Bab 8: Dendam

3.7K 250 9
                                    

Jam menunjukkan pukul 2.45 pagi. Kelihatan Amir yang sedang lena diulit mimpi di atas kerusi malas di sebelah katil itu. Manakala Syafiq yang masih tidak menyedarkan diri pula, terbaring kaku di atas katil itu. Suasana sunyi menyelubungi wad itu, hanya kedengaran sayup-sayup suara para jururawat yang sedang berbual, itu pun jauh di kaunter mereka.

Pintu bilik tiba-tiba ditolak perlahan. Kelihatan seorang jururawat masuk lalu menuju ke arah Syafiq. Dia yang membawa sesuatu di tangannya itu berjalan perlahan lalu berdiri betul-betul di sebelah Syafiq. Mukanya tidak jelas kelihatan, kerana lampu di bilik wad itu telah dimatikan. Saat itu entah bagaimana Amir terjaga dari lenanya. Mungkin kerana terlalu sejuk berada di dalam bilik yang berhawa dingin menyebabkan dia tersedar dari lenanya itu.

Dia yang sedikit terkejut melihat ada susuk tubuh di sisiSyafiq terus bangkit lalu menuju ke kepala katil untuk membuka suis lampu kecil yang berada di bahagian tepi katil itu. Sejurus selepas lampu terbuka, alangkah terkejutnya Amir apabila dia dapati bahawa susuk tubuh yang berada di sisi Syafiq itu bukan lah seorang manusia!

Dari cahaya lampu yang terang itu, kelihatan seorang jururawat yang lengkap berpakaian, namun mukanya penuh dengan luka dan darah. Darah yang semakin laju keluar dari setiap rongga mukanya itu mula berjujuran jatuh ke bajunya itu. Amir yang tergamam seakan hilang kekuatan, dia hampir jatuh tersungkur ke belakang melihat raut wajah yang menakutkan itu.

Jururawat itu tersengih melihat Amir lalu mencapai sesuatu dari bekas yang dibawanya tadi. Di tangannya kini ada sebilah pisau yang agak panjang dan berkilau akibat terkena pantulan cahaya lampu itu. Amir yang masih ketakutan memberanikan diri lalu berlari ke arah jururawat tersebut. Melihat Amir yang sedang berlari ke arahnya, sepantas kilat jururawat itu mengangkat tinggi pisau di tangannya lalu menikam kuat dada Syafiq yang masih terbaring kaku.

Darah mula memancut-mancut keluar dari dada Syafiq, dan tubuhnya mula meronta-ronta kesakitan. Jururawat itu mula mengilai lalu mencabut kasar pisau yang tertanam di dada Syafiq. Kini hampir keseluruhan tubuhnya diselaputi oleh darah. Amir yang kini berada tidak jauh dari jururawat itu memberhentikan langkahnnya. Dia tergamam.

Kini jururawat itu mula berjalan menghampirinya. Dengan wajah yang sungguh menakutkan, dia berjalan laju menghampiri Amir. Sepantas kilat pisau yang tajam kini tertanam tepat di dada Amir pula. Kesakitan yang dirasa tidak tergambar oleh segala sakit yang pernah di rasa. Amir tersungkur sambil memegang dadanya yang mengeluarkan darah tanpa henti.

"Kau akan mati, sama macam kawan kau tu. Hahahaha!" Itulah kata-kata yang didengari oleh Amir sebelum segalanya berubah menjadi gelap gelita. 

"Allahuakhbar!!!" Lafaznya Amir saat dirinya mula tersedar dari mimpi itu. 

Amir mula melihat ke kiri dan kanannya. Amir kemudiannya meraba dadanya, khuatir yang dia memang benar-benar ditikam oleh jururawat tadi. Dia yang dapat merasakan degupan laju jantungnya itu beristigfar panjang lalu menarik nafas lega. Disapu perlahan mukanya itu lalu dia memandang ke arah Syafiq. Masih tidak menyedarkan diri, Syafiq kelihatan baik-baik sahaja di sisinya.

Amir kemudiannya mencapai telefon bimbitnya lalu melihat jam yang terpampang di skrin telefonnya itu. Jam tepat menunjukkan pukul 3 pagi. Amir kemudiannya meletakkan kembali telefon bimbitnya itu di atas almari kecil di sisinya itu lalu melabuhkan kembali dirinya di atas kerusi malas tersebut. Tidak sampai beberapa saat kemudian, pintu bilik wad itu terbuka.

Amir yang terkejut, terus terduduk lalu melihat siapa yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam wad tersebut. Kerana cahaya lampu yang samar-samar dari luar wad, penglihatan Amir menjadi terhad. Dari apa yang dapat dilihat, kelihatan seorang jururawat sedang berjalan ke arah mereka. Amir mula rasa tidak sedap hati. Dia mula berdiri lalu mencapai telefon bimbitnya itu.

"Maaf menggangu, saya nak periksa tekanan darah dan suhu pesakit ni sekejap ye." Kata jururawat itu saat melihat Amir yang sedang berdiri memerhatikan dirinya.

"Eh maaf saya, silakan." Balas Amir yang terasa malu kerana difikirnya jururawat hantu itu yang datang kembali kepadanya.

Amir yang kembali duduk hanya memerhatikan jururawat itu memeriksa Syafiq. Dia yang mula merasa ngantuk memperbetulkan sedikit kedudukan bantal nya itu lalu menepuk perlahan bantal tersebut. Selang beberapa minit kemudian, seusai merekod bacaan yang dikehendaki, jururawat itu pun berlalu pergi. Amir yang merasa lega melihat jururawat itu pergi terus merebahkan kepalanya di dada bantal lalu mula menutup kembali matanya itu.

Tidak sampai beberapa saat kemudian, Amir membuka matanya kembali. Dia terdengar akan suara seseorang lalu dia pun memandang ke arah Syafiq yang berada di atas katil di sisinya itu. Alangkah terkejutnya Amir apabila dia melihat Syafiq mula membuka matanya perlahan. Amir yang kemudiannya berlari menuju ke arah pintu bilik wad itu, menjerit memanggil jururawat yang bertugas.

Beberapa orang jururawat mula bergegas ke arah nya lalu masuk untuk memberi bantuan. Amir yang turut berada di situ hanya melihat apa yang mereka lakukan. Seorang Doktor menyusul masuk dan terus memeriksa keadaan Syafiq. Amir yang merasa lega, tersenyum saat melihat Syafiq memandang ke arahnya. Sekurang-kurangnya kini Syafiq tidak koma lagi, itu sudah cukup untuk menggembirakan hatinya.

"Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah." Monolog Amir perlahan sambil tersenyum gembira melihat Syafiq.

-0-0-0-0-

Bau asap kemenyan menyelubungi segenap ruang di dalam pondok kecil itu. Dalam kesamaran dek kerana asap yang menebal, kelihatan seorang lelaki sedang duduk bersila menghadap beberapa barang yang kelihatan sudah tersedia di hadapannya itu. Dicapai lagi serbuk kemenyan yang berada di sisinya itu, lalu ditabur perlahan di atas arang yang sedang terbakar. Tersembur keluar sekali lagi asap kemenyan yang kini sudah berada di sekeliling pondok tersebut.

Lelaki itu mula mengambil sebilah pisau yang berada di hadapannya lalu mengasapkan pisau tersebut di atas bekas arang yang ditaburkan serbuk kemenyan itu tadi. Dari atas ke bawah, dari depan ke sisi belakang, semua bahagian pisau itu diasapkan oleh lelaki tersebut. Dia kemudiannya mencium pisau itu lalu meletakkan nya kembali ke tempat asalnya.

Sambil mulutnya terkumat kamit membacakan sesuatu, dia mengambil sebiji mangkuk yang berisi air lalu meludah perlahan  ke dalam mangkuk tersebut. Dari sisi pandangannya, dia merenung tajam ke arah mangkuk tersebut.

"Cissss!! Kau jangan ingat kau dah menang Syafiq. Aku akan pastikan yang kau akan lebih menderita lepas ni. Aku akan pastikan dendam aku terbalas, kau tunggu!!!" Kata lelaki itu berang lalu mengambil sekeping gambar Syafiq yang telah dikoyakkan setengah.

BERSAMBUNG...


Roommate 2 - COMPLETEDWhere stories live. Discover now