Bab 29 : "Mulut kau ni aku kena cili dulu tau tak?"

1.4K 128 4
                                    

Bab 29 : "Mulut kau ni aku kena cili dulu tau tak?"

"Retrograde Amnesia," jawab Cikgu Hakimi pendek.

Kehilangan memori lama... bisik hati kecil Hazim. Dia kembali memandang wajah gurunya yang sebenarnya adalah bapa kandungnya sendiri.

"Saya langsung tak ingat apa yang berlaku sebelum tu kecuali diri saya sendiri. Semua tentang keluarga saya hanya samar-samar termasuk tempat tinggal saya. Saya sedar, Yusri perkenalkan dirinya sebagai kawan baik saya. Dia lah yang banyak membantu saya ingat semua benda. Disebabkan saya hilang ingatan, saya berhenti belajar dan ambil masa untuk memulihkan diri. Yusri tak pernah tahu tempat tinggal tok, kalau tidak, pastinya dia maklumkan dan mungkin hantar saya pulang ke sini. Telefon saya rosak ketika kemalangan tu, lagi menyukarkan kami untuk berhubung dengan tok. Hari demi hari, bulan demi bulan, saya semakin pulih. Saya ambil peluang sambung belajar tapi dalam jurusan pendidikan.

Apabila terima surat pertukaran ke sini, saya teringat tempat ni tempat saya membesar. Tapi saya masih tak ingat tempat tinggal saya. Datang ke sekolah hari pertama tu, saya memang cam Cikgu Manaf dan beberapa hari lepas tu baru ingat tempat tinggal. Tapi, dah terlambat kan?" Wajah Cikgu Hakimi sayu. Dia terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan abahnya serta menguruskan jenazah orang tua yang telah banyak berjasa itu.

Hazim diam membisu. Setelah lama berbual dan mendengar cerita dari Cikgu Hakimi, Hazim masuk ke biliknya ingin menelefon Qaiser. Guru itu pula kembali menguruskan barang dapur yang dibelinya tadi. Masih teringat dia akan pertemuannya dengan bekas isterinya di kedai runcit tadi.

Puan Isma datang ke tempat sayuran, dia lihat Puan Saerah dan Cikgu Hakimi berpandangan.

"Hakimi?"

Puan Isma mendekati mereka. Dia ambil barang yang dipesan tadi dan memberi isyarat kepada kawannya untuk berbual dengan bekas suaminya. Tetapi Puan Saerah tidak mengerti isyarat yang diberi. "Eh, kau orang pergilah catch up atau apa-apa jelah. Biar aku habiskan beli barang."

Cikgu Hakimi mengerutkan kening pandang Puan Isma. Wanita itu membuntangkan mata. "Oh, okay? Saya pun dah habis beli barang. Tinggal nak bayar." Dia langsung ambil bakul yang berisi barang yang dibelinya dan berjalan ke kaunter pembayaran. Puan Saerah mengikut dengan rasa ragu-ragu. Dia tahu kawan baiknya itu menyuruhnya memberitahu mengenai Hazim pada bekas suaminya.

Usai membayar, mereka berjalan ke kedai makanan dan memesan air untuk minum.

"Awak buat apa kat sini?" Puan Saerah membuka bicara.

"Saya mengajar dekat sini dan ni memang tempat saya membesar."

Jawapan lelaki itu membuatkan Puan Saerah tertawa. Ketawanya kedengaran sinis. "Mengajar? Awak jangan nak tipu sayalah. Awak bukan ambil jurusan pendidikan. Awak..."

"Saya berhenti. Lepas tu, ambil jurusan pendidikan dan akhirnya saya ditukarkan tempat ke sini," terang Cikgu Hakimi serius.

Terdiam Puan Saerah.

"Saya tahu awak sembunyikan sesuatu dari saya, Era."

Wanita itu mengetap bibir. "Sembunyikan apa?" Dia buat-buat tidak tahu. Sejujurnya dia sendiri tidak bersedia ingin memberitahu kebenaran.

Minuman mereka tiba membuatkan suasana antara mereka berdua sunyi seketika. Cikgu Hakimi mengeluh berat. "Saya tahu awak sembunyikan Hazim. Kenapa awak tinggalkan dia di rumah anak yatim sedangkan awak boleh minta tolong saya, Era?"

Terbuntang mata Puan Saerah. Terkejut kerana lelaki itu sudah tahu terlebih dahulu. "Ma... mana awak tahu? Saya tak pernah sebut pun. Yusri pun tak tahu. Isma bagitahu ya?"

Cikgu Hakimi geleng. "Saya tahu dari Hazim sendiri."

Jawapan itu membuatkan jantung Puan Saerah berdegup laju. "Hazim? Dia ada kat sini? Macam mana awak tahu dia anak awak? Saya tak peenah sebut pasal awak dekat dia?" Berdas-das tembakan soalan diaju.

Angguk. "Tapi sebaiknya awak tak perlu jumpa dia lagi. Saya takut dia lari lagi." Cikgu Hakimi menerangkan segalanya pada bekas isterinya tentang bagaimana dia boleh tahu Hazim itu anaknya sendiri. "Awak tahukan IQ saya tinggi? Begitu juga abah saya."

"Dan juga dia. Tapi dia bukan seperti yang saya sangka. Dia... nakal. Malah terlebih nakal. Mungkin salah saya tinggalkan dia di sana." Sungguh kesal Puan Saerah. Dia menunduk ke bawah.

Cikgu Hakimi tersenyum mengenangkan perangai Hazim. "Kalau dia yang awak kenal adalah nakal dan pandai, dia yang saya kenal sebaliknya."

Kata-kata itu menarik perhatian Puan Saerah.

"Hari pertama saya masuk ke kelas dia, dia tidur. Tapi berjaya jawab soalan Add Maths yang kelas dia langsung tak ambil subjek tu dalam masa kurang dua minit. Padahal budak-budak dan cikgu-cikgu kenal dia sebagai budak paling malas. Awak boleh bayangkan tak, dia tulis nama dan tingkatan saja pada kertas soalan dan kemudian tidur sepanjang peperiksaan? Dia suka bersukan tapi buat seolah-olah dia tak mahir. Logik ke badan kurus macam dia boleh kalah dengan budak berbadan gempal dan budak yang sakit asma? Dia pendiam dan tak suka ambil tahu hal sekelilingnya."

Puan Saerah mengerutkan kening. "Tapi cerita budak dekat rumah anak yatim tu sangat berbeza dengan cerita awak."

Cikgu Hakimi mengangguk. "Dia kecewa sebab semua kawan-kawannya tinggalkan dia, UPSR dia tak macam dia harapkan, tak dapat sekolah asrama atau sekolah sukan, hilang penjaganya dari kecil itu yang membuatkan jadi begitu. Lepas jumpa awak, dia jadi lagi lain tapi adalah sedikit kesan positif sebab tinggal dengan abah."

"Dia tinggal dengan abah awak?"

"Abah jumpa dia tidur dekat bus stop ke tepi jalan macam tu. Kata arwah abah dalam suratnya, dia nampak diri saya dalam Hazim, sebab tu dia sudi bawa Hazim pulang ke rumah. Dia sendiri minta Hazim bersekolah dan mengubah Hazim jadi lebih baik walaupun Hazim banyak lupakan tentang minat dan kebolehannya. Dia bersungguh-sungguh dalam sukan pun sebab arwah abah." Dalam diam, Cikgu Hakimi gembira melihat Hazim tidak seperti dulu yang diceritakan oleh Tok Hakim dalam suratnya.

Puan Saerah senyum ikhlas. Dia pun gembira mendengar anak lelakinya itu sudah berubah. Syukur...


✖⭐✖⭐✖⭐✖




"Assalamualaikum!"

"Waalaikumussalam. Kau pergi mana ha? Aku call banyak kali tak angkat. Dia orang dah balik dah pun," beritahu Qaiser. Suaranya kedengaran marah bercampur risau.

Hazim gelak seperti tiada apa-apa yang berlaku. "Maaf, bro. Aku buat vibrate tadi. Dia orang okay belajar?"

"Okay, nasib ada Balqis boleh tolong ajar sekali. Kau ni kenapa happy sangat ni?" Bengang Qaiser. Dia sudahlah risau si Hazim tak balas panggilannya, suara pula dengar gembira.

Hazim senyum lebar sehingga menampakkan lesung pipitnya. "Aku jumpa ayah aku."

"Hah?"

"Mulut kau ni aku kena cili dulu tau tak? Sebab Cikgu Hakimi memang ayah aku."

"Apa?" Tersembur terus air coklat panas yang diminum oleh Qaiser. Malang bagi Qalish kerana semburan itu kena pada dia.

"Abang Qai!"

"Maaf, Qalish! Kau cakap apa?"

Hazim berterus terang segala yang terjadi pada hari ini kepada sahabatnya itu.

Qaiser menggaru kepala. Dia dah tahu ayahnya, tapi macam mana aku nak beritahu hal ibunya pulak?

TIH : Gifted PrinceWhere stories live. Discover now