Bab 25: Upacara Pertama

3.2K 210 41
                                    

Aku lagi bang wingo wingo,

jin setan kang tak utusi,

jin setan kang tak utusi,

dadyo sebarang,

wojo lelayu sebet,

Sluku-sluku bathok,

Bathok'e ela-elo,

Si romo menyang solo,

oleh-oleh'e payung muntho,

Mak jenthit lo-lo lobah,

wong mati ora obah,

Yen obah medheni bocah

Tiba-tiba kedengaran kuat lelaki tua itu membaca jampi. Sambil mulutnya menjerit membaca jampi tersebut, sambil itu juga tangan nya mencampakkan serbuk kemenyan ke dalam arang yang dari tadi sudah terbakar. Dibacakan lagi berulang kali ayat jampi tersebut, sambil tangannya itu masih mencampakkan serbuk kemenyan ke dalam arang yang tidak jauh darinya.

Asap kemenyan kini mula menebal di dalam pondok tersebut. Cahaya-cahaya dari lilin itu yang tadinya menerangi kawasan pondok tersebut kini mulai malap. Melihat keadaan itu, lelaki tua itu menundingkan jarinya ke arah uri yang diletakkan dihadapannya itu lalu dengan segera Syafiq mengangkatnya.

Uri yang berada di tangannya itu diangkat dengan berhati-hati. Ditanggalkan kain batik yang membaluti uri tersebut lalu kini kedua-dua belah tangan Syafiq menatang uri tersebut. Dia kemudiannya menghulurkan uri tersebut kepada lelaki tua itu lalu lelaki tua itu pun menyambut uri tersebut. Diasapkan beberapa kali uri itu, lalu mentera kuat dibacakan sekali lagi.

Ruang pondok yang kecil itu mula terasa sejuk. Syafiq dapat rasakan ada angin yang mula bermain di tengkuknya itu. Namun Syafiq tenang, dia tahu semua ini adalah sebahagian dari upacara tersebut. Tidak lama kemudian, angin itu hilang dari badannya. Dan satu demi satu lilin yang berada di sekeliling pondok tersebut mulai terpadam dengan sendirinya.

Syafiq tidak memandang ke arah tempat lain. Dari tadi matanya hanya memandang tepat ke arah lelaki tua yang berada di hadapannya itu. Dia tidak mahu matanya itu terpandang benda lain, khuatir itu akan melemahkan semangatnya.

Tidak lama selepas itu, lelaki tua itu mula menghulurkan kembali uri tersebut kepada Syafiq. Melihat perkara itu, Syafiq menyambutnya perlahan.

"Pegang uri ni atas sikit. Jangan bergerak." Kata lelaki tua itu memberi arahan kepada Syafiq.

Syafiq diam mengikut arahan yang diberikan. Dia mengangkat uri itu lalu melihat ke arah lelaki tua tersebut. Lelaki tua itu meneruskan jampinya lagi.

Dengan sepantas kilat, tiba-tiba ada satu pergerakan laju seakan menyambar uri tersebut. Syafiq terkejut lalu dia hampir terlepas uri itu dari tangannya. Cepat-cepat dia betulkan kembali kedudukan uri tersebut lalu dia menarik nafas dalam.

Sekali lagi benda itu muncul di hadapan Syafiq. Seakan seekor burung yang menyambar bangkai, benda itu semakin kerap bergerak di hadapan Syafiq. Lelaki tua itu kemudiannya mengambil secubit kemenyan lalu mencampakkan sekali lagi ke arah arang yang sudah semakin sedikit asapnya.

"Hulurkan uri tu ke sisi kau, tapi jangan toleh." Sekali lagi lelaki tua itu memberi arahan kepada Syafiq.

Tidak membantah, Syafiq menurut arahan yang diberikan lalu dia pun menghulurkan tangannya ke arah sisinya yang sedikit gelap. Alangkah terkejutnya Syafiq apabila saat dihulurkan sahaja uri itu ke sisinya, seakan ada seseorang dengan sangat gelojoh sedang melahap uri tersebut. Syafiq merasa takut, namun dia tahankan juga kerana risau dia akan merosakkan upacara itu.

Roommate 2 - COMPLETEDWhere stories live. Discover now