Berhubung Dengan Alam Ghaib

1.7K 98 8
                                    

Cita cita untuk berhubung dengan alam ghaib ditambah lagi dengan melihatnya sendiri membuatkan adrenalinku membuak buak.

Peluang itu terbuka luas bila rakan permainanku 'Ajis' mengajak aku ke Melaka pada minggu hadapan.

Kami katanya akan berjumpa dengan seorang tua selaku penjaga di sebuah rumah berhantu. Disitulah kami akan dibukakan segalanya rahsia mistik alam. Huh!

Dalam tempoh seminggu ini aku mempersiapkan diri dari segi zahir dan batin. Setiap pagi selepas Subuh aku akan mula berlari dari Taman Matahari Indah dan berakhir di sebuah taman permainan di Taman Bandar Senawang N9.

Dan di taman permainan itu pula aku akan melakukan pelbagai senaman menguatkan tubuh. Syukur taman tersebut ada menyediakan pelbagai peralatan senaman. Tinggal kau rajin atau tidak sahaja.

Selepas maghrib pula aku akan berpencak silat. Berlatih beberapa gerak jurus tenaga dalam.

Kemudian di waktu pagi sekitar pukul 2 aku mula duduk bersila di bilik khas yang gelap bagi latihan kekuatan dalaman menggunakan amalan zikir yang mustajab sehinggalah subuh. Ada ketika aku bergadang terus.

Aku yakin aku sudah bersedia. Zahir dan batin. Berpakaian serba hitam lagak pendekar ke medan perang.

Bila tiba waktu dan ketikanya aku bersama 'Ajis' bergerak ke Melaka. Destinasi kami adalah tempat bernama Ayer Keroh.

Kami tiba awal. Solat maghrib dulu di sebuah stesen minyak. Malam itu suasana agak dingin. Sejuk menggigil walaupun tiada tanda mahu hujan. Aku mengambil sedikit tanah dan mula membaca ayat penggerak. Berkumat-kamit mulutku mengulang-ulang ayat . Dan seterusnya memulakan langkah. Ajis hanya memerhati sahaja.

Tiba di destinasi. Seorang tua berpakaian lusuh menyambut kami. Umurnya aku agak dalam lingkungan 60 tahun. Merah matanya memandang kami. Dan di bibirnya kelihatan sebatang curut tanpa api.

Orang tua tadi memulakan kata sambil menjegilkan matanya. "Apa benar anak berdua ini mahu melihat makhluk halus di rumah ini?" Ajis yang tadi berani tiba-tiba gelabah pula mengajak pulang. "Ah, pantang undur!" Kataku marah.

Orang tua tadi menambah kata. "Kalau begitu mesti ada pengerasnya. Pasti mujarab. RM20 sahaja untuk dua orang." Aku terus membayar pengeras tersebut. Tak sabar.

"Mulakan dengan nama Allah nak, jangan bimbang , kamu tidak akan diapakan. Lalulah di pintu ini dan teruskan saja perjalanan kamu. Nanti kamu akan didedahkan segala rahsia yang tersembunyi dari mata orang biasa." Orang tua tersebut membacakan sesuatu dan menghembus di kedua belah mata aku dan Ajis. Kami dihantar dengan ekor matanya yang tajam.

Berpinar pinar mata aku. Semasa melangkah masuk tiba-tiba bulu romaku merinding. Ajis pula memegang erat lengan kanan aku. Kacau betullah.

Tiba tiba hidungku menangkap bau yang sangat wangi. Rumah yang gelap ini hanya ada lampu samar-samar sahaja. Wanginya bau tadi hilang dengan bau yang sangat busuk. Aishh!

Ketika inilah aku terlihat di hadapan aku berdiri seorang wanita berbaju putih. Mukanya pucat dan nampak terbit darah dari kedua matanya. Rambutnya panjang mengurai tidak terurus. Mendepangkan tangan dan meluru ke arah kami sambil mengilai. Keadaan sedikit huru hara bila Ajis mula berlari lintang pukang meninggalkan aku .

Ketika itu jugalah bermacam macam lagi makhluk ini muncul. Semasa berlari sempat aku mengerling ke kanan. Aku nampak langsuir sedang terbang perlahan kearahku. Tali ususnya terjuntai kebawah mengalir darah. Itu belum lagi sepasang jenglot bermata merah liar mencari mangsa.

Ahhh akhirnya tewas juga aku, hilang semua kependekaran aku bila aku mula mengejar Ajis mencari pintu keluar.

1 jam 39 minit kemudian.

Semasa aku menghirup sup panas di sebuah warung tidak jauh dari situ. Aku perhatikan saja orang tua tadi sedang mengutip duit dari orang ramai sambil meniup mata mereka. Ceh!

Dari jauh kelihatan papan tanda besar. 'RUMAH HANTU EKSPO MELAKA'. DEWASA RM10.

HANTU betullah kau Ajissss..GRRRRR

•••

TAMAT.

MAAF KALI NI KITA BUAT LAWAK PULAK YE HAHAHA.Ye la asyik nak seram je bosan la hahahaha.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now