku selak penuh rakus. Buku itu pernah menjadi kegilaan aku. Buku itu adalah suka duka zaman kanak-kanak aku. Bila semua yang lain bermain dan berteman, aku bersama buku itu terperangkap dalam kepuk bilik. Dan penjuru yang sama, satu sudut yang aku tandakan namaku dengan tinta halimunan.
Perihal buku sejarah itu, wujud seorang pahlawan di situ, watak utama. Tidak punya nama namun dia itu aku megah-megahkan kerana dia hebat sebagai adiwira. Helaian seterusnya itu, aku temui seorang pak cik. Sudah agak berumur, dan dia tersenyum sahaja dari jauh.
Aku dekati manusia berumur itu. Dengan sebuah senyuman sahaja, dia ramah memulakan cerita. Dia menceritakan perihal sebenar pahlawan tersebut. Aku mengangguk. Mengiyakan tidak, menidakkan pun tidak. Versi yang diceritakan lelaki tua itu jauh betul dari kefahaman aku.
Menurut pak cik itu, pahlawan itu dihalau dari kampung halaman. Aku bertanya mengapa dia dihalau. Dan jawapannya sama dengan jawapan kepada soalan mengapa aku memandang pahlawan itu sebagai adiwira. Lalu, sejenak aku diam.
Sebab yang sama membuatkan aku mengkagumi pahlawan itu adalah penyebab pahlawan itu tidak disukai. Jelas, inilah kehidupan di dunia. Lama dulu aku sudah tahu. Dan aku terus tersenyum. Sebab pahlawan itu adalah seorang pahlawan sejati bagi aku.
Buku sejarah itu aku tutup kemas dan di simpan elok-elok. Lain masa, bila tiba waktunya yang sesuai, akan aku selak ia lagi.
YOU ARE READING
DAYYA-ISM
Random"Aku seorang pemikir yang mengalirkan tinta rasa ke muara hati tiap-tiap kalian." ; kalau tidak dapat kalian rasakan sekarang, mungkin saja nanti. (Bila aku sendiri sudah tidak ada lagi) Bukankah pemikir itu cuma diangkat fikirannya bila dia suda...