Bab 26: Korban Kasih

3.6K 221 42
                                    

"Malam ni kita pergi jumpa kawan Pak Cik yang boleh tolong kita dalam benda ni ye." Kata Ayah Alif sambil memegang lembut bahu Syafiq.

Syafiq diam seribu bahasa. Dia tidak mahu melakukan perkara itu sebenarnya, namun dia terpaksa. Dia juga turut terkesan dengan kehilangan Alif, namun itu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Mahu atau tidak dia dan juga keluarga Alif harus redha.

"Ni Mak Cik tahu tak tentang perkara ni Pak Cik?" Tanya Syafiq ingin tahu.

"Pak Cik dah malas dah nak pujuk Mak Cik kamu tu. Menangis hari-hari pun bukannya boleh kembalikan Alif. Kena lah ikhtiar cara lain, kena usaha sikit. Betul tak Syafiq?" Tanya Ayah Alif kepadanya.

Syafiq hanya memandang jauh ke kawasan laman rumah Alif itu. Ikutkan hatinya, mahu sahaja dia membangkang kata-kata itu. Namun tidak mahu merumitkan keadaan, dia hanya mendiamkan diri sahaja.

"Syafiq dah nak balik ke? Jom jemput makan dulu, dah siap dah tu dekat atas meja. Abang makan lah sekali dengan Syafiq. Teman kan dia sebelum dia nak balik tu." Tiba-tiba Ibu Alif muncul di daun pintu rumah nya itu, mempelawa Syafiq dan juga suaminya untuk makan.

"Malam ni Syafiq tidur rumah kita. Kesian dia penat nak drive ke KL dah petang macam ni. Esok lepas sarapan baru lah balik ye Syafiq." Kata Ayah Alif mencelah sambil menepuk-nepuk bahu Syafiq.

Syafiq hanya tersenyum. Dia tidak mahu tidur di situ sebenarnya. Namun teringatkan bahawa Ayah Alif akan membawanya bertemu dengan seseorang malam ni, lebih baik dia tidur sehari sebelum bertolak balik ke rumahnya. Lagipun bila dah malam, dari rumah Alif nak ke jalan besar agak jauh.

"Laaaa ye ke. Tak cakap awal-awal. Haaa tak apa, awak ajak lah dia makan dulu, saya kemaskan bilik Alif sekejap. Masuk Syafiq, buat macam rumah sendiri tau." Kata Mak Alif lalu meminta izin untuk berlalu pergi.

"Kamu tidur je dekat sini malam ni, nak balik pun nanti mesti dah lewat kan. Bahaya." Kata Ayah Alif sambil menjemputnya masuk ke dalam rumah nya itu.

"Baik Pak Cik. Tapi saya kena call Ayah saya dulu. Risau dia tunggu saya pulak malam ni." Balas Syafiq lalu mengeluarkan telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam kocek seluarnya itu.

"Okok. Lepas dah call masuk tau. Pak Cik nak ke tandas sekejap." Kata Ayah Alif lalu meninggalkan Syafiq keseorangan di situ.

Syafiq hanya menganggukkan kepalanya. Saat kelibat Ayah Alif tidak kelihatan di situ, dia melihat ke skrin telefonnya lalu mendail nombor telefon seseorang. Setelah butang hijau ditekan, dia meletakkan telefon tersebut ke telinganya lalu menanti panggilan tersebut untuk dijawab.

"Assalamualaikum." Syafiq memberi salam saat panggilannya itu dijawab.

"Ustaz ada dekat mana ni? Ustaz sibuk ke? Ni saya nak cakap sesuatu dengan Ustaz boleh? Nak mintak pandangan Ustaz sikit." Kata Syafiq lagi selepas salamnya itu dijawab. 

Syafiq kemudiannya meneruskan perbualannya itu bersama dengan Ustaz Kamal. Agak lama juga dia berbual, meminta pandangan dari Ustaz yang mana pasti lebih arif tentang perkara sebegini. Walaupun Syafiq sudah mengetahui akan jawapan yang akan dia perolehi, namun lebih baik jika dia berterus terang dan mendengar jawapan tersebut dari Ustaz Kamal sendiri.

"InsyaAllah Ustaz. Saya pun buntu sekarang ni. Saya tak tahu macam mana nak elak lagi. Ustaz jangan risau, nanti apa-apa saya maklumkan balik pada Ustaz ye. Terima kasih Ustaz. InsyaAllah, assalamualaikum." Kata Syafiq sebelum panggilan itu dimatikan.

Roommate 2 - COMPLETEDWhere stories live. Discover now