BAB 02 - II

266 14 0
                                    

KEADAAN dalam dewan kuliah mulai riuh selepas pensyarah menamatkan kuliah mereka untuk hari ini sebentar tadi. Masing-masing mula meninggalkan dewan kuliah itu kecuali Dewi, Siti dan beberapa orang lagi pelajar lain yang duduk di meja paling belakang.

"Hai you all!"

Sapaan itu membuatkan Siti dan Dewi serentak menoleh ke depan. Kelihatan, salah seorang kawan baik mereka sedang melangkah menghampiri meja mereka.

"Kenapa?" tanya Siti selepas Sham melabuhkan punggungnya di atas kerusi kosong di sebelahnya.

"Kau orang dah siap assignment yang Puan Jun bagi minggu lepas? Kena hantar minggu depan, kan?" tanya Sham, sedikit risau.

"Belum. Masih dalam proses nak siapkan," jawab Siti.

"Kau Dewi?" soalan beralih ke Dewi.

Dewi yang sedang mengemas alat tulisnya menoleh memandang Sham.

"Belum. Kau dah siap ke?" jawab Dewi disusuli pertanyaan.

"Belum. Soalan tiga tu macam susah sikitlah," keluh Sham, sambil tarik muncung.

Siti dan Dewi saling berpandangan untuk seketika lalu tergelak kecil.

"So, apa kaitan dengan kita orang?" Siti pula bertanya.

"Aku ingatkan nak ajak kau orang lepak library petang nanti. Tolong aku jawab soalan tiga tu."

Sekali lagi Siti dan Dewi saling berpandangan.

"Tak bolehlah Sham. Petang ni aku dah janji dengan Dewi nak ke rumah dia. Nak tolong dia kemas bilik. Dia kan, baru pindah rumah."

Dewi angguk beberapa kali mengiakan kata-kata Siti.

"Alaa... kalau macam tu aku ikut ke rumah Dewi boleh tak? Kita buat study grup kat rumah Dewi, okey tak?" cadang Sham. Dia sudah kebuntuan untuk menjawab salah satu soalan tugasannya yang dianggap susah.

"Isy, tak boleh. Ibu aku tak ada kat rumah. Biasanya, lewat petang baru ibu aku balik dari ofis. Tak manis."

Terus sedepa Sham menarik muncungnya.

Siti dan Dewi tergelak kecil melihat gelagat kawan baik mereka itu. Sungguhpun Sham itu lelaki berperwatakan lembut, sedikit pun mereka tidak pernah kisah akan kekurangan itu. Pada mereka, Sham seorang lelaki yang baik hati dan kelakar. Cuma mulutnya sahaja terkadang 'pedas' jika berkata-kata.

"Habislah aku, kena repeat semesterlah nanti," keluh Sham lagi, pilu.

Siti dan Dewi semakin galak tertawa.

"Kau ni Sham, overlah! Relakslah. Bukannya assignment tu nak kena hantar esok pun, kan? Esok kan ada masa lagi."

Dewi geleng kepala sambil menghabiskan tawanya. Saat dia menoleh ke belakang dewan kuliah, dia terpandang salah seorang rakan sekuliah mereka yang sejak tadi sering memandang ke arahnya.

"Kenapa Dewi?" tanya Siti bila dia terpandang Dewi sedang memandang ke satu arah.

"Budak tu, sejak kita masuk dewan kuliah ni pagi tadi, aku perasan dia asyik pandang-pandang kita aje," jawab Dewi sambil membuang pandangan ke arah insan yang dia maksudkan.

Siti menoleh ke arah yang dimaksudkan Dewi. Sham yang terdengar perbualan di antara Siti dan Dewi turut menoleh ke arah belakang dewan kuliah.

Bila insan itu mula perasan yang dia dipandang oleh mereka bertiga, terus sahaja insan itu meninggalkan dewan kuliah itu melalui pintu belakang.

"Itukan Hasrul," ujar Sham, selepas kelibat insan yang mereka pandang secara berjemaah tadi sudah hilang di sebalik pintu belakang dewan kuliah.

"Kita orang pun tahu nama dialah," ujar Siti.

"Dari tadi dia asyik padang-pandang aku aje," luah Dewi, curiga.

"Dia memang macam tu lah. Kat rumah pun dia macam tu."

Pantas Siti dan Dewi memandang Sham.

Hairan Sham bila dia dipandang terkejut oleh Siti dan Dewi.

"Apa hal kau orang berdua pandang aku macam tu?"

"Kau serumah dengan dia?" beria-ia Siti bertanya.

Sham angguk.

"Haah, tapi macam tak serumah pun. Budak tu pendiam sikit. Tapi kalau kawan dia datang bilik dia, boleh pulak bercakap. Kat rumah, dia lebih banyak terperap dalam bilik."

"Tapi, dia tu macam pelik."

"Memang pelik pun. Kadang-kadang aku dengan budak-budak serumah yang lain pelik bila dengar dia macam bercakap sorang diri dalam bilik dia. Sedangkan tak ada siapa pun datang bilik dia masa tu. Aku dengar cerita, dia tu boleh nampak sesuatu yang kita tak nampak."

"Sesuatu yang kita tak nampak?" beria-ia Dewi bertanya. Agak janggal kata-kata Sham itu menyelusuri corong telinganya.

Sham angguk laju.

"Contohnya?" Siti masih bingung, tidak faham.

"Macam... hantu, jin, iblis..."

"Dah tu, dia pandang-pandang Dewi dari tadi kenapa?"

Kali ini Sham menjengketkan kedua-dua bahunya tanda tidak tahu.

"Itu aku tak tahu."

Dewi mengeluh halus sambil memandang ke arah pintu belakang dewan kuliah. Tiba-tiba hatinya mula disapa rasa curiga dan resah. Dia nampak sesuatu kat sebelah aku ke tadi? Hati kecilnya tertanya.

Bersambung...

==============================================

Sedutan bab akan datang...


"Bawa-bawalah insaf Andy. Satu hari nanti, kalau hal yang sama berlaku pada kau, baru kau tahu rasanya. Sekarang, kau belum rasa, memanglah kau tak kisah."

"Tapi Mi, aku dengan budak tu lain tau? Aku rasa macam aku dah..."

"Tersuka dia?" pantas Helmi memintas. Yakin dia dengan tebakannya itu.

===============================================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now