28

4 1 0
                                    

 Aku teringat dahulu masa kecil-kecil aku suka sangat menulis dalam buku kecil. Notasi-notasi ringkas. Kadang-kadang penuh dengan semangat, kadang-kadang penuh dengan drama. Aku tak biasa diajar menulis guna rasional. Aku mendidik diri sendiri menulis dengan perasaan. Sebab itu kata mereka yang hebat-hebat, tulisan aku tidak boleh jauh bergerak. Balik-balik aku tulis apa aku mahu tulis. Bukan apa khalayak mahu baca.

Aku tidak pernah ambil kesah mengapa orang lain menulis. Sedang pada aku, aku menulis untuk mencapai kepuasan. Kalau dalam satu malam aku ada lebih sepuluh perkara mahu bercerita maka aku akan menulis semua perkara itu. Kalau dalam sepuluh itu khalayak cuma baca satu, silakan. Kalau masih ada yang setia mahu habiskan kesemua sekali juga, silakan. Itu hak kalian. Dan hak aku pula adalah menulis. Sebab satu-satunya cara aku bercerita adalah melalui tulisan.

Aku setakat ini, belum pernah menulis untuk orang lain. Aku tidak pernah berfikir apa kalian mahu baca. Aku mungkin kalian anggap tidak menghargai kalian. Tapi tahu tak kalian, aku sebenarnya percaya pada kalian. Aku anggap kalian semua punya otak untuk memilih sendiri apa kualiti kalian mahu dalam tulisan. Aku tidak pernah memujuk rayu kalian datang membaca tulisan kecil aku. Sebab aku sendiri tahu taraf tulisan aku cuma antara baris lorong semalam dan hari ini. Dan kalau pun terkehadapan sedikit, ada lubang-lubang cahaya untuk diintai jauh mana datang duga esok. Dunia aku kecil.

Dan dunia aku, rupanya masih ada yang datang singgah. Meminjam secubit dua rasa yang aku kongsi. Dalam seminggu dua aku menjadi pembaca senyap, aku tersenyum bila mana melihat tulisan-tulisan aku pada komen blog penulis lain menjadi cerita pada olah penulis lain. Tulisan kecil aku pada dunia kecil aku, dikongsi-kongsi orang. Tulisan aku dari notasi-notasi yang lama dulu tersimpan dalam buku nota lama sudah disebar orang merata-rata. Aku suka-- meski mereka-mereka itu semua tidak kenal siapa aku. Aku gembira untuk tidak disebut orang. Sebab aku takut satu hari nanti aku akan telanjang berbangga pada diri dengan riak tidak sudah-sudah.

Perkongsian rasa itu, meski sedikit aku harap tetap beri ikhtibar pada orang. Aku mahu terus menjadi penulis yang tidak dikenali, seperti sekarang. Sebab satu masa nanti, aku akan berbangga bila ada remaja membacakan tulisan di tepi aku tanpa mereka kenal siapa aku. Aku mahu duduk di sebelah mereka sambil diam-diam berbangga.

Aku cuma mahu orang kenal hati aku.  

DAYYA-ISMWhere stories live. Discover now