Bab 10: Nilai Persahabatan

3.5K 248 21
                                    

Amir yang masih berdiri kaku di situ mula menggigil ketakutan. Dalam keadaan yang samar-samar, dia cuba menarik tangannya perlahan namun genggaman "Syafiq" yang berada di belakangnya itu terlalu kuat untuk dilepaskan. 

Peluh mula membasahi seluruh tubuhnya, Amir hilang kekuatan.

"Syaaaafiq, Syaaaafiq, tolong aku Syafiq." Kedengaran suara Amir yang menggigil ketakutan.

"Kau kenapa ni Amir? Kau okay ke tak?" Tanya Syafiq yang mula bangkit perlahan dari katilnya itu.

 "Addddd addddd adaaaaa benda bellll belllaaakanggg akuuuu ni Syafiq." Katanya lalu memberanikan diri untuk menoleh ke belakang.

Sebaik sahaja Amir menoleh ke belakang, sepasang mata berwarna merah sedang memandang tepat ke arahnya. Satu lembaga hitam sedang berdiri, betul-betul di belakang nya. Saat itu Amir tidak dapat menahan ketakutannya lagi lalu menjerit sekuat hatinya.

Syafiq yang turut melihat lembaga itu berdiri tegak di dalam bilik wad tersebut, dengan segera turun dari katilnya lalu menarik Amir ke belakang. Namun seakan mereka sedang berada di dimensi lain, suasana riuh di bilik itu tidak didengari oleh pesakit yang lain. Mereka yang lain kelihatan sedang nyenyak tidur walaupun jeritan Amir mampu menggegarkan bilik tersebut.

Saat itu Syafiq teringat akan pesanan yang disampaikan oleh lelaki tua yang muncul di dalam mimpinya kelmarin. Katanya Syafiq harus berani malah perlu kelihatan kuat agar makhluk itu merasa gerun terhadap dirinya.

"Bismillahirrohmanirrohim..." Syafiq mula membaca beberapa ayat suci Al-Quran yang dipelajarinya bersama dengan lelaki tua itu.

Tidak lama selepas itu, Syafiq mencapai sebotol air mineral yang berada tidak jauh darinya lalu disemburkan beberapa kali ke arah botol air tersebut. Lembaga itu terus ketawa dengan sekuat hatinya malah mula melangkah menghampiri mereka berdua.

Amir yang sudah hampir pengsan di situ terus memegang lengan Syafiq kuat. Dipejamkan matanya kuat, namun bibirnya sentiasa terkumat-kamit membacakan beberapa ayat suci Al-Quran yang diingatinya tanpa henti. Apabila Syafiq mula berjalan ke hadapan, Amir yang ketakutan itu terpaksa membontoti nya. Walau pun dia tahu lembaga itu di hadapannya, namun lebih selamat sekiranya dia terus berada di sisi Syafiq buat masa itu.

"Kau fikir kau boleh kalahkan aku budak hingusan? HAHAHAHA" Dengan suara yang garau, lembaga itu menjerit ke arah mereka.

Syafiq yang terus membacakan ayat-ayat suci Al-Quran itu tidak mengendahkan langsung kata-kata lembaga itu. Dia yang memberanikan diri, terus berjalan perlahan menghampiri lembaga itu. Melihat Syafiq yang semakin menghampirinya, lembaga itu sekali lagi menempelak mereka berdua.

"Kau tak akan mampu kalahkan aku Syafiq! Kau tak akan mampu! Aku akan pastikan kalian berdua mati malam ni. HAHAHAHA." Jerit lembaga itu seraya cuba untuk menerkam mereka berdua.

Lembaga itu tidak menerkam Syafiq, tetapi menuju ke arah Amir yang ketakutan di belakangnya itu. Tidak lama kemudian, riak wajah Amir mula bertukar. Dia berdiri tegak namun menundukkan wajahnya ke lantai. Amir kemudiannya mula mengakat mukanya perlahan lalu tersengih melihat Syafiq yang berada di hadapannya itu. 

Lembaga itu sudah mula merasuk ke badan Amir. Dengan sepantas kilat, lembaga itu mula berlari ke arah Syafiq untuk menerkamnya.

Melihat lembaga itu memulakan langkahnya, Syafiq akhirnya menuangkan sedikit air mineral itu ke telapak tangannya lalu merenjis kan air tersebut ke arah lembaga yang berada di dalam badan Amir itu. Saat terkena sahaja percikan air tersebut, Amir mula menjerit kesakitan. Jeritan yang cukup kuat untuk menggambarkan kesakitan yang dia alami. Namun Syafiq tahu bahawa yang merasa kesakitan bukan lah Amir tetapi lembaga itu kerana suara Amir juga telah berubah.

Roommate 2 - COMPLETEDWhere stories live. Discover now