PART 29 & 30
PART 29
"Maafkan Mak Som, Amsyar. Tuan Zainal, maafkan saya. Amy yang minta saya rahsiakan semuanya dari tuan dan Amsyar. Maafkan saya."
Suara Mak Som tidak kedengaran langsung di telinga Amsyar. Hanya Allah saja yang tahu betapa hancurnya hati diaa saat dikhabarkan mengenai penyakit Ammelia oleh doktor yang bertugas. Menambah luluh di hatinya apabila Ammelia merahsiakan semuanya dari dia. 'Ya Allah, apa aku dah buat? Di saat dia perlukan sokongan aku, aku tinggalkan dia. Ya Allah, suami jenis apa aku ini? Ya Allah.'
"Amsyar."
"Daddy? Ni semua salah Amsyar. Kalau Amsyar tahu dari awal, Ammelia mesti tak sakit macam ni. Amsyar tak bagi sokongan langsung pada dia." Amsyar meraup wajahnya, tanda kekesalan yang amat sangat.
"Daddy lebih bersalah, Amsyar. Daddy terus-terusan salahkan Ammelia. Daddy dingin dengan anak perempuan daddy sendiri. Ya Allah, bersalahnya daddy pada arwah mummy Ammelia."
Amsyar diam tak terkata. Dia suaminya. Ammelia di bawah tanggungannya namun dia tidak sesekali cuba mendekati isterinya itu. Beratnya ujian Allah padanya kali ini. Kalau dulu dia rasa, perkahwinannya dengan Ammelia adalah ujian terberat dari Allah, kini sudah berubah. Andai dia kehilangan Ammelia, itulah ujian yang paling berat yang pernah dia terima. Dia tidak pernah membenci Ammelia walaupun mulutnya pernah mengatakan benci pada Ammelia.
"Amsyar? Mana menantu ibu?" Puan Aminah datang dengan wajah yang sarat dengan kebimbangan.
Amsyar angkat muka. Matanya sudah bergenang dengan air.
"Ada kat dalam ibu."
"Ibu tak sangka yang Ammelia ada penyakit. Selama ni, dia melawat ibu. Ceria sentiasa, tak pernah sekali pun dia tunjuk yang dia sedang kesakitan. Semalam, dia peluk ibu lama sangat. Dia siap cakap dia sayangkan ibu sangat-sangat. Ibu tak sangka sekali hari ini..." Puan Aminah menelan kata-katanya. Sebak sudah mengepung dada. "Ibu sayang Ammelia, Amsyar. Dia memang menantu terbaik ibu."
Encik Bakri menggosok belakang isterinya. Menenangkan isterinya yang emosinya sudah tidak stabil.
"Ammelia datang melawat ibu?" Amsyar bertanya. Hatinya berdetik dengan pelbagai persoalan.
"Setiap hari dia datang. Awal-awal pagi dah sampai dengan barang dapur. Sebelum dia balik mesti dia pesan pada ibu, andai dia pergi dulu sebelum Amsyar. Dia minta ibu kahwinkan Amsyar dengan Ain. Ibu tak faham, Amsyar."
Amsyar mengesat air mata yang sudah mengalir.. 'Ya Allah, betapa berusahanya dia untuk membahagiakan aku. Kenapa aku tidak pernah nampak semua itu? Ya Allah, mulianya hati isteri aku.'
"Amsyar, doktor dah keluar."PART 30
Amsyar terus berdiri.
"Encik Amsyar, maafkan kami. Keadaan Puan Ammelia sangat kritikal. Kami dapati badan Puan Ammelia sangat lemah. Sudah tiada apa yang dapat kami usahakan. Sekarang ni, kita cuma mampu berdoa dan tawakal sahaja pada Allah."
Doktor muda itu menepuk bahu Amsyar sebelum berlalu. Amsyar pula terduduk kembali. Air mata mengalir tanpa dipinta. Jiwanya sudah tidak keruan. Penyesalan mula merajai hati. Dia tidak sanggup melangkah masuk ke dalam wad. Dia tidak mampu untuk berhadapan dengan Ammelia yang lemah. Dia sungguh tidak mampu. Dia bangun kemudiannya.
"Amsyar, kamu nak ke mana?" Tuan Zainal bertanya saat Amsyar melangkah ke arah bertentangan dari wad yang menempatkan jasad Ammelia.
"Saya nak ke surau." Lemah suara yang keluar. Dia ingin bertemu dengan Penciptanya. Dia ingin berdoa kepada Dia.
"Ya Allah, bantulah aku. Berikan aku kekuatan untuk menghadapi semua ini. Ya Allah, baru aku sedar betapa berharganya kehadiran Ammelia Syuhada dalam hidupku. Aku takut, Ya Allah, aku takut untuk menghadapi segala kemungkinan yang bakal berlaku, Ya Allah. Sesungguhnya, aku mencintai dia. Sesungguhnya, aku menyayangi dia. Tiada siapa yang mampu gantikan tempat dia sebagai isteriku. Dialah bidadari syurgaku, Ya Allah.Ya Allah, terima kasih kerana sudi mengurniakan aku isteri sebaik-baiknya. Ya Allah, berikan aku sedikit lagi waktu untuk aku membahagiakan dia walaupun seketika cuma. Cuma ini yang aku inginkan dari-Mu. Sesungguhnya Engkau lebih mengetahui."
Amsyar meraup muka. Dia bangkit lalu dia segera pergi ke rak yang ada di surau itu. Di capai pula Surah Yasin yang tersusun elok di atas rak lalu dia duduk kembali dan terus memulakan bacaan Yasin.
"Ammelia, kenapa kamu tak bagi tahu daddy tentang penyakit kamu? Kenapa kamu diamkan? Kamu nak jadi seperti mummy? Tinggalkan daddy tanpa sebarang pesan?" Tuan Zainal merintih sedih. Tangan kanan anaknya itu digenggam kuat.
"Daddy..." Tuan Zainal mendongak. Ammelia sudah sedar!
"Ammelia."
"Amy minta... maaf. Amy... tak nak... susahkan daddy. Amy... dah banyak menyusahkan... daddy."
Tuan Zainal menangis.
"Maafkan daddy, sayang. Daddy tak sepatutnya bersikap dingin dengan Ammelia. Maafkan daddy, sayang."
"Daddy... tak nak menangis. Dah.. tak hensem...daddy Ammelia Syuhada." Butir bicaranya, meskipun perlahan namun cukup kuat di pendengaran Tuan Zainal.
"Daddy." Suara Amsyar menganggu perbualan Ammelia dan Tuan Zainal.
Mata Ammelia menyoroti lelaki itu. Matanya merah. Hidungnya juga merah. 'Adakah keadaan aku seperti ini mengundang tangismu?'
"Amsyar, sini."
"Ibu dengan abah saya ada kat mana, daddy?"
Amsyar memandang Tuan Zainal. Dia sedikitpun tidak menoleh ke arah Ammelia.
Ammelia rasa nak menangis. 'Sampai hati. Aku yang dah tinggal separuh nyawa ni pun, dia tetap tak nak pandang.'
"Mereka dah balik dulu. Ibu Amsyar tak sudah-sudah menangis, jadi lebih baik bawak dia balik dulu."
Amsyar mengangguk.
"Daddy tak nak balik? Biar Amsyar yang jaga Ammelia malam ni."
Tuan Zainal perlahan-lahan mengangguk.
"Ikut daddy memang daddy nak duduk kat sini je malam ni tapi sebab kamu ada kat sini, daddy rasa baik daddy balik." Tuan Zainal pandang Ammelia.
"Daddy balik ye, sayang? Biar Amsyar teman Ammelia."
Ammelia mengangguk. "Daddy, Amy nak... salam daddy."
Tuan Zainal terus memegang tangan Ammelia lalu dia sendiri menolak tangannya untuk dicium Ammelia. Dia kemudiannya mengucup dahi anak perempuannya itu. "Daddy balik dulu, sayang."
Ammelia mengangguk dan dia terus memandang ayahnya sampailah ayahnya keluar dari wad itu. Buat seketika Amsyar diam. Ammelia pun diam.