PROLOG

4.9K 109 0
                                    



NOVEL INI TELAH TERBIT!
SETIAP PART DI SINI ADALAH UNEDITED VERSION

-H A P P Y    R E A D I N G-

KEDEPAK, kedepak! Kedebum, kedebum! Kedepak, kedepak! Kedebum, kedebum!

Bunyi kompang menguasai majlis. Aku langsung menurunkan lengan baju kurung yang disinsing sikit ke atas tadi. Awal pagi lagi aku sudah ke sini untuk merewang. Sampai sekarang ni hah.

Rajinkan aku?

Okey, sila muntah.

Sebenarnya aku kena paksa dengan tok. Kalau tak ikut mahu dicepuk punggung aku ni nanti. Katanya daripada aku menganga depan TV buat perangkap lalat di rumah tu lebih baik ikut dia ke sini mengeratkan hubungan bersama penduduk kampung.

Huh, yalah tu. Masalahnya aku aje yang paling muda belia di rumah kenduri ni.

"Pengantin mai dah wehhh... Cepat-cepat!"

Dua orang perempuan sedikit tua daripadaku berlari menuju ke pintu dapur. Tidak melepaskan peluang nak tengok pengantin bersanding, aku pun ikut serta juga berdiri di situ.

"Amboi, amboi... segak depa noh. Dua-dua sepadan. Umpama buah nyok dibelah-belah!" kata seorang perempuan yang berdiri di sebelahku. Kemudian ketawa di hujung ayatnya.

Ada pula kelapa dibelah-belah. Bergeleng kepala aku sebelum buang pandang pada pasangan pengantin yang kini sudah duduk di atas pelamin. Wajah mereka berseri-seri! Bibir pula tak lekang dengan senyuman. Bahagia dengan jodoh ini.

Mungkin...

Mataku naik melirik ke langit biru.

Ya Allah, bila Engkau nak pertemukan aku dengan bakal jodoh ya?

"Aduh!"

Tak payah teka siapa yang tampar punggung aku ni. Memutarkan biji mata ke atas, badan kubawa pusing ke belakang.

"Tok ni! Suka sangat tampaq Dinda dekat situ. Malu la kalau orang tengok. Awat?" Kaki aku hentak-hentak sebelah. Sebal.

"Orang keloi (Panggil) dari tadi sampai nak terkeluaq anak tekak dia buat tak tau saja. Hang nak balik rumah, kan?"

Aku jatuhkan kepala.

"Ni hah... ambik! Tuan rumah bagi. Bawa balik sekali. Sat lagi abang hang sampai mesti dia lapaq. Kut la dia tak makan tengah hari lagi."

"Yalah." Tangan menyambut huluran itu. Lupa pula aku yang Abang Dika balik ke kampung hari ni. Hairannya, abah ada di sini. Habis siapa pula yang pergi jemput dia di stesen bas Shahab Perdana tu?

Dia balik naik teksi kut. Aku buat andaian sendiri.

Sampai pada skuter comelku, plastik yang terisi lebihan nasi kukus dan lauk kenduri disangkut pada tengkuk motor.

"Tudia, baru nampak rupa. Lama sungguh Cik Mat tak tengok hang. Bila balik sini? Habis dah ka belajaq tu?"

"Minggu lepas cek balik sini, Cik Mat. Alhamdulillah, habis dah. Tunggu result la tengok lagu mana nanti."

Cik Mat, kawan abah aku ni tersengih menunjukkan barisan giginya yang tidak teratur. Bibir pula hitam. Itulah suka sangat minum kopi dan hisap rokok.

"Tak apa. Doa banyak-banyak dekat Allah. Mesti elok punya result hang tu nanti. Lagipun, anak Amrun kan bijak-bijak belaka. Elok-elok bawa motor tu nah."

"Baik, Cik Mat."

Aku menghidupkan enjin skuter. Sepanjang jalan aku menguntumkan senyuman. Sebab hati ni manyak senang ma. Rasa bahagia dan tenang sangat dapat melihat sawah padi yang masih menghijau di sebelah kiri dan kananku. Nun di sana pula aku boleh nampak Gunung Keriang. Kalau dapat naik ke puncak gunung tu, bertambah syok habaq hang!

Membelok masuk ke halaman rumah, aku lihat Abang Dika keluar dari sebuah kereta. Semestinya bukan teksi.

Kereta siapa ya?

"Abang Dika!" Sedang aku melambai padanya, tayar motorku tiba-tiba terasa lelong semacam. Apahal pula ni? Pancit ke?

"Eh! Eh! Eh! Eh!"

Sah, memang pancit la ni.

Aku dah tak dapat nak kawal pemanduan. Brek tangan ditekan-tekan kuat. Sudah... Brek pun dah tak berfungsi. Apa malangnya nasib aku ni?

"Brek tak makan! Abang Dika, tolonggggg!"

Abang Dika aku lihat sekejap pergi ke kiri, sekejap ke kanan. Tingkah lakunya tak ubah seperti sedang main galah panjang. Bila aku semakin hampir dia terus mengelak!

Cis, ingatkan nak menahan aku tadi. Tak guna punya abang.

Bush!

Motorku terbalik, manakala badanku terasa melayang ditarik oleh satu tangan yang entah dari mana datangnya. Yang pasti bukan tangan Abang Dika la.

Gedebuk!

Macam nangka busuk kami berdua jatuh ke atas tanah. Eh, bukan. Dia aje yang jatuh ke atas tanah. Aku?

Oh Em Gee. Aku jatuh dekat atas dada dia!

Senyap.

Kemalangan itu tak ubah seperti angin menumpang lalu. Perlahan muka aku angkat memandang wajah yang hampir dengan wajahku itu.

Eh, siapa dia ni?

Lambat-lambat lelaki itu menarik senyum padaku.

Wahhh... ada lesung pipit la di pipi dia!

Oh, Tuhan. Apa lelaki inikah bakal jodohku?

Aku membalas senyuman yang memikat itu. Lebar dan semakin lebar sampai ke belakang telinga.

WALIMATUL URUS AKU & DIAWhere stories live. Discover now