PART 19 & 20
PART 19
Mati senyuman di bibir lelaki itu. "Ingat. Sentiasa."
Ammelia menganggukkan kepala. Pedihnya hati dia saja tahu tapi wajahnya memaparkan riak tenang.
"Oooo..."
"Kenapa Ammelia tanya?"
Ammelia geleng kepala sambil tersenyum. Kepala terasa sakit tiba-tiba, mungkin sebab luahan hati Amsyar yang begitu tulus.
"Saja nak tanya. Amy nak mandilah. Sakit kepala."
"Ammelia sihat tak? Selalu je sakit kepala." Wajah Amsyar beriak kerisauan.
Ammelia sengih. "Okey. InsyaAllah. Kerja banyak sangat kot."
"Nak pergi klinik tak esok? Amsyar teman."
"Tak payahlah." Ammelia geleng sambil mengukir senyum.
"Amsyar, kita jadi nak ke rumah ibu hujung minggu ni?"
Amsyar mengangguk. "Jadi kot. InsyaAllah. Kenapa?"
"Amy takut. Takut ibu marah Amy lagi."
Amsyar tersenyum. "InsyaAllah, tak ada apa-apa kot."
Padahal dia sendiri risau penerimaan Puan Aminah. Dia teringat kembali peristiwa seminggu selepas perkahwinannya. Dia bertandang ke rumah ibunya namun ibunya tidak keluar bilik langsung. Yang melayan mereka ketika itu cuma Encik Bakri.
"Hmm, okey." Ammelia angguk kepala sebelum berlalu ke bilik air.
"Assalamualaikum." Ammelia pegang lengan Amsyar saat Amsyar memberi salam.
"Waalaikumussalam." Encik Bakri buka pintu rumah dan wajahnya terpancar seri kegembiraan.
"Amsyar! Ammelia! Masuklah."
"Ibu mana, abah?"
"Tengah memasak." Encik Bakri peluk bahu anak lelakinya itu.
"Siapa datang abah?"" Wajah Puan Aminah tejegul di muka pintu rumah sederhana besar itu. Namun senyumannya mati saat terlihat wajah anak menantunya.
"Anak kita ni." Encik Bakri pura-pura ceria meskipun wajah isterinya penuh dengan kekeruhan. Puan Aminah terus berlalu saat Ammelia dan Amsyar mendekati.
"Jangan dihiraukan ibu kamu tu." Encik Bakri tepuk bahu Amsyar dan dia masuk ke dalam.
"Amsyar." Amsyar kalih muka pada Ammelia yang nampak sedih.
"Kenapa ni?"
"Ibu... dia tak suka Amy."
"Bukan macam tu. Ibu marah lagi agaknya. Tak ada apalah."
Ammelia mengeluh.PART 20
"Jom masuk."
Amsyar berlalu meninggalkan Ammelia termangu di luar rumah.
"Ibu, Amy tolong ye."
Wanita separuh abad itu berpura-pura tidak peduli.
"Ibu, Amy siang ikan keli ni ye?"
Masih diam. Ammelia tak menunggu lama, dia mula menyiang ikan keli yang ada di dalam sinki dapur.
Puan Aminah mengerling pada Ammelia yang asyik menyiang ikan. Dia kagum dengan kecekapan Ammelia menggunakan peralatan dapur. Tidak kekok langsung.
"Mana kamu belajar siang ikan ni?" Terpacul soalan dari mulut Puan Aminah.
"Arwah mummy sempat ajar. Lagipun sebelum Amy masuk universiti dulu, Amy banyak belajar dengan Mak Som." Dia ukir senyum pada ikan keli yang dah mati. 'Nasib baik kau ada, nak ibu cakap dengan aku.'
"Siapa Mak Som?"
"Orang gaji kat rumah Amy tapi dia dah macam mak Amy sejak mummy meninggal."
"Dulu mummy kamu tu meninggal sebab apa?" Puan Aminah mengacau kari ayam yang sudah mula mengeluarkan aroma lazat. Ammelia diam seketika sebelum menjawab.
"Kanser."
Namun dia ukir senyum.
"Ikan keli dah siap siang. Nak masak apa ni, ibu?"
"Kamu tahu buat keli goreng berlada?"
"Tahu." Laju dia menjawab.
"Hah, kamu masakkan untuk ibu." Suara Puan Aminah yang lembut itu menyentuh hati Ammelia.
"Baik, ibu." Ceria wajah Ammelia menuturkan. Amsyar yang ada di pintu dapur tersenyum. 'Ibu tak benci awak, Ammelia.'
"Amsyar nak ke mana? Bersiap semua." Encik Bakri dah berkerut dahi apabila anaknya itu sudah siap dengan baju t-shirt tanpa kolar dan seluar jean.
"Nak keluar kejap, abah."
"Ibu kamu mana?"
"Ada kat atas dengan Ammelia."
Encik Bakri angkat kening. Sejak mereka makan tengah hari semeja, isterinya itu sudah boleh bersembang dengan menantu ekspressnya itu walaupun mukanya masih ketat.
"Amsyar pun tak faham, abah." Amsyar tersengih.
Sedikit sebanyak dia lega. Ibunya sudah boleh menerima Ammelia. Persoalannya sekarang, bila dia boleh terima Ammelia?
"Amsyar."
Bersambung...