BAB 08 - II

220 12 0
                                    

KEADAAN di luar semakin malap memandangkan waktu sekarang sudah menunjukkan pukul enam empat puluh tujuh petang. Matahari semakin terlindung di sebalik awan di ufuk barat. Sampai sahaja di banglo ini tadi, Dewi terus tertidur sehinggalah sekarang disebabkan tubuhnya tiba-tiba terasa lemah selepas diserang sakit kepala secara mengejut tengah hari tadi.

Keadaan banglo itu sunyi sepi memandangkan Azizah masih belum pulang dari pejabatnya. Hanya Dewi seorang diri yang masih dibuai mimpi di atas katil. Keadaan yang tadinya cerah perlahan-lahan menjadi gelap.

"Ono jopo sewu, jopo siji datan tumomo. Sing mandi japaku dhewe..."

Di sebalik kesunyian itu, bisikan aneh itu kendengaran lagi! Sayup-sayup dan tenggelam timbul memenuhi ruang bilik itu yang datangnya entah dari mana.

"Ono jopo sewu, jopo siji datan tumomo. Sing mandi japaku dhewe..."

Bisikan itu terus berlegar-legar di ruang bilik itu untuk beberapa minit sebelum satu lagi bunyi aneh kedengaran.

"Ki ki ki ki..."

Bunyi seperti suara orang ketawa mengekek pula kedengaran di sebalik bisikan aneh tadi. Walaupun nadanya seperti tertawa, tapi bunyinya amat menyeramkan! Dua bunyi itu kedengaran bertindan-tindan. Namun, sedikit pun tidak menganggu lena Dewi.

"Ki ki ki ki..."

Jika tadi hanya suaranya sahaja yang kedengaran. Kali ini, pemilik suaranya pula memunculkan diri.

Di permukaan cermin antik itu, muncul sebatang tangan keding, menjalar ke atas meja solek. Seketika kemudian, muncul lagi sebatang tangan yang sama bentuk dan rupanya. Ternyata, sepasang tangan keding berjari runcing itu milik makhluk kurus kering persis jerangkung yang pernh muncul dari cermin itu sebelum ini!

Perlahan-lahan makhluk itu merangkak keluar dari cermin. Sepertinya baru keluar dari dunia yang berbeza. Suara tawa mengekeknya masih kedengaran bertindan-tindan dengan bunyi bisikan aneh persis mentera Jawa Kuno tadi.

Setiap pergerakan makhluk itu akan diiringi dengan bunyi geselan tulang belulang yang kedengaran cukup menyilukan. Bagai ranting kayu rapuh yang dipatah-patahkan. Mengerekut tubuhnya menuruni meja soleh untuk ke lantai.

Tertoleh-toleh makhluk aneh bermata merah menyala itu di atas lantai dalam keadaan merangkak seolah sedang mencari-cari sesuatu. Mulutnya sesekali akan menyeringai sehingga menampakan barisan giginya yang membusuk dan tajam.

Makhluk itu bergerak menuju ke arah katil Dewi. Perlahan-lahan katil dipanjat lalu makhluk itu merangkak menghampiri Dewi yang masih nyenyak tidur dalam keadaan terlentang di atas katilnya.

Bunyi bisikan aneh tadi terus kedengaran, sayup-sayup sahaja. Makhluk itu pula terus menghampiri Dewi dan berhenti betul-betul di atas tubuh gadis itu. Jarak wajah makhluk itu dan wajah Dewi hanya sejengkal sahaja ketika ini. Buat seketika, makhluk itu menatap wajah Dewi sepuas-puasnya sambil menyeringai. Rambutnya yang panjang hampir sahaja menutupi wajah Dewi yang masih belum sedar dari lena.

"Dewi! Dewi!"

Kedengaran suara Azizah di luar pintu bilik itu.

Makhluk persis jerangkung itu terkejut lalu dengan pantas menoleh ke arah pintu bilik itu yang tertutup. Tanpa menunggu lama, makhluk itu terus melompat turun dari katil lalu bergerak laju ke jendela. Makhluk itu sempat melompat keluar dari bilik itu sebelum Azizah membuka pintu. Bunyi bisikan aneh tadi terus lenyap begitu sahaja.

"Dewi?" panggil Azizah, risau sambil menolak pintu ke dalam. Terkejut dia bila melihat Dewi terbaring kaku di atas katil.

"Ya ALLAH, dia boleh tidur magrib-magrib macam ni?" keluh Azizah lalu memetik suiz lampu di tepi dinding. Langkah terus diatur menuju ke katil Dewi.

"Dewi, kamu tak sihat ke?" tanya Azizah sambil melabuhkan punggung di sisi katil.

Dewi terkejut kecil lalu tersedar dari lenanya. Perlahan-lahan dia membuka kelopak mata.

"Kamu tak sihat ke?" ulang Azizah. Belakang tapak tangan diletak di dahi Dewi. Tidak panas. Suhu badan Dewi normal.

Dewi mengosok matanya dengan sesiku telunjuk. Matanya terasa pedih dek cahaya lampu di siling.

"Dah pukul berapa ni bu?"

Lain yang ditanya, lain yang dijawab.

"Dah pukul tujuh lebih, Dewi. Kamu sakit kepala lagi ke?"

Dewi angguk dalam kelesuan.

"Tak baik lagi?" Azizah semakin risau.

"Dah kurang sikit. Tengah hari tadi teruk jugaklah. Lepas makan ubat, okey dah."

Jawapan Dewi itu sedikit pun tidak melegakan hati Azizah.

"Risau ibu dengan sakit kepala kamu ni. Ni dah makan ke belum?"

Dewi mengeleng lemah.

"Kalau macam tu, bangun, mandi, solat dan siap-siap. Kita makan kat luar malam ni. Lepas tu, terus ke klinik," arah Azizah, tegas.

"Tapi ibu..."

"Tak ada tapi-tapi. Cepat bangun. Dewi tu kalau tak dipaksa ke klinik, memang tak akan pergi. Payah sungguh. Bangun!"

"Okey," akur Dewi yang masih terasa lemah dan lesu. Dengan sisa kudrat yang ada, dia bangun lalu mendudukan diri.

"Jangan tidur balik ya?" pesan Azizah sebelum meninggalkan bilik itu.

"Ya bu," balas Dewi. Tengkuk yang terasa lenguh dipicit-picit.

Selepas merasakan lesu yang menguasai dirinya semakin berkurangkan, barulah Dewi bangkit berdiri untuk ke bilik air. Namun, ketika dia mahu mencapai tualanya di belakang pintu, pandangannya terarah ke tingkap biliknya. Dia terkejut bila melihat tingkap biliknya terbuka!

Bila masa pulak aku buka tingkap? Seingat aku, aku dah tutup tingkap tu pagi tadi. Desis hatinya, hairan lalu memesongkan langkah menuju ke arah tingkap biliknya. Langsir tipis diselak ke tepi lalu dia memandang ke luar banglo. Tiada apa-apa yang mencurigakan di sebalik kegelapan malam di luar.

Seketika kemudian dia mengabaikan perasaan itu lalu daun tingkap ditutup dan dikunci dalam dalam. Langkah kembali diatur menuju ke arah bilik air tanpa menoleh ke mana-mana arah lagi.

Di sebalik cermin tingkap lut sinar itu, kelihatan makhluk persis jerangkung tadi dalam keadaan terbalik. Seperti tergantung di bumbung. Matanya yang merah menyala jelas kelihatan berkelip-kelip di sebalik langsir tipis yang menutup tingkap itu. Hampir seminit makhluk itu memandang ke arah pintu bilik air sebelum ia melompat ke satu arah lalu kelibatnya terus hilang di sebalik gelap malam.

Bersambung...

=========================

Sedutan bab seterusnya...

"Aku tak nampak apa-apa jatuh dari kereta aku tadi."

"Dah tu, bunyi apa tadi?" Liza mula gelisa. Bumbung kereta Tasha dipandang. Tiada kesan kemek.

=========================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now