Bab 10 : Anak Tok Hakim
Cikgu Hakimi bangun dari tidurnya yang lena. Dia terjaga akibat bunyi telefon yang bingit meminta diangkat.
"Hello?"
"..."
"Ermm... saya MC harini."
"..."
"Baiklah."
Cikgu Hakimi meletak kembali telefonnya di meja kecil sebelah katil. Sempat dia melihat jam pada telefonnya. Sudah pukul 8 pagi. Tidak hairanlah, ada yang telefonnya bertanya di mana dia berada. Dia duduk di birai katil. Fikirannya menerawang. Dia terasa seperti dalam dunia lain, tetapi hakikatnya tidak. Langkah kaki dibawa ke bilik air.
Lama dia berada dalam bilik air. Tak pernah-pernah mandi selama 30 minit. Bukan buat apa-apa pun, duduk bawah shower. Fikiran melayang. Mimpi yang dialaminya tadi seakan-akan benar terjadi. Seakan-akan ia merupakan kenangan yang sudah lenyap akibat kemalangan yang ditempuh beberapa tahun lalu.
Cikgu Hakimi duduk di ruang tamu. Televisyen terpasang tapi akalnya tidak fokus pada siaran tersebut.
"Abah! Abah!" Hakimi masuk ke dalam rumah mencari kelibat abahnya. Kelihatan abahnya sedang menyiapkan hidangan makan tengah hari.
"Apa dianya, nak?" soal Abah Hakimi.
"Kimi dah boleh pergi study kat KL. Kimi dah cukup duit nak sambung pengajian kat sana."
Itulah impian Hakimi dari kecil, ingin melanjutkan pelajaran di bandar seperti Kuala Lumpur. Tapi disebabkan masalah kewangan dia terpaksa bertungkus-lumus mencari wang bagi mencapai impiannya yang satu itu.
"Duit kamu dah cukup ke?"
Hakimi angguk.
Orang tua itu memberikan senyuman tipis buat anaknya. Jauh dari lubuk hati yang dalam, dia berasa berat hati ingin membiarkan satu-satunya harta berharga yang ditinggalkan oleh arwah isterinya itu pergi walaupun demi masa depannya yang cerah. Dia bimbang andai dia tidak dapat bertemu lagi dengan anak tunggalnya itu.
Namun, demi rasa sayang dan kasih, dia membenarkan. "Baguslah begitu. Nanti, kita beli barang keperluan kamu. Kamu simpan lagi kan surat tawaran tu?"
"Ada kat dalam bilik. Nanti Kimi keluarkan."
Setelah beberapa hari...
Abah Hakimi menepuk bahu anaknya perlahan. "Nanti dekat sana jangan lupakan al-Quran dan jangan tinggal solat. Jaga diri baik-baik dekat sana. Jaga maruah keluarga, akhlak diri."
Hakimi angguk. Ketika itu, dia sudah bersiap-siap ingin menaiki bas menuju ke bandar. Dia akan berhijrah ke tempat baru. "Baik, abah. Nanti cuti, Kimi balik."
Abah Hakimi geleng. Kening Hakimi berkerut melihat gelengan abahnya.
"Tak perlu. Duit kamu tu simpan untuk kegunaan belajar. Kamu baliklah ke sini bila kau dah tamat pengajian. In shaa Allah, abah baik-baik aje kat sini."
Mata Hakimi sudah bergenang. Dia rasa sayu ingin meninggalkan lelaki yang menjaga dan mendidiknya dari kecil. Tambah sayu apabila abahnya menyuruh dia pulang setelah tamat pengajian demi ingin menjimatkan wang. Hakimi terus dakap tubuh abahnya.
"Ampunkan Kimi, bah. Halalkan semua makan minum Kimi."
"Kau takde salah dengan abah. Abah dah lama maafkan kau." Air mata cuba ditahan. Dia tidak mahu anaknya itu bertambah sedih.
Hakimi sudah pun 'banjir' dengan air mata. Tidak peduli pun dengan orang sekeliling yang asyik memandang 'drama air mata' mereka.
Bas sudah pun sampai tepat pada waktunya. Hakimi menyalam dan mencium tangan abahnya lama sebelum masuk ke dalam bas. Dia sempat memandang sayu abahnya dari dalam bas. Tidak pernah dia berpisah dengan abahnya. Tapi saat itu, pertama kali dia hidup berdikari tanpa abahnya. Dia nekad ingin pulang membawa kejayaan yang dapat membahagiakan orang tuanya.
Cikgu Hakimi meraup wajah. Dia yakin mimpinya itu merupakan secebis memori lama yang hilang dari ingatannya. Dia teramat yakin rumah teres yang dikunjungi semalam merupakan kediamannya bersama dengan abah.
Tanpa melengahkan masa, Cikgu Hakimi mencapai telefon dan dompet. Dia menyarung kasut ala kadar. Langkah kaki dibawa ke rumah teres yang dikunjungi semalam. Dia berdiri di hadapan rumah teres itu. Jam tangan berjenama G-Shock dikerling.
1.40 petang. Lama juga dia melepak di kedai kopi Pak Saidi tadi, sebelum datang ke sini. Dah nama pun dah lama tak jumpa, mesti ada banyak benda yang ingin dibualkan. Tapi Pak Saidi langsung tidak menyentuh hal abah, walau sekali.
Ada juga Cikgu Hakimi bertanya, tetapi hanya senyuman simpati yang dia terima. Apakah maksud di sebalik senyuman itu? Apa yang jadi pada abahnya? Abahnya baik-baik saja kan?
Di hadapan rumah itu, dia dapat lihat seorang pelajar sekolah lelaki membuka kasut hitam dan biru itu lalu melangkah masuk ke dalam rumah itu. Dahi Cikgu Hakimi berkerut. Siapa budak itu? Kenapa dia tinggal di sini?
Perkara yang paling dia ingin tahu ialah di manakah abah?
Cikgu Hakimi menggagahkan dirinya memberi salam. Suara dari dalam menjawab salam. Mungkin budak sekolah tadi. Kelihatan dia keluar menjenguk orang di luar.
Terkejut Cikgu Hakimi melihat pelajar sekolah itu.
Hazim?
"Kamu buat apa di sini? Ini bukan rumah Tok Hakim ke?" tanya Cikgu Hakimi. Dia tidak menjelaskan tujuannya datang ke situ. Dia ingin tahu, kenapa Hazim tinggal di situ.
Adakah abahnya sudah berpindah?
"Haah, memang pun. Tapi dia dah takde."
Jantung Cikgu Hakimi berdetak laju. Hatinya rasa tidak enak. Adakah... "Apa maksud kamu dia dah takde?"
Hazim menggaru belakang leher seakan cuba mencari jawapan sesuai. "Ermm... Cikgu kenal Tok Hakim ke?"
"Awak tak jawab soalan saya lagi. Apa maksud awak sebenarnya?"
Hazim nampak serba salah. "Tok Hakim... dia... dia dah meninggal dunia."
Cikgu Hakimi tidak mampu menahan rasa sebak. Dadanya terasa sempit. Dia jatuh terduduk tanpa sempat Hazim menahan. Cikgu Hakimi membuang pandangan pada lantai. Air matanya berlinangan laju membasahi pipi.
Ya Allah... apa lagi dugaan yang akan ku terima?
Abah...
Maafkan Kimi, Kimi terlambat.
"Cikgu anak Tok Hakim?"
Cikgu Hakimi mengangkat wajahnya. Wajahnya teruk kerana menangis. Dia tak mampu untuk menahan tangisan. Dia tidak sempat pun melihat wajah abahnya setelah sekian lama dia tidak bersua muka dengan abahnya.
"Bila?"
"Hah?" Hazim tidak faham.
"Bila abah saya meninggal dunia?"
Hazim rasa simpati. Benarlah tekaannya tadi. Betapa kecil dunia ini, guru yang dia tidak sukai itu merupakan anak kepada orang yang dia sanjungi.
Tok, anak tok dah balik.
☔⚡🌈☔⚡🌈☔⚡🌈☔⚡🌈
Kali ni pendek sikit, maaf.
Dah dapat sangka ke, Cikgu Hakimi tu sebenarnya anak datuk Hakim yang tak balik-balik tu? Ke fikirkan orang lain?
Kesian kan, Cikgu Hakimi tak dapat jumpa abahnya? Hargailah ibu bapa selagi mereka masih hidup. Usah kejar cinta orang lain, cintailah ibu bapa sendiri kerana kasih sayang mereka tiada tandingannya.
YOU ARE READING
TIH : Gifted Prince
Fiksi RemajaPublished : 21/08/17 Completed : 29/12/17 Previously known : TIH : Hazim Hakimi Hazim, asalnya seorang budak baru yang tidak pernah menjawab kertas soalan peperiksaan yang dihadapinya. Ujian besar pun hanya dijawab ala kadar. Tidak pernah beri tumpu...