"DEWI ada pelan nak jumpa ayah ke hari ni?" tanya Azizah yang sedang mengantung beberapa lukisan jenis Neo-Impresionisme yang dibelinya di Bali, Indonesia beberapa tahun lalu di ruang tamu. Masih ada lagi barang yang masih belum siap dikemaskan.
Dewi yang sedang bersarapan di ruang makan tidak terus menjawab. Ditelan habis terlebih dahulu makanan di dalam mulutnya.
"Tak ada bu. Tapi tak tahulah kalau tiba-tiba ayah call ajak keluar nanti."
"Dengan kawan-kawan Dewi, ada pelan nak keluar?" tanya Azizah lagi.
Berkerut dahi Dewi memandang ke arah ibunya di ruang tamu. Jarang sekali ibunya bertanyakan pelan cuti hujung minggunya.
"Tak pasti lagi. Hari tu ada bincang nak tengok wayang. Tapi tak pasti hari ni atau esok."
Tiada jawapan pasti dari Dewi buat masa ini. Sejak mereka berpindah ke banglo ini, dia belum berkesempatan mahu bertemu dengan ayahnya. Walaupun ibu dan ayahnya sudah lama bercerai, tetapi hubungannya dengan ayahnya tidak pernah renggang walaupun sedikit. Ada masa pasti mereka akan bertemu.
Azizah angguk faham. Ada sesuatu ingin dia luahkan pada anak tunggalnya itu. Tapi pelannya untuk hari ini masih belum dapat dipastikan lagi sama ada jadi atau tidak.
"Kenapa bu? Ibu ada pelan nak ajak Dewi keluar ke?" Dewi pula bertanya lalu sisa minumannya diteguk sehingga habis.
"Eh, tak adalah. Ibu tanya aje."
"Oh, ingatkan ibu nak ajak Dewi keluar shopping. Yalah, ibu kan jarang cuti hari Sabtu, kan?"
"Kebetulan, hari ni cuti umum. Tak sedap hati pulak ibu nak suruh pekerja-pekerja ibu tu kerja. Tak pasal-pasal ada dia orang report kat pejabat buruh. Ibu jugak yang susah."
Dewi sekadar angguk faham.
Perbualan tergendala terus.
Selesai makan, Dewi terus membawa pinggan dan cawan kotornya ke singki untuk dicuci. Siap sahaja dia terus kembali ke kamarnya memandangkan televisyen masih belum dipasang di ruang tamu.
Sampai di bilik, benda pertama yang dia capai sudah pasti telefon pintarnya. Ada mesej baru dari Siti di aplikasi WhatsApp. Dengan tenang dia membaca mesej baru itu. Baca sahaja isi mesej dari kawan baiknya itu, terus hati Dewi terasa bagai direntap. Tanpa menunggu lama dia terus melangkah menuju ke meja belajarnya lalu punggung dilabuh di atas kerusi.
Skrin komputer riba dikuak ke atas. Laman sosial Facebooknya dibuka lalu halaman Facebook rasmi kolejnya dibuka. Pautan laman web yang dimaksudkan Siti melalui aplikasi WhatsApp tadi dibuka.
Dewi menutup mulut, terkejut. Dalam masa yang sama hatinya terasa bagai hendak gugur. Sendi-sendinya terasa lemah. Rasanya, semalam dia ada bertemu dengan dua pelajar itu! Tapi dia tak pasti pertemuan itu realiti atau fantasi.
Mengeletar bibirnya membaca laporan berita tentang kemalangan trajis yang telah mengorbankan dua orang pelajar kolejnya malam tadi. Dan dua mangsa itu adalah Tasha dan Liza! Buat masa ini, punca kemalangan masih dalam siasatan.
Sisipan berita itu ditutup lalu aplikasi Skype dijalankan. Terbuka sahaja aplikasi itu, dia terus membuat panggilan video pada Siti dan Sham. Namun, hanya Siti yang menjawab panggilan video itu.
"Kau dah baca berita kat link tu?" tanya Siti, selepas panggilan bersambung.
"Dah. Mana Sham ni? Kenapa dia tak jawab video call aku?"
"Masih membutalah tu. Hari Sabtu, kan?"
"Isy mamat ni, kan," rungut Dewi sambil menghubungi lagi Sham berkali-kali.
"Relaks Dewi. Nanti dia jawablah tu. Kau okey ke tak ni?" tanya Siti, risau.
"Aku nak ajak kau orang keluar hari ni. Ada perkara aku nak luahkan."
"Pasal berita tu?" tebak Siti, yakin. Dia turut terkejut dengan berita itu. Baru semalam mereka bertiga bertemu Tasha dan Liza. Hari ini, dua pelajar itu sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya yang begitu trajis dan mengerikan. Salah seorang mangsa tercampak keluar.
"Ya. Pasal kemalangan tu, pasal Salina, pasal banglo ni, dan banyaklah. Dan pasal diri aku jugak. Aku tak boleh nak jelaskan kat Skype ni. Susah. Kena face to face," jawab Dewi nampak berserabut. Sham masih tidak dapat dihubungi.
Siti di skrin komputer riba Dewi angguk faham.
"Sorry you all, aku baru bangun. Terganggu mimpi aku duk bunyi Skype ni tau?"
Sham baru jawab panggilan video Dewi.
"Bangun pun kau. Kau orang berdua bersiap sekarang. Dalam sejam lagi aku jemput kau orang."
"Kita nak ke mana?"
"Ikut ajelah. Jumpa sejam lagi. Cau!"
Dewi terus menamatkan panggilan sebelum sempat Siti dan Sham membalas apa-apa. Apa yang berlaku semakin aneh. Dia perlu luahkan pada Siti dan Sham. Tuala di belakang pintu dicapai lalu dia ke meja soleknya untuk seketika. Pencuci muka yang baru dibelinya beberapa hari lalu di dalam laci meja dikeluarkan. Namun, saat dia memusingkan tubuh ke arah bilik air, pandangannya terpandang sesuatu. Terkaku tubuhnya untuk seketika sebelum berpaling ke arah cermin antik itu.
Sepertinya dia nampak sesuatu yang semakin kerap wujud sejak beberapa hari ini. Permukaan cermin antik itu dipandang dari jarak dekat. Benar tebakannya. Bekas tapak tangan berjari panjang dan runcing itu muncul lagi! Sedangkan dia sudah mengelap bekas itu sehingga bersih malam tadi.
"Bekas tapak tangan saiapa sebenarnya ni?" tanya Dewi sedirian dalam kebingungan.
Matanya mula meliar memandang seluruh sudut bilik itu. Bilik ini berpenunggukah? Persoalan itu mula bermain di fikirannya.
Bersambung...
===========================
Sedutan bab seterusnya...
"Apa yang berlaku masa aku berlawan kata dengan Salina, Tasha dan Liza kelmarin dan semalam, aku dapat ingat. Tapi, aku rasa hal tu macam mimpi. Apa yang aku cakap tu, bukan dari jiwa dan hati aku. Macam ada 'benda' lain yang bercakap tapi guna badan aku," jelas Dewi teragak-agak dengan ayat yang dia tidak pasti sama ada Sham dan Siti boleh faham dengan jelas atau tidak.
===========================
YOU ARE READING
CERMIN (2017)
HorrorKarya ini diinspirasikan 100% dari karya CERMIN saya yang telah diterbikan pada tahun 2010 oleh PENERBITAN FAJAR PAKEER. Jalan cerita masih sama, cuma situasi masa dan latar cerita sahaja yang diubah. Jika ada rezeki, versi 2017 ini akan menmui and...