PART 12

1.3K 66 7
                                    

MEMANDANGKAN WAKTU zuhur dah masuk, kami singgah sebentar di R&R. Selesai solat, aku dan Zarr berjumpa semula di medan selera untuk makan tengah hari.

"Awak duduk sana la." Mulutku memuncung ke arah meja yang berada di sebelah kiri.

"Saya pulak duduk sini." Aku bawa pula muncung ke sebelah kanan. Tak tunggu balasannya terus aku angkat kaki.

"Kejap!" Zarr pusing badan menghadapku.

Aku angkat sebelah kening.

"Kenapa saya dengan awak kena makan asing-asing pula? Satu meja dah cukup besar apa. Kerusi ada enam pula tu. Kita duduk makan sekali la."

"Sebab ni..." Aku tayang tangan kiri depan muka dia. Jari manis yang tersarung cincin sengaja aku gerak-gerakkan.

"Saya dah bertunang. Awak pun sama, kan? Masing-masing sekarang ni tengah menghitung hari aje nak jadi isteri dan suami orang. Jadi saya tak nak la nanti timbul fa ya ta nun alif ha. Bunyinya apa?"

"Fitnah."

"Good! Boleh timbul fitnah kalau kita makan sama-sama. Orang ramai dekat sini kita tak tahu siapa yang kenal kita. Nak-nak di zaman sekarang ni senang tular. Acah-acah manja teringin nak makan cendol pun tular tau! Oleh itu, bak kata pepatah, lebih baik mencegah daripada..."

"Merawat," kata Zarr. Seperti tahu-tahu aje yang aku memang nak dia tolong sambungkan.

"Hah, tahu pun! Karang kalau tak jadi majlis kahwin awak dan majlis kahwin saya, siapa yang akan susah? Siapa yang nak menangis? Kita berdua... juga, kan?"

Dia diam. Mataku mengeluarkan isyarat.

'Tunggu apa lagi? Sila tepi sikit'.

Sebaik Zarr menyengetkan badannya memberi laluan, langkah yang terhenti tadi lekas aku sambung semula.

Sudah makan, kami berjalan keluar dari medan selera itu. Dua meter aku di depan, dua meter dia di belakang. Ini pun atas arahan aku juga. Kalau orang lain tengok, nampak kami berdua ni serupa tak pernah kenal la.

Tengah sedap aku melenggang kangkung menuju ke kereta, kakiku bagaikan digam dengan gam kasut. Oh, no!

Satu tapak...

Dua tapak...

Aku undur perlahan-lahan. Seterusnya... 1, 2, 3. Okey Dinda, lari!

Terdesak mencari tempat untuk menyorok, akhirnya belakang Zarr juga yang menjadi sasaranku. Membongkokkan badan, baju dia aku tarik-tarik melindungi muka. Itulah, tadi buat macam tak kenal sangat, kan? Bil dah dapat susah, orang tu juga yang dicari untuk pertolongan.

"Kenapa ni?" soal Zarr.

Aku senyap tak jawab. Dia pusing kiri. Aku bergerak ke kanan. Dia pusing kanan, aku gerak ke kiri.

"Berdiri diam-diam boleh tak?" Marahku. Zarr buat seperti yang dipinta. Tangan itu naik mencekak pinggang sambil mulutnya membebel-bebelkan sesuatu. Tak jelas apa.

Sebaik sahaja dua manusia itu melintas, bergegas aku berlari masuk ke dalam kereta.

Fuhh, selamat! Sebelah tangan diletakkan di dada yang berombak laju.

Eh, kejap! Dah kenapa aku yang perlu sembunyikan diri tadi? Sepatutnya aku tunjuk aje diri ni biar dua manusia itu menggigil sampai terkencing.

"Siapa couple tu?" Tanya Zarr yang kini duduk di bahagian pemandu memandangkan aku mengambil tempat di bahagian penumpang.

"Couple?"

"Saya tahu awak sembunyikan diri tadi sebab tak nak lelaki baju coklat dengan perempuan baju hijau tu nampak awak, kan?"

Aku mengerutkan dahi dan Zarr terus memuncungkan mulutnya pada satu pasangan yang sedang berjalan masuk ke dalam medan selera.

"Haah! Memang saya lari dari mereka tadi," jawabku dalam perasaan geram.

"Kenapa?" soalnya ingin tahu. Aku merengus kasar. Hati tengah panas. Tak ada mod nak cakap tentang tu sekarang ni. Lagipun, mustahil la aku nak cerita pada dia.

Tapi, betulkah apa yang aku lihat? Atau lelaki tu cuma pelanduk dua serupa?

"Kenapa awak diam?"

"Tak ada kaitan dengan awak la. Tak payah nak sibuk-sibuk ambil tahu. Nah, kunci. Cepat jalan!"

"Nak jalan buat apa Cik Nur Adinda kalau kita dah naik kereta, hurm?" Katanya sarkastik buat aku menggigit bibir. Karang tinggal dekat sini baru dia tahu betapa kejamnya seorang Cik Nur Adinda dia ni.

Tiba di rumahnya...

"Terima kasih sudi tumpangkan saya."

"Sama-sama. Hal kecil ajelah. Lagipun, minyak dan tol semua awak yang tolong bayarkan. Dah tu awak sendiri yang drive sampai ke KL ni. Makan pun awak belanja."

Dia senyum menayangkan lesung pipinya.

Hesy, kadangkala cemburu betul aku dengan orang yang ada 'lesung' dekat muka ni. Yalah, selalu orang kata lesung pipit ni sejenis cacat muka yang comel! Nak-nak kaum lelaki pula ada kecacatan tu. Rasa nak aje aku tumbuk sambal belacan dekat situ.

"Cantik rumah," pujiku tak ada arah.

"Ini rumah parents saya. Semenjak dia orang bersara, abi ajak semua pindah duduk di Perlis dekat rumah arwah tok wan. Tapi, memandangkan saya bekerja di KL, saya tinggal la dekat rumah ni."

Kepala aku terangguk-angguk. Tangan mengangkat melihat jam tangan. Lama-lama aku dekat depan rumah dia, karang orang fikir apa pula.

"Dah lewat petang ni. Saya minta diri dulu?" pintaku. Dia mengangguk.

Aku berpaling menuju kereta. Belum sempat membenamkan diri ke dalamnya, tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.

"Zarr, wait!"

Lelaki itu memusingkan badannya memandangku. Selesai mengambil sesuatu dari dalam beg tangan, aku kembali menonong berjalan mendekati Zarr semula.

"Nah! Saya lupa nak bagi ni dekat awak."

"Saya ingatkan awak tertinggal hati dekat sini tadi."

Nah... gurauan dia umpama aliran elektrik 30,000 voltan menyambar. Tak pasti aku nak gelak atau tak.

Okey, tak nak gelak. Tak patut aku gelak pun. Tapi, dia pula yang gelak dengan kata-kata sendiri.

"Adinda Wedding Wear," sebutnya ketika membelek kad bisnes itu.

"Itu butik saya. Kalau awak belum ada baju untuk bersanding nanti datang la ke sana. Nak sewa baju pengantin untuk photoshoot pun boleh. Untuk awak dan bakal isteri, saya bagi harga best punya!" Sempat lagi aku promote butik sendiri.

"Why? Sebab saya ex-Mr.Crush awak?"

Aku terkedu dan dia sekali lagi tergelak besar. Tak sangka, mudah terhibur rupa-rupanya Zarr Iskandar ni.

"Insya-Allah. Thank you so much for this," ucapnya bersama satu senyuman yang...

Patut ke tak aku cakap ek?

Okey, cair!

WALIMATUL URUS AKU & DIAWhere stories live. Discover now