BAB 07 - II

178 10 0
                                    

NASIB baik jalan tidak sesak. Jika tidak, semakin lambatlah dia sampai ke kampus. Mujur masih berbaki dua puluh minit lagi sebelum kuliah bermula. Jadi, tidak perlulah dia tergesa-gesa ke dewan kulih yang tidak berapa jauh dengan kawasan parkir kereta dan motosikal. Selepas mengunci keretanya, Dewi terus melangkah menuju ke blok admin kampus.

Melangkah sahaja kakinya ke dalam bangunan itu, setiap pelajar yang ada terus memandang ke arahnya. Situasi itu agak janggal baginya. Seperti dia telah buat kesalahan besar.

Apa hal semua orang pandang aku macam aku tak berbaju ni? Desis hatinya, hairan. Apa yang pasti setiap pandangan yang tertuju ke arahnya semuanya pandangan sinis. Ada juga yang akan memandang ke arahnya untuk beberapa saat, kemudian akan berbisik pada rakan mereka. Apa sebenarnya sudah berlaku?

Langkah Dewi jadi perlahan bila keadaan itu semakin menjadi-jadi. Dia kebungungan. Tidak terfikir pula dia apa yang sedang berlaku ketika ini ada kaitan dengan apa yang telah dia lakukan terhadap Salina tengah hari semalam di kafeteria kampus.

"Dewi!"

Panggilan itu membuatkan Dewi tersentak lalu berpaling ke arah selatan. Kelihatan Siti dan Sham dari arah pintu masuk sebelah selatan sedang melangkah laju menuju ke arahnya. Dia terus menanti dua orang sahabatnya itu menghampirinya.

"Ada sesuatu dah berlaku ke? Kenapa semua orang tengok aku lain macam hari ni?" tanya Dewi, musykil selepas Siti dan Sham menghampirinya.

"Memang ada sesuatu dah berlaku. Sekarang, jom ikut kita orang," jawab Siti lalu menarik lengan Dewi menuju ke arah pintu keluar diekori Sham dari belakang.

Siti dan Sham membawa Dewi ke tepi gelangang tenis tidak jauh dari bangunan admin kampus.

"Kenapa ni wei? Macam serius aje?" Dewi semakin bingung.

"Memang serius. Kenapa kau tak jawab call kita orang semalam? Berjuta kali kita orang call tau? Inbox Facebook kau tak baca. Skype pun kau tak online, kan?" tanya Sham, bertalu-talu dengan perasaan tidak puas hati.

"Okey, tak kan pasal hal tu aje satu kampus nak pandang hina pada aku kut? Lagipun, semalam aku sakit kepala. Aku tak larat nak bangun. Sampai rumah semalam, aku terus tidur. Aku bangun pun sebab nak mandi. Lepas makan dan telan ubat sakit kepala, aku sambung tidur. Telefon pun aku tak tengok, inikan pulak lap top," jelas Dewi panjang lebar.

"Kau ada tengok Facebook tak, pagi ni?" tanya Siti pula.

"Aku tak sempat nak tengok phone. Pagi tadi aku terlajak tidur. Kelam kabut aku ke kampus. Nasib baik jalan tak sesak. Kalau tak, mungkin aku masih belum sampai sini lagi sekarang ni."

Sham dan Siti saling berpandangan untuk seketika sebelum mengeluh berat. Ternyata, Dewi masih belum tahu apa sebenarnya yang telah terjadi.

"Apa sebenarnya dah berlaku ni?" tanya Dewi lagi, semakin gelisah. Hatinya mula merasakan telah berlaku sesuatu yang melibatkan dirinya.

"Kau memang tak tahu atau buat-buat tak tahu ni?" Siti hairan dengan reaksi Dewi ketika ini. Seolah tidak tahu apa-apa.

"Tahu apa ni?"

Siti dan Sham saling berpandangan lagi lalu mereka serentak mengeluh halus.

"Ada orang record kejadian semalam." Siti terpaksa juga bercerita walaupun hati terasa malas.

"Kejadian semalam?" pantas Dewi menyoal balik.

"Hey, kau jangan nak buat-buat tak tahu pasal kejadian semalam kat kafe tu ya?"

"Oh..." Dewi baru teringat.

"Ada orang record dan upload video kau siram air sirap limau kau tu pada Salina kat Facebook."

"Aku siram air pada Salina?"

"Eh, kau ni kenapa Dewi? Tak kan kau tak ingat apa yang dah kau buat pada perempuan tu?"

Dewi diam. Jadi, betullah dia telah menyiram Salina dengan air di kafeteria semalam? Jadi, semua itu realiti? Apa yang dia ingat, semalam dia diserang oleh Salina dan diberi amaran jangan hampiri Randy. Itu sahaja.

Sham dan Siti mula disaluti rasa hairan dengan sikap Dewi ketika ini. Kawannya itu nampak bingung.

"Disebabkan hal tu, Salina mati malam tadi. Khabarnya dia bunuh diri sebab malu video dia tersebar kat Facebook."

Siti melengkapkan ceritanya.

"Apa?" tanya Dewi, terkejut bukan kepalang. Apakah dia sedang bermimpi ketika ini?

Bersambung...

==================================

Sedutan bab seterusnya...

"Jadi, kalau awak rasa awak tak bersalah, kenapa awak simbah muka dia dengan air?" tanya Dr. Sabariah lagi.

"Sebab..."

==================================

CERMIN (2017)Where stories live. Discover now