PART 16

1.3K 68 7
                                    

BERSAMA SENYUMAN aku menatang talam ke tempat di mana mereka duduk. Noah dah bertepuk tangan. Tak sabar nak makan la tu.

"Ini untuk Noah." Secawan aku letak depan dia.

"Yeayyy, Chocolate Sundae!" Jeritnya, gembira dapat apa yang diinginkan.

"Dan ini untuk Putri dan acik! Strawberry Sundae." Aku letak asikrim di depan Putri. Anehnya dia tak nampak teruja seperti Noah.

"Putri... kenapa tak makan?"

Dah beberapa minit berlalu. Aku tengok aiskrimnya masih tidak bersentuh. Noah di sebelah tu tak payah cakaplah. Sikit lagi nak habis makan. Besar tu punya aiskrim? Huh, bagi dia apa sangat. Kecik!

Putri menggeleng. Sekadar membisu sambil memeluk anak patung ikan dolphin berwarna merah jambu miliknya.

Rasa pelik aku dengan budak seorang ini belum habis lagi. Malah semakin menjadi-jadi. Sudah la sepanjang jalan di dalam kereta sepatah haram pun aku tak dengar suara keluar daripada mulut dia. Bila tanya nak aiskrim perisa apa, Noah pula yang tolong jawabkan.

"Noah, jangan-jangan Putri tak suka aiskrim strawberi kut." Mana tahu Noah main hentam kromo aje beritahu aku tadi.

"Dia suka la. Apa pun warna pink Putri mesti suka."

Aku kembali mencerlung wajah Putri.

"Putri kalau suka, makan la. Nanti cair dah tak sedap tau. Acik suapkan ya?"

Aku ambil sudu dan cedokkan sedikit aiskrim. Kut-kut la budak ni dah terbiasa disuap. Lihat pada gayanya, nampak lebih muda daripada Noah aje.

"Nah." Sudu ditala dan Putri laju menekup mulutnya yang comel itu dengan tapak tangan.

"Kenapa tak nak?" Soalku. Hairan dapat berjumpa dengan seorang budak yang tak ada nafsu tengok aiskrim ni. Aku yang tua bangka pun bukan main gelojoh lagi makan.

Putri cuit bahu Noah. Tangan dia kemudian bergerak seolah-olah mengkhabarkan sesuatu.

"Mak ngah, Putri cakap kan... papa dia tak kasi makan aiskrim. Nanti rosak gigi."

"Putri cakap?"

Noah angguk-angguk.

Eh, eh... bila masa pula Putri cakap? Aku tak dengar apa-apa pun. Yang aku nampak dia libas tangan sana. Dia libas tangan sini. Tiba-tiba pandai aje Noah terjemahkan.

"Kalau macam tu acik bagi pada boyfriend Putri ya?"

Aku acah-acah hulur pada Noah. Mungkin dengan cara ni nanti dia nak makan. Budak-budak kan selalunya begitu. Bila kita nak bagi pada orang lain masa itu la dia terhegeh-hegeh meminta.

Noah buat isyarat sesuatu pada Putri. Aku memerhati. Apa punya fesyen bercakap la budak dua orang ni.

Ah, boleh gila aku macam ini kalau hari-hari.

"Betul ni papa tak kasi makan?" Aku minta kepastian.

Yang ini pun hairan juga. Kan tadi aku dah beritahu mama dia nak bawa pergi makan aiskrim. Aireen tak cakap pula yang Putri tak boleh makan aiskrim.

Putri angguk dua kali padaku.

"Okey," balasku. Akur. Langsung itu, Noah terus rampas aiskrim milik Putri daripada tangan aku dan makan tanpa rasa bersalah.

Eh, anak fruit seorang ni. Tak menyempat-nyempat!

"Putri nak makan yang lain tak? Acik pergi belikan." Kesian pula tengok dia tak makan apa-apa bila dah datang sini.

Dia anggguk lagi.

Hmm, angguk dan geleng. Itu sajalah kau reti balas nakkk....

Aku bingkas menuju ke kaunter pesanan dan kembali semula bersama dua kotak Happy Meal Chicken Burger. Satu kotak lagi untuk Noah.

"Umur Putri berapa tahun?" Tanyaku seraya tangan menghulur burger padanya. Saja nak ajak sembang. Sebab rasa teringin sangat nak dengar suara dia.

"Dia tiga tahun."

"Noah... Mak ngah tanya Putri, kan? Biar la dia yang jawab."

Noah menunduk pandang meja. Membebeh bibirnya. Mungkin fikir aku marahkan dia.

"Tahu, tapi..." Terhenti di situ. Noah angkat kepala memandang Putri sebelum mengamit tangan kecilnya padaku.

Aku mendekatkan wajah. Lalu, dia bisikkan sesuatu di telingaku.

*
*

NOAH MELAMBAI tangan pada Putri. Separuh jalan keluar dari kawasan perumahan itu, dia memeluk tubuh. Erat. Mulut itu muncung sedepa. Muka pula masam mencuka.

Haih... Tak akan sebegini teruk kut berpisah dengan kekasih hati?

Dah begitu, nampaknya terpaksa la aku batalkan niat nak lancarkan peluru bebelan pada dia sebab dah kenakan aku.

Masa aku berbual sekejap dengan Aireen masa hantar Putri tadi. Katanya, Putri bukan bisu. Cuma dia sendiri yang tak nak cakap. Berat mulut.

Patutlah budak tu boleh mendengar dengan baik dan faham apa yang orang lain cakap. Lagipun, kebiasaannya anak-anak istimewa ni akan dihantar ke sekolah khas. Bukan di Al-Rizki.

Noah, Noah... Pandai-pandai aje. Kalau tak tanya Aireen tadi, percayalah aku bulat-bulat dengan cakap dia di McDonald's tu. Agaknya Noah tak tahu beza berat mulut dengan bisu kut.

"Noah tak suka dengan Mama Reen!"

Fuhh, tiba-tiba. Terkejut aku.

"Kenapa cakap tak suka pulak ni? Apa yang Mama Reen tu dah buat? Tak baik tau benci-benci orang tak tentu pasal. Tambah-tambah orang yang lebih tua daripada Noah."

Sungguh, tak pernah aku tahu Noah pandai bersikap kurang diajar seperti ini. Padan la tadi bukan main liat masa aku minta dia salam dengan Aireen. Ada isu rupa-rupanya.

"Mama Reen tu garang! Dia jahat! Putri cakap, Mama Reen selalu marah-marah dia! Tampar-tampar dia!"

Erk? Aku kerutkan kening. Dalam pada masa yang sama teringat tindakan Putri lari bersembunyi di belakang Cikgu Nur semasa di Al-Rizki tadi bila nampak mama dia datang.

Takut ke dia?

Tapi... Itu kan ibu Putri sendiri.

"Tak baik la cakap macam tu. Noah kena tahu, seorang ibu tu garang dan marah sebab dia sayangkan anak dia. Ibu Noah pun garang dan pernah marah Noah kalau ada buat silap, kan?"

Noah angguk perlahan.

"Jadi, sama juga la Ibu Noah dengan Mama Reen tu. Faham?"

Dia membebeh bibir. Aku gelengkan kepala.

Noah ni aje nampak teremosi lebih bila girlfriend dia cerita macam tu. Tak padan dengan budak-budak. Dah pandai nak bersikap over protective.

"Noah sayangkan Putri?" Aku ajukan soalan kategori dewasa. Tengok dia nak jawab apa.

"Mestilah sayang! Sebab tu Noah nak kahwin dengan Putri nanti. Noah nak jaga dia. Biar Mama Reen tu tak dapat nak marah-marahkan dia lagi."

"Walau Putri tu malas nak bercakap?"

"Tak apa. Noah kan rajin bercakap. Apa aje yang Putri nak cakap, Noah boleh tolong cakapkan."

Tudia! Lagak seperti hero semua jawapan dia. Dan tak sangka semua kata-kata tu boleh keluar daripada mulut seorang budak berusia lima tahun.

"So manly la anak fruit mak ngah ni," kataku sambil rambutnya sengaja aku semak-semakkan.

Noah dah mula tersengih-sengih. Aku tarik senyum.

Haih, kecil-kecil lagi dah mempunyai ciri-ciri lelaki idaman wanita. Betul-betul mewarisi gen Abang Dika la dia ni!

Harap-harap sampai ke besar Noah tetap gentleman. Bangga aku nanti selaku mak saudaranya.

WALIMATUL URUS AKU & DIAWhere stories live. Discover now