BAB 8

260 5 0
                                    


Sejak akhir-akhir ini, hujan turun di waktu pagi. Jadi sukar untuk Khaira ke sekolah kerana dia berbasikal ke sana.

Hendak tak hendak terpaksalah Pak Salleh menghantar anaknya pagi-pagi dengan kereta Tuan Azman. Itupun kerana Tuan Azman yang suruh. Insan yang masih ada hati perut hempedu usus dalam rumah tu. Masalahnya bila pulang sekolah Khaira terpaksa jalan kaki. Memang selalulah dia berjalan kaki pulang kerana selepas Pak Salleh hantar anak-anak Tuan Azman pulang ke rumah, dia terpaksa bergegas ke pejabat. Tuan Azman selalu ada lunch date dengan supplier.

"Kak Khaira... Kak Khaira..." panggil Anis.

Khaira yang sedang berjalan dengan Najwa terhenti.

"Kak Amani kata hari ni dia tak naik kereta, kakak bolehlah tumpang sekali, kakak duduk depan dengan Pak Salleh, biar Anis duduk belakang," kata Anis anak kedua Tuan Azman dan Puan Maztura.

Anis lebih bertimbangrasa dan tidak menyakitkan hati seperti abang dan kakaknya. Pelajar tingkatan 3, yang pernah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR seperti abangnya.

"Ya ke... Amani pergi mana?" tanya Khaira sambil duduk bersama Anis menunggu Pak Salleh menjemput mereka.

"Dia pergi pesta buku dekat PWTC," kata Anis lancar.

Khaira kerutkan dahinya. Setahunya, pesta buku itu sudah habis minggu lepas, tidak tahulah kalau-kalau dilanjutkan lagi.

"Anis tak ikut?" tanya Khaira

"Kak Amani tidak bagi," jawabnya seperti sedih.

Nama Khaira dipanggil seseorang, dia menoleh, Susan rupanya. Susan adalah pelari sekolah sepertinya. Pelajar tingkatan 5 Amanah itu juga antara pelajar terbaik sekolah. Tapi hidupnya agak sosial, setiap minggu dia akan berparti kalau tidak di rumahnya, di kelab. Namun begitu dia seorang yang pandai, baik, tidak sombong dan tidak memilih kawan. Seperti....

"Syakhaira, saya hendak ajak awak ke rumah saya petang ni, ada parti, awak datanglah," ajak Susan.

"Susan awak tahukan, saya mana boleh pergi ke parti. Ayah saya marah." Adu Khaira. Memang dia jarang keluar rumah. Keluar bilik pun jarang, inikan pergi ke parti. Mampus kena sembelih dengan Pak Salleh.

"Alah! parti harijadi saya sahaja, awak datanglah, awak tidak pernah datang parti saya. Saya buat di rumah bukan di kelab, awak datang tau, ni alamatnya. Datang tau, saya nak kenalkan awak dekat papa mama saya," Susan begitu berharap.

Khaira hanya tersenyum.

"Datang tau, Amani pun ada datang..." tambah Susan. Anis dan Khaira saling berpandangan. Kantoi.

Setelah mendapat persetujuan ibu dan ayahnya, Khaira pergi ke rumah Susan. Pak Salleh sendiri yang menghantarnya ke sana. Dengan berbaju kurung moden berkainkan batik jawa dan bertudung bawal berwarna kegemarannya purple, dia melangkah masuk ke banglo 3 tingkat itu. Ramai juga pelajar sekolahnya yang di kenalinya dan ada juga yang tidak. Masing-masing berpakaian ala-ala fairy tale. Biarkan la, aku datang untuk berikan hadiah kepada Susan dan balik, itu jer.

Keadaan rumah Susan yang dipenuhi orang dan bunyi muzik yang kuat, sikit sebanyak telah membuatkan kepala Khaira pening. Novel 'The girl on the train' karya penulis Paula Hawkin elok dibalut cantik di jadikannya hadiah untuk Susan.

Khaira tahu selain bersukan, Susan juga suka membaca novel kerana mereka sering bertukar novel.

Khaira terbatuk kecil dek bau asap rokok di ruang tamu rumah Tauke Lee itu. Dari jauh dia nampak Amani sedang menari sakan dengan seorang budak lelaki. Biarkanlah dia tu. Kalau dia tidak nampak lagi bagus. Manalah tahu datang angin puting beliung dia tiba-tiba mengamuk di situ. Khaira tahu.. Khaira tidak setaraf untuk pergi parti seperti Amani... Sentap kejap.

Khaira dapatkan Susan yang cantik berbusana seperti Princess Cinderella. "Selamat harijadi Susan, semoga awak sukses selalu..."

"Terima kasih kerana sudi hadir." Mereka bersalaman dan berpelukan. Hadiah di tangan Khaira beralih tangan.

Susan kemudian menarik tangan Khaira menuju ke tepi kolam ikan koi untuk bertemu bapa dan ibunya. "Mari..."

"Papa inilah Syakhaira, pelajar terbaik dan pelari 100m sekolah saya yang saya selalu cerita," Khaira diperkenalkan pada Tauke Lee dan Madam Mary. Mereka bersalam. Tauke Lee dan Madam Mary turut mengena kostum yang cantik, seakan King Triton dan Ursula. Spoting habis mak pak dia... patutlah.

"Susan banyak cerita tentang kamu, saya dengar kamu bercita-cita tinggi," kata Tauke Lee. Khaira tersenyum dia bertuah berjumpa dengan Tauke Lee yang juga ahli jawatan kuasa PIBG sekolah.

"Saya ingin menjadi seorang doktor pakar, kalau diberi peluang saya ingin belajar di Ireland," kata Khaira. Semasa kecil lagi dia sudah bercita-cita tinggi.

Khaira sedikit teruja dengan keperibadian Tauke Lee dan Madam Mary. Walaupun kaya, mereka tidak sombong atau memandang rendah pada orang lain. Begitu juga Susan. Tidak seperti Puan Maztura dan Amani.

"Syakhaira awak nak pergi jauh-jauh, tak rindu pada keluarga ke nanti. Ala, nanti saya tidak ada kawan, ikut sayalah, kita pergi Jepun," pujuk Susan. Khaira hanya tersenyum sahaja.

"Asyik berborak sahaja, tidak lapar ke? Mari makan Syakhaira..." ajak Madam Mary. Khaira mengambil seketul ayam yang telah dipanggang dan sedikit kentang goreng. Dia duduk sendirian di tepi ruang tamu sambil melihat gelagat rakan-rakannya berpesta. Sementara Susan sibuk melayan tetamu yang lain. Sesekali suapannya terganggu dek ketawa tetamu yang lalu dihadapannya.

Khaira meneliti busananya, tudung bawal purple muda, baju kurung moden dan berkain corak batik jawa yang berlipat seperti lipatan kain batik. Sungguh ayu dan manis. Okey apa, boleh jadi Mahsuri ataupun Tun Teja. Fairy tale juga ni, fairy tale melayu.

Makanan di pingannya tidak habis, dia rasa mual dengan bau rokok dan bau arak yang turut juga disajikan oleh keluarga itu. Sisa makanan dicampak sahaja ke dalam tong yang telah disediakan. Kalau mak tahu dia membazir, panjang bebelannya.

Khaira mencari Susan, dia ingin mengucapkan selamat tinggal. Khaira hendak segera pulang. Bau-bauan yang asing itu betul-betul sudah menghalang oksigen untuk sampai ke dalam otaknya.

Sedang mencari Susan di celah puluhan manusia. Tiba-tiba kakinya tersandung karpet dan dia tersungkur.

Gedebukk... macam nangka madu busuk. Jatuh betul-betul di atas peha Zain. Zain terkejut. Amani dan Irin di sisinya juga terkejut. Khaira lagilah... terkejut beruk.

"Hai darling! Ini di namakan bulan jatuh ke riba..." kata Zain tersengeh-sengeh.

"Sorry," kata Khaira cuba bangun. Tiba-tiba badannya tertolak ke sisi. Tersungkur kali kedua di atas lantai. Khaira bangun sambil mengosok sikunya yang sakit kerana menampung mukanya dari tercium lantai marmar rumah banglo itu. Air mata mula bertakung di kelopak matanya turut terhenti bila tiba-tiba air arak dari cawan si pemegang dicurah ke mukanya. Basah.

Amani ketawa. Dia puas.

"Hoi! anak suruhan, ada hati hendak berparti, buat malu sahaja. Sudahlah tidak ikut tema. Sakit mata aku tengok kau..." kata Amani yang menambah lagi gelak ketawa mereka.

"Inikan nenek kebayan... nenek-nenek mana tongkat nenek. Itulah kan dah terjatuh..." tambah Irin.

Beberapa orang yang sedang menari terhenti. Mereka ketawa, bagaikan ada badut yang sedang beraksi... Zain juga turut ketawa.

"Nenek kebayan!... nenek... nenek... " sorak Amani diiringi Irin serta beberapa rakannya sambil bertepuk tangan.

Air mata yang bertakung di kelopak mata Khaira turun laju. Dia ingin berlari pulang tetapi kakinya lemah berdiri. Bukan sahaja badannya tersungkur, malah jiwa raganya turut sama.

Tiba-tiba lengannya dipaut seseorang. Dia ditarik untuk bangun dan dibawa keluar. Keluar dari dunia gelap itu.

DUN1MWsk| 8&


KONTRAK CINTAWhere stories live. Discover now