PART 22

444 21 0
                                    

"Su… aku sebenarnya ada hal lain nak beritahu kau."

"Apa dia?"

Bibir dikemam. Macam mana aku nak mulakan? Boleh ke Suraya terima dengan tenang? Kalau apa-apa berlaku pada perkahwinan dia dengan Faiz, anak dalam perut tu nanti apa nasibnya?

Ah, bingung la pulak!

Jariku naik menggaru-garu kepala yang beralas tudung. Aku nak cakap ke tak ni?

"Errr…"

Pon! Ponnnn!

"Laki aku dah balik tu. Kau tunggu sini. Aku nak pergi jalankan tugas sebagai isteri kejap."

Aku hanya menghantar sayu langkah Suraya menuju ke gerbang pintu.

Jag air aku capai dan tuang ke dalam gelas sampai penuh. Tak cukup hilangkan panas di hati yang tiba-tiba meruap, aku tambah lagi. Entah kenapa terus mendidih pula darah aku sampai kepala mengingatkan kecurangan Faiz.

"Darling..."

Tangan aku letakkan di bahu. Bersama julingan mata ke atas, lidah aku jelir keluar.

Darling tengkorak dia! Darling di depan. Di belakang dia ling... kupkan isteri sendiri.

"Dinda, dah lama ke kau dekat sini?" Soal Faiz sambil sebelah tangannya aku lihat begitu erat mendakap pinggang si isteri mendekatiku.

Ya Allah... berbakat sungguh hamba-Mu yang satu ini berlakon. Tengok tu? Boleh tersengih lagi pada aku. Serupa tak ada apa-apa.

Jadi Anugerah Bintang Paling Popular tahun depan mohon satu Malaysia beli surat khabar Berita Hairan mengundi Faiz ramai-ramai bagi kategori terbaru; Drama King.

"Lama la juga." Aku balas sengih tak ikhlas Faiz. Itu pun sebab Suraya ada di sebelahnya.

"Suraya kata pagi-pagi lagi kau dah keluar. Tak tahu pula aku hujung-hujung minggu macam ni kau rajin pergi main badminton."

Aku lihat halkum Faiz naik turun. Kemudian dia berdeham berkali-kali.

Haih... Aku ada tersilap cakap ke?

"Dapat klien suka main badminton, kan? Nak tak nak kena ikut la," balasnya. Kalih pada Suraya...

"Darling, abang naik atas dulu. Nak mandi." Jersi birunya yang basah di ketiak itu diangkat cium.

"Bau ashem sangat ni."

Huh! Entah peluh betul atau tidak tu. Jangan-jangan curah air dekat baju sendiri. Lencun sangat aku nengoknya.

Setelah Faiz pergi, Suraya menjatuhkan duduk. Kakiku pula mula tergedik-gedik.

"Hah, kau nak cakap apa dekat aku tadi?" Tanya Suraya. Tapi, saat ni aku dah tak betah nak duduk. Tak tahan. Dah nak terkeluar!

"Nanti la aku cakap. Su, pinjam bilik air kau kejap!" Terus berlari-lari anak aku menuju ke bilik air.

LEGANYA...

Pintu bilik air dibuka. Sebaik melangkah keluar, tangan kananku tiba-tiba ditarik. Dikilas dan ditekan seseorang yang entah siapa ke belakang badan.

Seolah-olah dia tahu aku akan menjerit, tangannya naik menekup mulutku.

Aku meronta-ronta. Tak boleh bernafas! Tapak tangan dia yang besar, bukan kata mulut, lubang hidungku pun tertutup sekali.

Siapa manusia di belakang aku ni? Selama 5 minit dalam bilik air, ada perompak masuk ke dalam rumah Suraya ke? Tapi, tak dengar bising-bising pun.

Apa aku perlu buat ni?

Baru terfikir nak memijak kakinya, tup-tup si pemilik tangan itu memusingkan sedikit badan dan menunjukkan wajah dia padaku.

Aku membesarkan mata.

Fa... Faiz???

"Janji yang kau takkan menjerit?"

Tak fikir banyak, kepalaku terus mengangguk setuju.

Sebaik dia lepaskan diriku, terus aku menunduk. Tapak tangan diletakkan di dada. Tercungap-cungap mencuri nafas.

Baru la rasa sempurna sikit nak sedut oksigen. Mamat keparat ni berniat nak bunuh aku ke apa?

Aku kerling Faiz yang sedang meraup rambut dan turun ke tengkuk.

"Dinda, aku... Aku sebenarnya dah berkahwin lain."

Jantungku yang baru hendak berdetak normal terhenti dua saat mendengar itu.

Aku menegakkan badan.

"Apa? Kau!" Tersedar suaraku melantun kuat, pantas aku menekup mulut sebelum sambung dengan nada separa berbisik.

"Kau kahwin lainnnn?" soalku bagaikan tak percaya.

Faiz angguk dan aku terus naikkan jari telunjuk menuding mukanya yang berkumis nipis itu.

"Kau ni memang jantan tak guna la Faiz!" Dalam suara yang tertahan-tahan, aku teriak di hadapan mukanya.

"Apa kurangnya Suraya? Apa lebihnya perempuan tu?" Sebelum isteri dia soal, lebih baik aku yang cari tahu dulu.

Aku ingat. Sebelum nak dapatkan Suraya, bukan main dia kata padaku; Suraya la segala. Tak ada wanita yang terlihat sempurna di matanya melainkan Suraya.

Tuhan... Kan bagus kalau membunuh itu bukan dosa besar.

"Tak ada yang kurang pada Su. Ni salah aku, Dinda! Aku dengan Kamilia ditangkap basah dua bulan lepas dan keluarga dia paksa kami berkahwin. Tolong... aku merayu sangat-sangat dekat kau jangan bagitahu apa-apa pada Suraya. Kalau kau bagitahu, mati aku! Aku tak nak kehilangan dia."

Huh, mati konon! Pandangan aku lemparkan ke arah lain seketika. Mengumpul kekuatan untuk terus menghadap muka jantan bertopengkan syaitonnirojim ini. Ikutkan hati, rasa macam nak aje tarik dia masuk ke dalam bilik air dan humban mukanya dalam mangkuk jamban!

"Kau tak nak kehilangan dia? Tapi, kau boleh pulak buat benda bodoh macam tu! Suraya tengah mengandung la, Faizzz... Ya Allah! Tergamak kau kan, tikam belakang dia?"

"Disebabkan keadaan Su macam tu la, aku tak nak dia tertekan nanti. Aku bimbangkan anak dalam perut tu. Aku sayangkan dia!"

"Sayang?" Geli ketiak aku dengar. Rasa serupa nak gelak bergolek-golek dari depan bilik air ni sampai dapur sana.

Kembali serius, aku jegilkan mata seluas mungkin padanya. Kalau boleh dilihat muka sendiri pada waktu ini, sahih wajahku tak ubah seperti Nabila Huda dalam filem Munafik 1 semasa kena rasuk dan melekat di dinding tu.

"Sayang tahi ayam kau busuk! Sebusuk mulut kau yang pernah berjanji pada aku dulu; takkan lukakan hati dia!"

Hah, kan dah makan maki dua baris dengan aku. Harap kenyanglah.

"Kata la pada aku apa sekalipun, Dinda. Aku terima. Yang penting kau kena tolong aku rahsiakan perkara ni daripada Suraya.."

Aku dakap tubuh.

"Tak hingin la aku tolong kau! Su tu kawan baik aku. Kalau kau nak mati, kau punya pasal. Mengucap la kau siap-siap. Sebab sekarang ni aku nak pergi beritahu dia semua apa yang mata kepala aku ni nampak semalam!"

Bersama jelingan, terus kaki diangkat pergi. Baru beberapa langkah, terasa tangan aku direntap kuat dari arah belakang. Dan dalam sekelip mata saja tubuhku sudah melekat di dinding.

Tajam mata Faiz memanah wajahku.

WALIMATUL URUS AKU & DIAWhere stories live. Discover now