Mistik Tok Yie

1.5K 100 21
                                    

Khairi - atau lebih mesra dipanggil Tok Yie, adalah seorang pesara kerajaan  mencecah umur 73 tahun, tahun ini. Tok Yie dan isterinya, Kamsiah, memiliki tiga orang anak yang berkerja di sektor kerajaan juga. Ya, seperti Tok Yie juga langkah anak-anaknya.

Tok Yie tinggal di kawasan elit di Kuala Lumpur, sebuah perkampungan melayu di atas bukit; kebanyakan rumah-rumah disitu agam, biasa dihiasi pokok-pokok bunga kertas pelbagai warna yang merimbun. Oh, Tok Yie juga memegang pelbagai jawatan di kampung tersebut, juga aktif dalam macam-macam persatuan, Tok Yie tak mahu digelar kera sumbang, terima kasih.

Tok Yie dahulunya, seorang cikgu. Cikgu Matematik. Ada lagi yang terpanggil Tok Yie ‘Cikgu Yie’, tapi cepat-cepat dibetulkan Tok Yie. Bukan apa, waktu dia berkhidmat dahulu, boleh dikatakan tiap sekolah dia berkhidmat, dia terpilih jadi cikgu disiplin.

Zaman dahulu, setakat jerkah budak, rotan budak, gunting rambut budak, itu jadi asam garam Tok Yie. Dahulu, kalau dengar tapak kaki Tok Yie pun budak-budak dah diam. Cikgu Yie adalah karakter dirinya yang no nonsense. Jangan nak senyum-senyum gelak mengekeh dalam kelas Cikgu Yie, no, “I don't tolerate a bunch of bubbling, babbling band of baboons,” kata-kata keramat yang selalu diulang Cikgu Yie. Dalam kelasnya kena diam, kena fokus. Kletuk kletak kletuk kletak bunyi kasut kulit  hitam jenama Scholl Cikgu Yie, terus satu lorong kelas menikus diam.

Jadi, bila dipanggil Cikgu Yie, Tok Yie terasa janggal. Sekarang dia tak mahu marah-marah dah. Itu dahulu waktu dia muda. Dia mahu senyum-senyum, dia mahu bermanja dengan cucu kalau mereka balik sekali sekala, mahu ber’honeymoon’ sahaja dengan si Kamsiah. Nama manja Yah Ayang. Jarang-jaranglah Tok Yie panggil macam tu, kecuali waktu Siah merajuk. Bekas cikgu Sains itu pun boleh tahan rajuknya sekarang.

Baru-baru ini dia lupa menghantar Siah ke kelas Zumba, panjang muncungnya sedepa. Allah Tok Yie garu kepala beruban. Mujurlah mereka dapat berita gembira. Menantu Tok Yie selamat bersalin di Serdang. Tambah seorang lagi cucu perempuan. Suka benar si Kamsiah.

Malam itu sekembalinya Tok Yie dari surau, Tok Yie tengok Siah belum tidur lagi. Siah sedang melopong depan televisyen, berbaju kelawar oren hitam, sebakul baju tak terlipat disisinya. Tok Yie dalam mengah membuka pintu.

“Buat apa lagi neneknya, tak mengantuk ke?” Tok Yie membebel. Siah menjerit terperanjat.

“Omak kau kucing lembut!” latah si Siah. Tok Yie tercengang.

“Abang ni! Saya tengah tengok cerita hantu ni. Terperanjat saya!” ngomel Siah. Lagilah Tok Yie menggaru kepala. Takkanlah tak dengar dia buka pintu pagar, buka grill?

Tok Yie geleng kepala. Dia tersenyum-senyum melihat Siah yang kembali fokus. Cerita hantu ni sedap betul agaknya. Biasanya bukan Siah tengok TV, TV yang tengok dia. Tak sampai 10 minit dah ternganga tidur depan televisyen. Tok Yie mahu tengok jugalah. Jadi cepat-cepat Tok Yie capai sebalang kerepek di dapur, dan kembali ke ruang tamu.

Siah dia lihat kembali melipat baju. Iklan ubat gigi sedang bersiaran dengan lelaki tersengih girang ke kaca televisyen.

Balang kerepek diletakkan di sebelah Siah. Tok Yie duduk, dengan mata mengadap TV.
“Cerita hantu apa ni Siah?”

Siah meletakkan kain pelikat Tok Yie dengan rapi. “Cerita hantu Jepun atuknya. Sekolah berhantu.” muncung mulut Siah waktu menyebut ‘berhantu’.

Kisah kembali bersiaran. Tok Yie mencapai balang kerepek di sebelah Siah.

“Mana satu heronya Siah?”

“Itu ha, yang rambut panjang.”

“Yang itu?”

“Bukan. Itu perempuan. Ha, yang itu.”

Siah menunding jari ke arah seorang lelaki bermata sepet yang berambut hitam bergaya, mencecah kolar. Tok Yie mengangguk. Krup krap krup krap bunyi dia mengunyah kerepek.

“Oh heronya cikgu ya Siah?”

“Iya. Atuknya tengok je lah, banyak betul tanya.” ngomel Siah.

“Cikgu apa rambut macam Kpap ni?”

“Kpop atuknya. Bukan Kpap. Malu kat budak-budak muda kalau dengar.”

Diam sebentar. Krup krup krup Tok Yie memamah kerepek.

“Kenapa perempuan tu Siah?”

“Dia kena rasuk dengan hantu dah awal-awal tadi… Eh atuknya ini, tengok je lah! Kita nak fokus pun payah.” Siah membebel. Tok Yie ketawa mengekeh. Sesekali hantu berwajah pucat dengan mata terbelalak menjengah kaca televisyen. Siah mengangkat baju pagoda Tok Yie yang sedang dilipat separas kening. Sesekali dia mengintai.

“Awak faham ke kalau duk menyorok macam tu?”

“Ish. Abang tak takut ke?”

“Tak. Nonsense. No such things as ghost.” juih Tok Yie, mulutnya asyik mengunyah kerepek.

“Nanti dia kacau awak, baru tahu!”

“Give it a go then!” Tok Yie angkat kening.

Siah mencebik. Dia meneruskan lipatan baju dengan muka masam. Merajuk lah tu. Tok Yie tertawa, dia bangun menuju ke bilik. Baju melayu yang dipakainya mula rasa melekit.

Suis dibuka.

“Eh, abang bila balik?” Kamsiah terpisat-pisat di atas katil.

“Si… Siah?” Tok Yie terperanjat.

“Kenapa abang ni?” Siah berkata hairan.

“Bukan awak tengok TV kat depan tadi?”

“Tengok apa? TV apa? Lepas Isyak saya terus tidur bang. Penat petang tadi berzumba.” Siah berkata hairan.

Muka Tok Yie pucat. Segera, ruang tamu dijengah dari biliknya.

Yang ada di ruang tamu, cumalah sebiji bakul baju yang masih belum berlipat, dan televisyen yang terpasang, sunyi.

Yang buat Tok Yie makin seram, bukankah Kamsiah di Serdang sekarang? Menantu Tok Yie kan baru bersalin?

Tok Yie dengar tilam berkeriuk berbunyi, seperti ‘Kamsiah’ cuba bangun menghampiri Tok Yie di pintu. Tanpa berpaling ke belakang, Tok Yie lari lintang pukang.

Malam itu, kampung elit tersebut heboh. Cikgu Yie disampuk!

●●●

TAMAT.

Koleksi Kisah SeramWhere stories live. Discover now