PAGI itu kelam kabut Dewi bersiap. Entah macam mana, dia terlewat bangun dari tidur pagi ini. Mungkin kesan dari ubat sakit kepala yang ditelannya malam tadi. Dia bersiap pun ala kadar sahaja. Mujur juga sakit kepalanya sudah tidak terasa. Jika tidak, pasti dia tidak dapat ke kampus pagi ini.
"Wah! Aku dah lambat!" keluhan sendirian sambil menyumbat buku nota yang sepatutnya ke dalam beg sandangnya. Selesai sahaja, dia mengatur langkah ke meja solek semula.
Pengilat bibir dicapai lalu disapu rata pada bibir. Dia terpaksa melihat wajahnya di cermin dari jarak paling dekat semasa meratakan pengilat bibirnya. Saat dia mengetap bibir, matanya terpandang sesuatu di permukaan cermin. Sesuatu yang sebelum ini tiada.
Dewi mendekatkan lagi wajahnya pada permukaan cermin antik di hadapannya. Dahinya berkerut, hairan. Ada bekas tapak tangan runcing pada permukaan cermin antik itu!
"Bekas tapak tangan siapa ni?" tanya Dewi sendirian, semakin hairan. Sepertinya bekas itu bekas tapak tangan manusia. Tapi, kenapa jari jemarinya tajam dan lebih panjang?
Bekas tapak tangan itu bukan hanya satu. Selepas diteliti, ada banyak bekasnya termasuk di atas permukaan meja soleknya yang berkilat. Bekas tapak tangan itu seperti menuju ke satu arah. Arah yang di tuju adalah ke arah tingkap!
Dewi tersentak bila melihat langsir tipis yang menutupi tingkap biliknya beralun lembut. Pengilat bibir di tangan ditutup lalu dimasukan ke dalam beg sandangnya. Langkah diatur pula menuju ke tepi tingkap. Mengejutkan! Daun tingkap terbuka separuh! Seingatnya dia tidak membuka tingkap itu sejak semalam.
Rasa gelisah mula menyaluti tangkai hatinya. Ada perompak masuk ke? Persoalan itu mula bermain di fikiran. Tapi mustahil. Ibunya tidak berkata apa-apa pagi tadi sebelum ke tempat kerjanya.
"Alamak, aku dah lambat!" ujar Dewi selepas melihat jam di pergelangan tangannya. Tiada masa untuk fikirkan persoalan itu buat masa ini. Dia sudah lewat untuk ke kampus.
Daun tingkap ditutup lalu terkocoh-kocoh dia meninggalkan bilik itu.
Keadaan bilik itu terus sepi selepas Dewi melangkah keluar. Kesepian itu tidak lama bila bunyi seperti cakaran pada permukaan licin mula kedengaran untuk beberapa minit sebelum hilang.
Bersambung...
==================================
Sedutan bab seterusnya...
Ada sesuatu dah berlaku ke? Kenapa semua orang tengok aku lain macam hari ni?" tanya Dewi, musykil selepas Siti dan Sham menghampirinya.
"Memang ada sesuatu dah berlaku. Sekarang, jom ikut kita orang," jawab Siti lalu menarik lengan Dewi menuju ke arah pintu keluar diekori Sham dari belakang.
====================================
YOU ARE READING
CERMIN (2017)
HorrorKarya ini diinspirasikan 100% dari karya CERMIN saya yang telah diterbikan pada tahun 2010 oleh PENERBITAN FAJAR PAKEER. Jalan cerita masih sama, cuma situasi masa dan latar cerita sahaja yang diubah. Jika ada rezeki, versi 2017 ini akan menmui and...