Lapisan tingkap yang dilapiki habuk, dilap.(erk betul ke ayat aku?lantaklah hahaha) Kipas angin yang diselaputi debu, dibersihkan. Lantai yang penuh dengan kesan kumuh, dimop sehingga berkilat. Haris bercekak pinggang di ruang tamu. Memerhati setiap inci ruangan di dalam rumahnya itu. Segala-galanya kelihatan kemas dan bersih. Dia tersenyum berpuas hati,
Rumah sewa itu dipilihnya kerana terletak tidak jauh dari pusat bandar dan tempat kerja. Haris merayapkan pandangan ke serata arah sebelum pandangan matanya terpaku di penjuru rumah. Satu bingkai kelihatan tersandar kemas di penjuru dinding. Haris merapati. Bingkai gambar itu dicapainya. Motif kebungaan di sekeliling bingkai gambar itu. Sekeping potret lukisan tangan terserlah di pandangan mata. Memaparkan seorang gadis dengan kepala tertunduk dan rambut terurai panjang sedang duduk di atas buaian.
“Bila masa potret ni ada dekat sini?”Haris tertanya-tanya.
Enggan membejatkan fikiran, dia membawa potret itu bersamanya. Pintu rumah dikuak. Dia melangkah keluar dari rumah mendapatkan tong sampah di luar pagar utama. Tanpa berfikir panjang, potret itu dibuangnya ke dalam tong sampah. Haris menampar kedua-dua belah telapak tangan menyingkirkan habuk dan debu. Dia bukan seorang pencinta seni. Hidupnya jelas dan objektif. Hitam atau putih. Ya atau tidak. Dia sememangnya tidak menggemari sebarang bentuk seni dalam hidupnya. Sama ada dalam bentuk suara, lukisan, mahupun bertulis. Segala-galanya melibatkan seni, adalah haram untuk dirinya. Baginya seni hanya membawa jiwa asing dari realiti.
Haris bertapak semula masuk ke dalam rumah. Pintu rumah dikunci rapat. Sebaik berkalih, Haris tersentak. Matanya ditenyeh beberapa kali. Benar, dia tidak berilusi. Bermimpi jauh sekali. Perlahan-lahan kaki melangkah merapati penjuru rumah. Bingung menghentak benak.
Bagaimana potret yang dibuangnya dalam tong sampah tadi boleh berada semula di penjuru rumah??
Haris merapati. Dia menunduk dan mencapai potret itu. Potret yang serupa. Bingkai yang sama. Tapi lukisannya telah bertukar.
Haris menelan liur. Terasa lambat melalui tekak. Lukisan itu memaparkan gadis itu sedang berdiri bersebelahan buai yang dinaiki tadi. Kepala masih tertunduk. Rambut panjang terurai di kedua-dua belah bahu.
Enggan berfikir terlalu mendalam, Haris membawa potret itu bersamanya. Dia melangkah keluar dari rumah. Penutup tong sampah dibuka. Kosong. Jadi benar, itu potret yang sama dibuangnya sebentar tadi. Lantas dia membuang potret itu ke dalamnya. Lama dia merenung ke arah potret itu. Bagi memuaskan hatinya sendiri yang potret itu sememangnya telah dibuang ke dalam tong sampah.
Perlahan-lahan Haris melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu ditutup rapat. Sebaik berkalih, Haris terkedu. Nafas terasa tersangkut di dada.
Potret itu kembali berada di penjuru rumah. Haris melangkah dengan debaran yang memuncak di dada. Dia berdiri di hadapan potret yang tersandar di dinding itu. Mata melilau ke kiri dan kanan. Tiada sesiap di dalam rumahnya melainkan dirinya seorang.
Haris menunduk dan mencapai potret itu. Potret dan bingkai yang serupa. Dan lukisannya sekali lagi berubah. Kali ini memaparkan gadis itu sedang berdiri lurus. Wajahnya terserlah. Mata terpejam. Rambut terurai panjang. Mulutnya ternganga luas dan lidah terjulur panjang hingga ke paras dada.
Seram mula bermain-main di tangkai hati. Lantas Haris membawa potret itu bersamanya keluar dari rumah. Dia berdiri di hadapan pagar utama. Bingkai potret dipegang kemas. Dia mengumpul tenaga lantas melontarkan potret itu. Jauh tercampak di atas jalan raya di hadapan rumahnya itu. Haris berpuas hati. Dia pasti potret itu tidak akan muncul lagi di penjuru ruang tamu rumahnya itu.
Haris bertapak masuk. Pintu rumah ditutup rapat. Sebaik berkalih, lutut terasa goyah menampung tubuh. Jantung hebat berdetak. Potret itu tersandar di penjuru dinding ruang tamu.
Ahh, ini gila!
Lambat-lambat Haris menghayun langkah mendapatkan potret itu. Dia menunduk dan mencapai potret itu. Liur terasa mengental di tekak. Sumpah bulu romanya meremang kala ini!Lukisan itu memaparkan wajah gadis itu semata-mata. Mulutnya menyeringai, terkoyak hingga ke pipi. Mata terbeliak berlohong hitam. Seakan-akan sedang merenung Haris kala ini!
Haris mencampakkan potret itu ke atas lantai. Tidak semena-mena satu suara tawa wanita terngiang di telinga. Jantung Haris terasa berhenti dari berdenyut. Manakan tidak, suara itu datangnya dari potret tersebut!
Perlahan-lahan satu kepala berambut panjang terurai, mata berlohong hitam dan mulut menyeringai terkoyak hingga ke pipi menjengah keluar dari dalam potret itu. Haris terundur-undur menjauhi. Cemas menyeruak di jiwa. Dia berlari ke arah pintu rumah. Tombol dipulas. Enggan terbuka. Berkali-kali dia mencuba, tombol enggan terbuka. Lantas dia menerjang pintu itu berkali-kali. Malangnya, masih tidak terbuka.
Perlakuannya terbejat tatkala suara tawa seorang wanita kedengaran betul-betul di belakangnya kala ini. Haris menggeletar. Hidung kembang kempis menghirup udara. Perlahan-lahan dia memutarkan tubuh.
Gadis di dalam lukisan tadi sedang berdiri di hadapannya kala itu. Gadis itu tertawa menyeringai. Serta merta gadis itu terbang menerpa ke arah Haris. Haris menjerit semahu-mahunya. Dan itulah jeritannya yang terakhir.
***
Azlan yang selesai mengemas rumah yang baru disewanya dua hari lalu bersandar di sofa melepaskan lelah. Tatkala itu dia terpandang satu bingkai tersandar di dinding penjuru rumah. Kening bertaut. Hairan mencuit benak. Sedari tadi mengemas, dia langsung tidak perasan dengan kehadiran bingkai gambar itu.Azlan bangun dan merapati penjuru rumah. Bingkai dicapai. Sebuah potret lukisan yang memaparkan seorang lelaki duduk di atas buaian dengan kepala yang tertunduk. Lantas potret itu dibawanya keluar dari rumah…
Dan, kitaran itu pun bermula…
•••
TAMAT.
YOU ARE READING
Koleksi Kisah Seram
Kinh dị20% benar 20%pengalaman 60% rekaan Takut?tapi nak baca jugak?Itu masalah anda bukan masalah saya...jangan baca dalam bilik sorang diri nanti ada yang ikut sama membaca.Itu atas risiko anda sendiri. Ok tu je nak pesan.