BAB 03- II

241 19 0
                                    

"FUH!"

Siti menghela nafas penat selepas mereka berdua berjaya mengantung cermin yang dibawa dari bilik stor di aras bawah. Walaupun cermin itu tidaklah besar mana, tapi beratnya seperti mengangkat sebuah almari bersaiz sederhana!

"Cermin ni diperbuat dari batu bukit ke apa? Berat bukan main," keluh Siti sambil menghempas tubuhnya di atas katil.

Dewi yang turut terasa lelah mengangkat cermin itu melabuhkan punggungnya di atas kerusi belajar. Buat seketika dia meredakan nafas penatnya.

"Kayu Jati kut? Tu yang berat. Aku ingatkan ringan. Nasib baik kau ada. Kalau tak, memang tak larat aku nak angkut dari stor bawah tu seorang diri."

Pertanyaan Siti baru dijawab.

Siti tidak membalas. Dia masih meredakan lelahnya di atas katil Dewi.

"Tapi cantik cermin ni kan? Unik ukiran bingkainya," ujar Dewi lalu melangkah menghampiri meja yang bakal dijadikan meja soleknya selepas ini. Bingkai cermin berukir ukiran bermotifkan flora itu disentuh. Licin permukaannya. Kemas ukirannya.

Siti mendudukan diri menghadap Dewi selepas merasakan lelahnya semakin berkurangan.

"Mana kau beli cermin ni?"

"Beli? Bila masa pulak aku beli? Cermin ni memang ada dalam stor bawah tu. Aku syak, pemilik banglo ni punya sebelum mereka jual banglo ni. Dia orang tinggal."

"Oh."

"Cantik, kan?" Dewi mencarik tisu di atas meja lalu permukaan cermin di hadapannya yang sedikit berhabuk dilap seadanya.

"Bolehlah. Tapi macam cermin orang dulu-dulu. Zaman sekarang mana trend cermin bingkai kayu kerawang-kerawang macam tu. Zaman sekarang ni semua dah moden. Konsep cermin semuanya dah simple aje." Siti meluahkan pendapat.

"Dah nama barang antik. Aku pun tak pasti usia cermin ni dah berapa lama. Tapi uniklah."

Siti hanya mencebik. Tiada balasan untuk kata-kata Dewi itu.

Perbualan mereka tergendala. Siti kelihatan sedang melihat setiap sudut bilik kawan baiknya itu. Keadaan banglo itu masih elok dan seperti baru walaupun menurut Dewi, penjual banglo ini memaklumkan, banglo ini belum pernah dicat semula selepas sekian lama terbiar.

Dewi pula masih mengelap permukaan cermin dinding yang kini menjadi miliknya itu. Sedang dia mengelap, tiba-tiba permukaan cermin di hadapannya berkabus. Seperti ada seseorang sedang bernafas betul-betul di hadapan cermin itu. Dia terkejut.

Terukir sesuatu pada permukaan cermin yang berkabus tadi. Seperti ada tangan ghaib yang sedang menulis dengan menggunakan jarinya. Dewi terus menanti perkataan yang terbina.

'Ono jopo sewu, jopo siji datan tumomo. Sing mandi japaku dhewe...'

Perlahan dan merangkak-rangkak Dewi membaca balik perkataan aneh yang terukir di permukaan cermin itu.

"Kau kenapa Dewi?" tanya Siti sambil menyentuh pundak kawan baiknya.

Terenjat tubuh Dewi kerana terkejut.

"Eh, kenapa kau terkejut over sangat ni?" Hairan Siti melihat wajah cemas Dewi ketika ini.

Pantas Dewi memandang semula ke arah cermin di hadapannya. Kabus dan tulisan tadi sudah tiada!

"Aku... aku..."

"Aku apa?" pantas Siti mencelah bila Dewi teragak-agak hendak menjawab. Dia memandang Dewi melalui cermin di hadapannya.

Dewi masih terkejut dengan apa yang berlaku sebentar tadi.

"Kau ni, macam-macam hal lah. Apa-apa pun kita selfie dulu."

Siti mengeluarkan telefon pintarnya dari poket seluar.

"Senyum," arah Siti sambil merangkul bahu Dewi dengan sebelah tangan. Sebelah lagi tangannya memegang telefon pintarnya. Dia merakam gambar melalui biasan cermin di hadapan mereka.

Dewi teragak-agak mengukir senyum. Nampak kaku senyuman di bibirnya.

"Okeylah! Aku rasa aku macam dah lama sangat kat rumah kau ni. Aku nak balik dulu. Gambar ni nanti aku upload kat Facebook, lepas tu aku tag kau ya?" ujar Siti lalu melangkah ke meja belajar Dewi. Beg sandangnya dicapai lalu disangkut pada bahu.

"Dah nak balik ke? Aku ingatkan kau nak stay lagi."

"Tak ada maknanya. Kau tahu ajelah kan, jalan nak ke rumah sewa aku tu kawasan sesak. Lambat sikit sampai rumah, garenti aku tersangkut dalam jam."

Siti mula mengatur langkah meninggalkan bilik itu. Dia perlu cepat pulang. Dia tidak suka tersekat di dalam kesesakan jalan raya. Letih!

Dewi akur. Langkah Siti diekori dari belakang untuk menghantar kawan baiknya itu sehingga ke muka pintu. Sempat dia memandang ke arah cermin antik di biliknya itu sekilas sebelum melangkah keluar.

Bilik itu sunyi sepi selepas mereka berdua keluar. Beberapa saat kemudian, cermin antik itu kelihatan bergegar perlahan. Seketika kemudian, kelihatan seperti ada bekas tapak tangan manusia berjari runcing lagi tajam hujung jari jemarinya di permukaan cermin itu. Bekas tapak tangan itu hanya kelihatan untuk beberapa saat sahaja sebelum hilang begitu sahaja.

Bersambung...

===========================================

Sedutan bab seterusnya...


"Cuma apa?" Azizah tidak mampu bersabar bila Dewi masih tidak menyambung kata-katanya yang tergendala tadi.

"Cuma, Dewi rasa macam ada 'sesuatu' kat banglo ni."

============================================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now