BAB 05 - I

236 12 0
                                    

HABIS sahaja kelas pertama, mereka bertiga terus ke perpustakaan kampus sementara menanti kelas yang seterusnya dua jam dari sekarang bagi membincangkan mengenai tugasan mereka yang masih belum disiapkan. Jika diikutkan, Sham mahu minum pagi di kafeteria. Disebabkan Siti yang kononnya sedang berdiet, terpaksalah dia akur dengan rancangan mereka untuk ke perpustakaan.

"Eh, kau berangan?" tanya Sham pada Dewi yang sejak tadi sering sahaja mengelamun.

Dewi tidak memberi sebarang reaksi. Matanya terus fokus pada bekas pensel di hadapannya. Fikirannya sudah jauh melayang memikirkan bunyi cakaran yang menyilukan malam tadi. Hampir pukul dua pagi baru dia dapat tidur lena.

Sham memandang Siti sambil bertanya kenapa dengan Dewi melalui isyarat bukan lisan.

Siti jengket kedua-dua bahunya tanda tidak tahu lalu dia memandang ke arah Dewi di sebelahnya.

"Hei, kau okey tak ni?"

Kali ini Siti pula bertanya sambil menyenggol lengan Dewi di sebelahnya.

Dewi tersentak. Pantas dia menoleh memandang Siti.

"Kenapa?"

Siti dan Sham saling berpandangan sebelum masing-masing menjeling ke atas, meluat.

"Dari tadi kau tak fokus pada assignment kau, kan? Berangan ke apa ni?"

"Taklah," Dewi menafikan. Buku nota di hadapannya ditatap. Namun apa yang tertulis di atas buku itu sedikit pun tidak menarik perhatiannya. Fikirannya masih jauh ke banglo ibunya. Puas sudah dia cuba menidakan. Namun apa yang telinganya dengar malam tadi, bukan khayalan. Tetapi realiti!

"Kau kena ganggu lagi malam tadi ek?" tebak Sham, yakin selepas melihat riak wajah gelisah Dewi sejak tadi berdasarkan apa yang telah kawan baiknya itu adukan malam tadi melalui panggilan video.

Lama Dewi memandang Sham. Kemudian, Siti pula dipandang. Perlukah dia berterus terang? Bolehkah Siti dan Sham mempercayai ceritanya? Teragak-agak dia menangguk, mengiakan.

"Malam tadi lepas aku padam lampu bilik. Aku dengar macam ada orang cakar sesuatu. Bunyi tu buat aku rasa nyilu. Berdiri bulu roma aku satu badan."

Dewi memilih untuk bercerita.

"Bunyi orang cakar sesuatu?" Siti merinding.

"Aku tak pasti orang atau binatang. Tapi bunyi tu macam dekat aje dengan katil aku."

"Kau ada bagi tahu ibu kau tak?" Sham mencelah.

Dewi angguk dengan satu keluhan halus.

"Dah, tapi ibu aku kata semua tu mainan perasaan aku aje. Lagipun ibu aku sentiasa sibuk. Sejak bisnes produk kecantikan dia tu semakin laris, semakin susah nak ada masa untuk aku. Nasib baiklah aku dah terbiasa."

Siti dan Sham angguk faham. Tiada apa yang mampu mereka komen akan hal itu. Itu hal keluarga Dewi. Mereka tiada hak untuk masuk campur.

"Kau rasa, banglo tu berpenunggu ke?" tanya Siti sekadar ingin tahu apa yang bermain di fikiran Dewi mengenai gangguan yang dialaminya.

"Aku tak pasti. Buat masa ni aku hanya dengar aje. Tak pernah nampak sesuatu yang tak sepatutnya."

"Susahlah kalau macam ni, Dewi. Kalau kau kena kacau setiap hari. Boleh gila kau dibuatnya." Sham mula bersimpati akan nasib yang dialami Dewi.

"Apa pilihan yang aku ada?"

Masing-masing mengeluh halus. Ini bukan hal biasa bagi mereka. Baru pertama kali Dewi mengalami gangguan itu dan pertama kali bagi Siti dan Sham mendengar kisah berkaitan dengan dunia mistik dari kawan baik mereka sendiri. Jadi, mereka tidak tahu bagaimana hendak menolong Dewi.

Perbualan terus tergendala. Masing-masing kelihatan termangu seolah memikirkan sesuatu.

Dewi yang paling berserabut ketika ini. Namun, saat dia menoleh ke arah pintu masuk perpustakaan itu, dia terpandang seseorang yang tidak terduga di situ. Automatik pandangannya tertancap ke arah itu. Tiba-tiba dada terasa berdebar. Semakin kuat debaran itu bila insan itu mengukir senyuman untuknya sebelum berlalu menuju ke arah kaunter perpustakawan. Tanpa sedar dia membalas senyuman itu. Lupa terus keserabutan fikiran yang melanda fikirannya sebentar tadi.

"Kau senyum kat Abang Randy?" tanya Sham, yang perasan akan senyuman dan pandangan Dewi tadi.

"Ha?" Dewi tersentak, terkejut. Pantas dia memandang ke arah Sham.

"Kau senyum kat Abang Randy?" ulang Sham, serius.

"Mana ada."

Dewi menafikan sambil buat-buat sibuk membaca buku notanya. Cuba melarikan diri dari menjawab soalan Sham itu.

"Aku perasan kau senyum kat dia tadi," ujar Siti, tiba-tiba.

Nampaknya, Dewi sudah tiada pilihan lain selain meluahkan.

"Salah ke, aku senyum kat dia? Dia kan pernah jadi ketua kumpulan aku masa minggu induksi dulu." Dewi membela perasaannya. Salahkah jika dia menyukai seseorang?

"Senyum pada dia tu tak salah, Dewi. Tapi aku harap kau tak jatuh cinta pada dia."

Pantas Dewi memandang Sham selepas mendengar kata-kata kawan baiknya itu.

"Sebab dia dah ada girlfriend? Itu pun aku dah tahu." Dewi sekadar bertanya.

"Ada girlfriend tu satu hal. Satu hal lagi, aku dengar, dia tu suka mainkan perasaan budak perempuan kat kampus ni. Girlfriend dia sekarang Si Salina tu pun entah-entah akan jadi mangsa mainan perasaan dia sebelum ni."

"Kau ada bukti untuk kata-kata kau tu?"

"Tak ada. Aku cuma dengar cerita dari salah seorang kawan baik dia, Marina. Kau kenal kan, Marina?"

"Budak kelas kita tu?" Siti mencelah, ingin memastikan.

"Ya. Dia tu kan senior kita, satu batch dengan Salina. Tapi kena repeat sem sebab failed exam. Semuanya sebab Randy tu lah. Mintak putus masa dia nak final exam. Kesian perempuan tu."

"Sampai macam tu sekali?" Siti terkejut mendengar cerita itu.

Beria Sham angguk.

"Dan aku harap, kau tak jadi mangsa dia yang seterusnya, Dewi," pesan Sham, serius sekali.

Tiada balasan dari Dewi selain senyum kelat. Hatinya berbelah bahagi sama ada ingin mempercayai kata-kata Sham yang tiada bukti sahih itu atau tidak. Sekilas dia memandang ke arah Randy yang duduk di meja di bahagian utara perpustakaan. Dalam ramai-ramai lelaki, kenapa dia? Hatinya tertanya.

Bersambung...

===============================================

Sedutan bab seterusnya...


"Awak cari buku ni?" tanya seseorang dari arah tepi sambil menghulur sebuah buku ke arah Dewi.

================================================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now