MATANYA sahaja terus fokus pada jalan raya. Tapi fikirannya sudah jauh melayang memikirkan jawapan untuk segala persoalan yang sedang bermain di sanubarinya sejak semalam. Dia berharap apa yang dikatakan Siti dan Sham tadi mengena. Apa yang berlaku sejak kelmarin hanyalah sebuah kebetulan sahaja. Bukan kerana dia terkena sumpahan atau banglo ibunya punya penunggu. Cuma hal yang berkaitan dengan bekas tapak tangan aneh itu sahaja yang masih dia rahsiakan buat masa ini. Sengaja dia tidak mahu luahkan pada Siti dan Sham. Bimbang dia akan lebih menyusahkan mereka berdua yang turut terjebak dengan masalahnya.
Lima minit kemudian, kereta yang dipandunya mula memasuki simpang untuk ke banglo ibunya. Mereka bertiga sekadar keluar makan bersama sahaja sebentar tadi. Selepas selesai makan dan sesi meluahkan rasa, dia terus menghantar Siti dan Sham balik. Tiada mood mahu membeli-belah mahu pun menonton wayang. Jiwa dan fikirannya sedang berkecamuk ketika ini.
Ting!
Telefon pintar milik Dewi di atas desh board kereta tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej baru di aplikasi WhatsApp. Memandangkan dia sedang memandu, dia mengabaikan mesej itu. Keretanya mula memasuki perkarangan rumah. Berkerut dahi Dewi bila melihat sebuah kereta yang tidak pernah dia lihat sebelum ini terparkir bersebelahan dengan kereta ibunya.
"Kereta siapa tu?" tanya Dewi sendirian sambil memarkir keretanya tidak jauh dari kereta ibunya.
Diabaikan seketika kereta yang tidak pernah dia lihat itu untuk seketika. Telefon pintar di atas desh board kereta dicapai. Mesej baru yang diterimanya tadi dibaca.
Baca sahaja isi mesej itu, bibirnya terus mengukir senyum.
"Randy? Dia WhatsApp aku?"
Macam tidak percaya pula Dewi bila menerima mesej dari Randy! Tapi dari mana dia dapat nombor aku?
Selepas diingat semula, baru dia teringat yang dia ada menulis nombor telefonnya di muka surat paling depan buku notanya yang tertinggal di perpustakaan beberapa hari lalu. Hatinya tiba-tiba sahaja rasa berbunga. Tidak sangka, Randy telah menyimpan nombornya! Hilang terus keresahannya untuk seketika. Mesej Randy dibalas seadanya.
"Kenapa tiba-tiba aku berdebar ni?" tanyanya lagi sendirian lalu mematikan enjin kereta.
Melangkah sahaja keluar dari kereta, sekali lagi kereta yang tidak pernah dia lihat sebelum ini di pandang untuk seketika. Kereta siapa tu? Tak kan ayah beli kereta baru kut? Hatinya masih merusuh dengan persoalan berkaitan dengan kereta itu.
Selepas mengunci pintu kereta, Dewi terus melangkah menuju ke pintu utama banglo. Sampai sahaja dia terus melangkah masuk selepas memberi salam.
"Ha, nasib baik Dewi balik awal," ujar Azizah sambil melangkah menghampiri Dewi di muka pintu rumah.
"Kereta siapa tu bu?" Dewi terus bertanyakan soalan itu.
"Nak tahu kereta siapa, jom masuk. Ibu nak kenalkan Dewi dengan seseorang."
Azizah menarik lengan Dewi lalu dibawa ke ruang tamu.
"Kenalkan, ni kawan ibu, Ikmal. Dah lama ibu nak kenalkan kawan ibu ni pada Dewi. Baru hari ni ibu berkesempatan nak kenalkan pada Dewi," Azizah memperkenalkan Ikmal pada Dewi dengan senyuman yang nampak terlalu gembira di bibirnya.
Dewi terkaku dan terkebil-kebil memandang lelaki di hadapannya dengan senyum beku. Dia tidak tahu hendak memberi respons yang bagaimana. Siapa sebenarnya lelaki di hadapannya itu? Ibunya tidak pernah sekali pun bercerita tentang mana-mana lelaki padanya sebelum ini. Apa kaitan dia dengan ibu? Tertanya Dewi di dalam hati.
Bersambung...
======================
Sedutan bab seterusnya...
"Apa pendapat Dewi tentang Ikmal?" jawab Azizah dengan soalan. Dia berharap anaknya itu bisa menerima pilihannya.
"Kalau mama dengan dia dah saling cinta, dan dia boleh terima ibu yang dah ada anak satu sebesar Dewi ni, Dewi tak kisah, bu. Asalkan ibu bahagia. Cuma, Dewi macam janggal pulak nak panggil dia Uncle Ikmal sebab... dia kan, muda lagi."
======================
YOU ARE READING
CERMIN (2017)
HorrorKarya ini diinspirasikan 100% dari karya CERMIN saya yang telah diterbikan pada tahun 2010 oleh PENERBITAN FAJAR PAKEER. Jalan cerita masih sama, cuma situasi masa dan latar cerita sahaja yang diubah. Jika ada rezeki, versi 2017 ini akan menmui and...