BAB 06 - III

205 10 0
                                    

SEMAKIN kencang nafas Salina selepas melihat apa yang ada di skrin komputer ribanya ketika ini. Tak sangka, ada yang merakam kejadian yang berlaku tengah hari tadi di kafeteria kampus. Video rakaman dia disimbah oleh juniornya tengah hari tadi sudah tersebar di laman sosial Facebook! Lebih mengejutkan, video itu sudah dikongsi lebih seribu kali, mendapat lebih dua ribu 'Like' dan lebih lima ratus komen! Rata-rata yang mengongsikan, menyukai dan memberi ulasan pada video itu adalah dari kalangan pelajar satu kampusnya sendiri!

"Tak guna. Siapa yang rakam video ni?" tanyanya, sendirian dalam geram.

Sekarang, satu kampus menganggap dia wanita lemah atau 'loser'! Bagaimana dia mahu berhadapan dengan rakan sekampusnya esok? Pasti dia sedang menjadi bahan umpat keji ketika ini.

Walaupun hati semakin terbakar dek api kemarahan, dia tetap gigih membaca komen-komen yang ada pada video itu. Hampir kesemuanya memperlekehkan dia. Tiada seorang pun yang membelanya. Paling menyebalkan, ada yang melabel dia sebagai pelajar gedik, syok sendiri dan gila lelaki!

Perlahan-lahan Salina menganggam penumbuk, menahan geram. Nafasnya sudah tidak terkawal. Amarahnya semakin meledak! Kenapa semua ini terjadi pada dia? Siapa sebenarnya yang telah memuat naik video rakaman yang diambil secara curi itu? Dia tidak menduga semua ini boleh terjadi.

"Ni semua pasal perempuan tu," gumamnya, menyimpan dendam.

Ting!

Mesej baru muncul di bahagian bawah skrin komputer ribanya. Mesej dari Natasha, kawan baiknya. Salina sekadar membaca mesej itu tanpa dibalas. Natasha memaklumkan tentang video itu dan memberi kata semangat padanya supaya bersabar.

Namun, sedikit pun kata-kata itu tidak meredakan amarah Salina. Rasa malunya ketika ini hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa tebalnya.

"Argh!" jeritnya sekuat hati. Melepaskan geram dan bengang yang meledak secara tiba-tiba.

Skrin komputer ribanya ditutup kasar lalu dia terus melangkah ke bilik air. Sampai sahaja, wajahnya yang terasa panas dan berbahang terus dibasahkan sepuas-puasnya. Dia memandang wajahnya sendiri melalui cermin singki. Nafasnya masih kencang. Wajahnya bengis lagi sinis. Apa yang berlaku benar-benar menguji kewibawaannya sebegai seorang wanita! Kecaman yang dilemparkan oleh rakan sekampusnya agak melampau!

Sekarang baru dia tahu, ramai rakan sekampusnya yang tidak menyukainya. Dia digelar wanita gilakan lelaki, wanita gedik, wanita tidak sedar diri, wanita terhegeh-hegeh kepada lelaki, wanita berlagak diva dan banyak lagi! Ada juga gelaran yang tidak sepatutnya dia terima.

"Ni semua disebabkan budak perempuan tak guna tu! Disebabkan dia, aku dapat malu! Aku akan pastikan hidup kau akan hancur lepas ni!" kata Salina, sendirian pada bayangnya sendiri di cermin singki penuh perasaan dendam.

Tanpa disedari Salina, ada sesuatu melekat di atas siling bilik air itu, memandang tepat ke arahnya. Makhluk aneh itu mula bergerak turun melalui dinding persis labah-labah. Bunyi keriuk tulang begesel kedengaran dengan jelas.

Salina tersentak bila telinganya disapa dengan bunyi aneh seperti bunyi reranting rapuh yang dipatah-patahkan itu. Alangkah terkejutnya dia bila dengan jelas dia melihat susuk tubuh keding persis rangka manusia sedang melekat pada dinding yang betul-betul di belakangnya! Dengan pantas dia menoleh ke belakang.

Salina terkaku dan terkebil-kebil buat seketika. Tiada apa-apa di belakangnya ketika ini. Tapi, dengan jelas dia melihat ada makhluk persis jerangkung melekat di dinding bilik air itu sebentar tadi. Mindanya mula menghadamkan apa yang matanya lihat tadi perlahan-lahan.

Mainan perasaan aku aje kut? Hati kecilnya tertanya.

Hilang terus rasa amarah dan bengangnya sebentar tadi selepas dia dilihatkan dengan kelibat makhluk aneh tadi.

Cermin singki kembali ditatap. Tiada apa-apa di belakangnya ketika ini. Makhluk itu sudah tiada. Sah, hanya mainan perasaannya sahaja.

Sekali lagi Salina membasahkan mukanya sepuas hati. Kala inilah, makhluk tadi muncul semula betul-betul dari siling bilik air itu. Perlahan-lahan makhluk itu turun ke bawah dalam keadaan terbalik seperti tergantung. Rambutnya yang keras kejung berjurai ke bawah. Matanya yang merah menyala berkelip-kelip memandang Salina yang sedang membongkok membasahkan muka pada singki. Mulutnya menyeringai sehingga menampakan barisan giginya yang tajam dam membusuk.

Saat Salina kembali memandang ke cermin singki, dengan jelas dia melihat makhluk tadi berada betul-betul di sebelahnya dalam keadaan terbalik. Secara reflek dia terkejut lalu menoleh ke arah makhluk itu.

Belum sempat Salina menjerit, dengan pantas makhluk keding berkulit mengerutu persis kulit kayu itu mencengkam kepala Salina dengan kedua-dua tangannya lalu dikehel kepala Salina dengan pantas. Pandangan Salina terus... gelap!

Bersambung...

===========================

Sedutan bab seterunya...

"Bekas tapak tangan siapa ni?" tanya Dewi sendirian, semakin hairan. Sepertinya bekas itu bekas tapak tangan manusia. Tapi, kenapa jari jemarinya tajam dan lebih panjang?

============================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now