BAB 02 - I

327 20 0
                                    

"SO, macam mana rumah baru kau tu?" tanya Siti sambil menghirup coklat panasnya.

Dewi tidak terus menjawab. Dia menelan habis terlebih dahulu karipap di dalam mulutnya. Mereka berdua berada di kafeteria kampus ketika ini. Bersarapan sebelum ke kelas pertama mereka untuk hari ini jam sembilan nanti.

"Bolehlah, cuma banyak nak kena kemas. Yalah, banglo tu bukan banglo baru, banglo lama. Ibu aku beli."

Siti angguk akur.

"Tapi yang penting, lebih dekat dengan kampus ni, kan? Nanti bolehlah aku lepak rumah kau."

"Boleh aje. Alang-alang kau dah cakap macam tu, petang ni lepas kelas, kau ke rumah aku boleh? Tolong aku kemas barang."

Siti diam sejenak sambil menjamah makanannya. Memikirkan semula andai dia ada temu janji petang ini.

"Boleh. Tapi aku tak boleh lama."

"Tak kisah, lagi pun aku perlukan pertolongan kau sekejap aje."

"Okey."

Lega Dewi mendengar jawapan rakan sekuliahnya itu. Mereka sudah berkenalan dan berkawan baik sejak hari pertama mereka mendaftar di kampus ini .

Perbualan tergendala seketika.

"Rumah lama kau sebelum ni, ibu kau jual?" tanya Siti lagi, seketika kemudian.

"Taklah, ibu aku serahkan pada Pak Long aku. Rumah tu atas nama Pak Long aku. Ibu aku tak nak jadi isu di kemudian hari. Biasalah, pasal duit dan harta ni, kadangkala, adik beradik pun boleh bermusuhan."

"Oh..." hanya itu yang mampu Siti balas. Dia merasakan hal itu terlalu sensitif untuk dibicarakan. Hal keluarga. Dia tidak mahu masuk campur.

"Tapi... aku rasa macam..." luah Dewi, beberapa saat kemudian. Ada keresahan di wajahnya.

Siti yang sedang mengunyah makanannya memandang Dewi lama sambil menanti kawan baiknya itu menyambung kata-katanya.

"Macam apa?" tanya Siti bila Dewi masih berkira-kira hendak menyambung kata-katanya atau tidak. Tidak semena-mena dia mula disapa rasa hairan. Sepertinya Dewi sedang memendam sesuatu.

"Entahlah."

Dewi mengabaikan sisa makanannya. Apa yang dia alami semalam masih segar dalam ingatannya.

"Rumah tu berhantu?" Siti sekadar menebak. Dan dia yakin tebakannya itu boleh diterima akal.

Dewi memandang wajah Siti untuk beberapa saat. Bimbang Siti akan mentertawakannya andai dia mengiakan tebakan itu.

"Kalau aku kata rumah tu ada hantu, kau percaya tak?" jawab Dewi dengan pertanyaan.

Siti memandang kiri dan kanan. Hanya ada beberapa orang pelajar sahaja di kafeteria itu yang sedang bersarapan seperti mereka. Tiba-tiba sahaja tubuhnya merinding.

"Aku percaya, hantu tu wujud. Tapi, kau yakin rumah kau tu ada hantu? Kau kena fikir rumah tu akan jadi tempat tinggal kau selepas ni tau?" Siti sekadar ingin memastikan.

"Aku pun tak pasti. Senja semalam aku macam dengar bunyi orang ketuk pintu rumah. Bila aku buka pintu, tak ada sesiapa kat luar. Lepas tu, beberapa kali juga aku nampak seorang perempuan berjubah hitam berdiri kat depan pintu pagar banglo tu."

Semakin merinding tubuh Siti selepas mendengar cerita Dewi itu. Kuih lapisnya di atas pinggan diabaikan terus.

"Seram pulak aku dengan cerita kau ni, Dewi. Tapi, tak mustahil banglo tu ada hantu. Setahu aku, banglo kat atas bukit tu, banglo lama." Siti memperlahankan nada suaranya. Bimbang perbualan mereka yang dianggap agak sensitif itu akan didegari sesiapa. Bisa sahaja mengundang tanggapan yang bukan-bukan.

"Tapi, sejak aku pindah kat sana beberapa hari lepas, tak ada pulak aku alami kejadian-kejadian pelik. Cuma semalam ajelah. Tu pun aku tak nampak apa-apa yang mencurigakan."

"Mungkin mainan perasaan kau aje tak?" pintas Siti cuba berfikiran positif. Terkadang andai kita terlalu memikirkan sesuatu perkara itu kita akan terbawa-bawa hal itu ke dunia realiti.

"Mungkin juga." Dewi masih tidak dapat menyahihkan apa sebenarnya yang telah berlaku semalam.

"Eh, dah pukul lapan empat puluh lima, jomlah gerak. Lambat pulak nanti," ujar Siti seketika kemudian selepas tersedar yang mereka sudah agak lama duduk di kafeteria itu.

Dewi memandang jam di pergelangan tangannya, sekilas.

"Okeylah, jom," akur Dewi lalu menghirup sisa minumannya.

Siti turut menghirup sisa minumannya lalu mereka mula bersiap-siap untuk ke dewan kuliah.

Saat mereka berdua melangkah keluar dari kafeteria, mereka telah berselisih dengan seseorang di pintu masuk. Melihatkan insan itu, Dewi terus menundukan pandangan. Ada sesuatu mula menjalar di lubuk hatinya saat bertentangan mata dengan insan itu. Insan yang telah menarik perhatiannya sejak di minggu induksi lagi. Lebih mengembirakan Dewi bila dia terpandang senyuman dari insan itu untuknya. Tanpa diduga dia berbalas pandangan  dengan insan itu untuk beberapa saat.

"Eh, kau main mata dengan budak tu ek?" tanya Siti yang perasan pandangan insan tadi terhadap Dewi.

"Ha? Main mata?" Dewi bingung bila ditanya soalan itu.

"Jangan pura-pura tak tahu ya? Kau main mata dengan Abang Randy tu kan? Aku perasan ya?"

"Isy, mana ada? Kau ni, tak baik buruk sangka."

"Tak adanya aku nak buruk sangka kalau aku nampak dengan mata aku sendiri. Kau..."

"Dahlah Siti, tak perlu nak fikir bukan-bukan. Cepat jalan, lambat pulak kita sampai ke dewan kuliah nanti," tintas Dewi sebelum sempat Siti menghabiskan kata-katanya lalu dia melajukan langkah, meninggalkan Siti di belakang.

Siti mengecilkan kelopak matanya memandang Dewi di hadapan. Dia yakin dengan apa yang dia nampak tadi. Seketika kemudian, dia mengejar langkah Dewi yang semakin menjauh ke depan. Tanpa disedari mereka berdua, ada sepasang mata sedang memandang mereka berdua dari jauh sejak mereka di kafeteria kampus tadi.

Bersambung...

========================================

Sedutan bab seterusnya...

"Memang pun pelik. Kadang-kadang aku dengan budak-budak serumah yang lain pelik bila dengar dia macam bercakap sorang-sorang dalam bilik dia. Sedangkan tak ada siapa pun datang bilik dia masa tu. Aku dengar cerita, dia tu boleh nampak sesuatu yang kita tak nampak."

"Sesuatu yang kita tak nampak?" beria-ia Dewi bertanya. Agak janggal kata-kata Sham itu menyelusuri corong telinganya.

==========================================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now