SEDARI tadi Dewi nampak gelisah dan tidak tenang. Apa yang berlaku sejak beberapa hari ini benar-benar membebankan jiwa dan perasaannya. Dia yakin ada sesuatu yang tidak kena telah berlaku terhadap dirinya.
Siti dan Sham saling berpandang untuk seketika sebelum memandang Dewi di hadapan mereka. Mujurlah mereka memilih meja yang sedikit jauh ke dalam. Jadi, suara pelanggan lain yang ada di dalam restoran itu tidaklah terlalu menganggu perbualan mereka.
"Aku... aku rasa, ada sesuatu kat banglo ibu aku tu. Sejak aku tinggal kat sana, aku rasa macam ada satu aura atau jirim yang aku tak tahu dari mana tiba-tiba masuk dalam badan aku dan kawal diri aku," luah Dewi, beria-ia.
Berkerut dahi Siti dan Sham. Mereka tidak berapa faham apa yang cuba Dewi sampaikan.
"Apa maksud kau?"
"Apa yang berlaku masa aku berlawan kata dengan Salina, Tasha dan Liza kelmarin dan semalam, aku dapat ingat. Tapi, aku rasa hal tu macam mimpi. Apa yang aku cakap tu, bukan dari jiwa dan hati aku. Macam ada 'benda' lain yang bercakap tapi guna badan aku," jelas Dewi teragak-agak dengan ayat yang dia tidak pasti sama ada Sham dan Siti boleh faham dengan jelas atau tidak.
"Maksud kau, ada 'benda' yang tumpang badan kau untuk luahkan apa yang dia rasa? Tapi untuk apa? Sedangkan kau yang berurusan dengan perempuan-perempuan tu? Kenapa 'benda tu' yang nak kena tolong luahkan bagi pihak kau?" tanya Sham cuba menjelaskan ayat yang mungkin lebih tepat.
"Itulah yang masih jadi persoalannya sekarang ni." Dewi tiada jawapan yang tepat untuk pertanyaan Sham itu.
"Tapi kau dah tanya pada ibu kau pasal banglo tu, kan?" soal Siti pula.
"Ada, menurut ibu aku penjual banglo tu bagi tahu dia, banglo tu tak ada sejarah yang pelik-pelik."
"Kau pun dah cari pasal banglo tu kat internet, tapi tak jumpa apa-apa maklumat. Betul tak?" Sham pula ingin memastikan.
"Betul. Tak ada apa-apa maklumat pasal banglo tu."
Mereka kebingungan. Jika banglo itu tiada sejarah mistik atau hal-hal yang berkaitan dengannya, jadi, apa yang telah menganggu hidup Dewi ketika ini?
"Okey, aku sekadar nak bertanya. Aku harap kau tak kecil hati."
Dewi dan Siti serentak memandang Sham. Aneh mereka dengan kata-kata Sham itu.
"Okey," teragak-agak Dewi menjawab.
"Family kau ada cerita tak kalau-kalau mereka ada bela saka atau hantu raya? Yalah, orang dulu-dulukan suka bela makhluk-makhluk macam tu untuk jaga hartalah, untuk kekuatan dirilah. Biasanya makhluk-makhluk tu kalau dah dibela, dia perlukan pewaris. Maaf kalau pertanyaan aku ni buat kau tersinggung." Sham meluahkan pertanyaannya diakhiri dengan permohonan maaf. Bimbang Dewi terasa hati.
Dewi diam sejenak sambil memandang Sham dan Siti silih berganti. Dia cuba mengingat kembali sama ada ibu atau ayahnya pernah bercerita tentang hal itu atau tidak.
"Ibu dan ayah aku tak pernah pulak bercerita pasal hal yang macam tu. Sejak aku kecil, tak pernah timbul isu saka dan... hantu raya tu pun."
Perbualan mereka tergendala buat seketika. Semakin rumit masalah yang melanda Dewi ketika ini.
"Aku rasa, sesiapa yang buat hal dengan aku dia akan... mati," luah Dewi seketika kemudian.
Siti dan Sham terkejut. Lama mereka memandang wajah gelisah Dewi. Tidak terfikir pula mereka akan hal itu. Namun bila diingat kembali, kata-kata Dewi itu ada logiknya.
"Kau orang berdua ada dengan aku kan, masa aku berhadapan dengan dia orang bertiga? Ada tak aku kata dia orang akan mati?"
Pantas Siti dan Sham saling berpandangan selepas mendengarkan pertanyaan Dewi itu. Selepas diingat semula, memang ada Dewi mahukan Salina, Tasha dan Liza mati dalam kata-katanya semalam dan kelmarin.
Teragak-agak Siti dan Sham mengangguk.
Dewi mengeluh berat. Jadi apa yang dia perkatakan pada Salina, Tasha dan Liza sebelum ini bukan halusinasinya. Tapi realiti! Tapi kenapa tatkala itu dia merasakan dirinya seperti tersekat di awang-awangan? Seolah dia berada di alam mimpi. Hanya mampu melihat tapi tidak dapat mengawal pergerakan dan percakapan sendiri.
"Aku rasa aku macam dah terkena sumpahan."
"Sumpahan? Sumpahan apa pulak ni?" tanya Siti, bingung.
"Mungkin banglo tu ada sumpahan. Siapa tahu?"
Sham tidak tahu hendak ulas apa. Segala kemungkinan yang difikirkan mereka bertiga ketika ini bisa sahaja terjadi.
"Apa perlu aku buat sekarang ni, Siti, Sham?" tanya Dewi, sayu.
Siti dan Sham turut dipalit rasa pilu dengan pertanyaan Dewi itu.
"Aku pun tak tahu nak tolong kau macam mana, Dewi. Kita tak ada bukti lagi untuk segala agakan kita. Boleh jadi juga apa yang berlaku pada mereka bertiga tu, satu kebetulan. Tak mustahil, kan?" Hanya kata-kata itu yang mampu Sham berikan sebagai jawapannya.
"Betul tu Dewi. Mungkin apa yang berlaku ni hanya kebetulan," sokong Siti.
Sedikit pun kata-kata Sham dan Siti itu tidak melapangkan dada Dewi. Dia tetap yakin yang dia sudah terkena sumpahan.
"Macam ni lah Dewi. Kita cuba abaikan dulu apa yang kita bertiga fikirkan pasal hal ni. Kita tengok perkara macam ni berulang lagi atau tak. Kalau tak berulang lagi, maknanya apa yang berlaku pada dia orang bertiga tu hanya kebetulan," ujar Siti cuba mengusir keresahan Dewi.
Dewi tetap tidak sedap hati. Wajah Siti dan Sham terus dipandang lama. Andai hal ini bukan kebetulan bagaimana? Apa perlu dia lakukan?
Bersambung...
======================
Sedutan bab seterusnya...
"Kereta siapa tu bu?" Dewi terus bertanyakan soalan itu.
"Nak tahu kereta siapa, jom masuk. Ibu nak kenalkan Dewi dengan seseorang."
Azizah menarik lengan Dewi lalu dibawa ke ruang tamu.
======================
YOU ARE READING
CERMIN (2017)
HorreurKarya ini diinspirasikan 100% dari karya CERMIN saya yang telah diterbikan pada tahun 2010 oleh PENERBITAN FAJAR PAKEER. Jalan cerita masih sama, cuma situasi masa dan latar cerita sahaja yang diubah. Jika ada rezeki, versi 2017 ini akan menmui and...