Perigi Lama

1.8K 115 0
                                    

Fatimah bekerja sebagai seorang pegawai bank di salah sebuah bank yang terkemuka di Malaysia.

Baru-baru ini beliau telah ditukarkan dari cawangan di selatan tanah air ke cawangan yang baru di Pantai Timur. Disebabkan kesibukan dan masa yang singkat, Fatimah tidak mempunyai banyak masa untuk mencari rumah yang betul-betul sesuai.

Namun dia cukup bersyukur kerana berjaya menyewa sebuah rumah kampung yang diperolehinya di saat-saat akhir. Baru seminggu Fatimah tinggal di rumah sewa barunya itu. Walaupun kecil namun ianya selesa dan salah satu perkara yang digemarinya adalah di belakang rumah tersebut terdapat sebuah perigi yang memang cukup sejuk airnya.

Fatimah memang suka mandi air perigi sejak dari kecil lagi, terasa lebih puas katanya. Namun walaupun sudah hampir seminggu tinggal di situ, Fatimah masih belum berpeluang untuk menikmati kesejukan air perigi oleh kerana kesibukannya. Apabila tiba hujung minggu barulah Fatimah berkesempatan meninjau keadaan perigi tersebut.

Awal pagi lagi dia sudah bangun untuk membersihkan keadaan sekitar perigi yang sudah agak usang itu. Kalau boleh tengah hari nanti dia ingin mandi air perigi tersebut. Batu bata yang ada di atas perigi dialihkan, papan yang dipaku menutupi perigi juga turut dibuang.

Fatimah juga sempat menebas semak-samun yang tumbuh meliar di sekitar perigi tersebut. Sewaktu sedang asyik menebas, jiran-jiran sekelilingnya asyik menjeling tajam ke arah Fatimah seperti dia telah melakukan suatu kesalahan besar. Fatimah agak kehairanan namun perkara itu tidak diendahkannya.

Apa yang penting bagi Fatimah ialah perigi di rumah itu harus siap dibersihkan pada hari itu juga. Tidak sampai tengah hari, kawasan sekitar perigi tersebut sudah pun siap dibersihkan dan lapang. Siap semuanya dan tanpa membuang masa, Fatimah mencapai tuala dan terus mandi di perigi itu. Walaupun sudah agak lama tidak digunakan namun air perigi masih jernih dan sejuknya memang terasa. Selepas mandi Fatimah merehatkan badannya yang penat dan berbaring, entah mengapa kepalanya tiba-tiba terasa pening berpusing-pusing. Sakit kepalanya melarat hingga ke petang dan tidak surut-surut malah makin teruk hinggakan Fatimah muntah teruk. Disebabkan sakit kepala yang teruk, malam itu Fatimah tidak dapat berbuat apa-apa. Dalam keadaan itu hatinya sedih mengenangkan dirinya yang keseorangan di perantauan dan tiada siapa yang kisah akan dirinya. Akibat terlalu lemah Fatimah langsung tidak berdaya untuk bangun, tingkap-tingkap dan pintu rumah dibiarkan tanpa ditutup. Kepala Fatimah terasa sangat berat begitu juga dengan badannya. Malam itu dia tidak dapat melelapkan mata. Menjelang tengah malam, mata Fatimah masih lagi tidak mahu terlena dan ketika itulah dia mengalami sesuatu yang belum pernah dialaminya sebelum ini. Sewaktu terlantar di atas katil fatimah terdengar sayup-sayup suara yang meminta tolong. Tidak lama kemudian terdengar pula suara orang merintih.

Fatimah yang sakit tidak boleh berbuat apa-apa walaupun ketika itu dia merasa amat takut lebih-lebih lagi dia hanya seorang diri di rumah sewanya. Bulu tengkuknya berdiri setiap kali mendengar suara itu yang datang dari telaga tempat dia mandi siang tadi. Tidak mungkin ada orang yang terjatuh kerana dia menutup kembali mulut perigi selepas mandi. Lagipun kalau betul ada orang yang terjatuh sudah tentu dia mendengar terlebih dahulu bunyi percikan air. Keadaan Fatimah yang agak teruk menyebabkan dia hanya dapat membungkam diri di atas katil. Walaupun rasa takut yang amat sangat tapi dia tidak terdaya bangun meminta pertolongan. Laungan meminta tolong itu hilang sebaik sahaja azan subuh berkumandang. Selepas itu barulah Fatimah dapat melelapkan mata. Dia hanya terjaga sewaktu mendengar suara orang memberi salam dari luar rumah. Salam yang diberi hanya dapat dijawab dari dalam bilik kerana Fatimah masih belum berdaya untuk bangun. Pintu rumah yang terbuka luas menyebabkan Mak Uteh, isteri kepada tuan rumahnya terus saja masuk ke dalam. Mengucap panjang dia melihat keadaan Fatimah. Mak Uteh terus memapah anak gadis itu sambil menjerit meminta tolong daripada suaminya. Pak Uteh kelihatan sedang menjengah perigi di belakang rumah tersebut. Dua hari Fatimah ditahan di hospital, ketika dirawat Mak Uteh dan Pak Utehlah yang menjenguknya. Setelah pulang ke rumah barulah diketahui bahawa apa yang dialami olehnya itu sebenarnya bukanlah sakit biasa. Sakit Fatimah kemungkinan besar akibat dari badi perigi lama. Menurut cerita Pak Uteh, perigi tersebut menyimpan ceritanya yang tersendiri. Lebih memeranjatkan lagi Fatimah apabila mengetahui pernah ada yang menjadi korban perigi tersebut. Peristiwa itu berlaku 10 tahun yang lalu. Pak Uteh menceritakan bahawa penyewa rumahnya sebelum ini terjatuh ke dalam perigi dan hanya dijumpai tiga hari selepas itu. Ketika ditemui mayat penyewa tersebut telah kembung perutnya.

Sejak itu tidak ada lagi yang berani menggunakan perigi itu kecuali orang baru yang tidak tahu akan cerita ngeri tersebut. Seram bulu roma Fatimah mendengar cerita dari Pak Uteh. Sejak hari itu, perigi itu tidak lagi dijengah oleh Fatimah. Setelah itu, Pak Uteh telah memakunya dengan kemas dan meletakkan kembali batu bata besar di atas perigi itu seperti keadaan lama. Fatimah juga tidak sanggup lagi mandi di perigi itu mengenangkan apa yang terjadi pada dirinya.

•••

TAMAT.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now