"Puan nak cabut ke akar gigi yang tinggal ni?" soal aku perlahan. Sebut sahaja perkataan cabutan, boleh meremang satu badan. Maka, pemilihan intonasi dan cara bertanya mesti kena dengan cara.
"Er. Er. Doktor. Tak salahkan saya simpan, tak pernah sakit pun." - wanita separuh umur itu cuba menafikan cadangan yang diberikan.
"Ya puan. Sekarang tak sakit. Tapi keadaan tunggul ni dah membengkak. Kalau kita tak cabut awal, nanti ditakuti ada jangkitan, membengkak dan bernanah. Agak bahaya."
Aku menerangkan dengan agak panjang lebar. Jika tiada pesakit, agak panjang juga aku berceloteh memberikan nasihat. Tetapi jika pesakit terlalu ramai, nasihat yang diberikan hanyalah sekadar maklumat ringkas dan padat.
"Emm. Tak yah la doktor. Mak cik datang ni saja-saja je. Nak buat gigi palsu. Buat gigi palsu je la!” tegas wanita Melayu itu.
"Tak boleh puan. Kalau ada gigi tak cabut, kita buat gigi palsu, boleh menyebabkan gigi palsu tak terletak betul-betul di atas gusi. Selain itu, sisa makanan juga boleh melekat di tunggul tadi, dan risiko jangkitan macam saya terangkan tadi."
"Macam-macam la doktor ni. Saya minta apa. Buat je la!"
Aku tersenyum. Kenangan 2 tahun lalu tiba-tiba muncul.
----
Titisan peluh kecil mula berkumpul di tapak dahiku. Sudah setengah jam aku cuba mengeluarkan tunggul gigi geraham di bahagian bawah.
Pelik. Selalunya jika struktur gigi yang reput begini agak senang dicabut. Sekadar menggunakan Forceps akar atau menggunakan Coupland sahaja sudah memadai.
Tapi berlainan untuk kes kali ini. Letih.
Forceps akar aku kepit, aku cuba tarik.
Hampa. Sedikit pun tidak bergoyang. Sisa rapuh gigi juga tidak langsung pecah atau retak.
"Kak, ambil saya Coupland size 2," aku meminta kepada DSA (Dental Surgery Assistant/ Pembantu Pembedahan Pergigian) Liza.
Coupland size 2 dituil kiri dan kanan.
Masih tiada apa-apa pergerakan.
Sudah setengah jam aku menggodek-godek akar gigi. Belakang badan aku mulai lencun dengan peluh.
Jam dinding aku kerling sebentar. Sudah 4.00 petang.
Nasib aku baik. Pesakit hari ini kurang dan ini merupakan pesakit terakhir. Aku sedikit lega.
"Encik, saya cuba cabut gigi ni tapi susah sikit. Tak ada goyang langsung gigi ni. Saya cuba sikit lagi. Kalau tak dapat, kita ambil X-ray ye.""Baik doktor."
Sarung tanganku digantikan dengan yang baru. Sarung tangan tadi sudah dipenuhi darah pekat yang penuh membasah, menimbulkan rasa licin dan kurang selesa.
Sambil aku menyarung sarung tangan tadi, mata aku menatap cermin di sinki, pantulan imej pesakit jelas di pandanganku.
Di dalam pantulan cermin, terdapat aku, yang duduk agak jauh. Kedua, Pembantu Pembedahan Pergigianku, DSA Liza yang berdiri di sebelah kiri pesakit. Ketiga, pesakit yang sedang berbaring sambil mulut dibukakan separa.
Tetapi… Muka aku berpeluh kembali. Akan tetapi, kali ini peluh yang didatangi dengan perasaan seram dan menakutkan.
Ya. Ada imej keempat. Imej pantulan keempat, seorang perempuan berambut panjang menutupi hampir keseluruhan muka. Susuk tubuh keempat ini sedang bertinggung sambil kepalanya diusap berulang-kali di atas dada pesakit. Sesekali lidahnya dijelirkan, lalu dijilat ke dalam mulut pesakit, mencari tunggul yang aku cuba cabut.
Pandangan aku dialihkan dari cermin dan memandang tepat ke arah pesakit.
Gulp!
Terasa pahit air liur yang ditelan. Perempuan berambut panjang tadi masih berbantalkan dada pesakit sambil dijegilkan mata. Tepat memandang anak mataku.
Seram sejuk. Menggigil kedua belah kakiku.
"Encik. Encik nak cabut lagi ke?" Tanya aku, sambil berdoa agar pesakit berhasrat untuk memberhentikan rawatan.
"La, tadi doktor yang sarankan saya cabut. Macam mana ni?"
"Tak ada apa-apa. Saya takut encik letih. Esok boleh sambung," ujar aku sekadar berbasa-basi.
"Kihkihkih! Kau nampak aku manusia! Usah berpura-pura lagi!"
Suara sosok perempuan tadi mengilai sederhana kuat. Tapi cukup menggentarkan hatiku sebagai manusia.
"Doktor, tercongok apa tu, nak pukul lima dah. Tunggu apa lagi?"
"Ok. Ok. Saya sambung."
"Encik Azlan, Kak Liza. Sila selawat," aku beri arahan. Tegas.
Allahumma Solli 'Ala Muhammad Wa 'Ala Ali Muhammad.
Lafaz selawat berulang-kali dibaca tanpa banyak dipersoalkan.
Arghhhh!!! Kau kacau makanan aku! Tempat tinggal aku doktor celaka!
Suara jeritan bingit kali ni diabaikan. Aku terus menyambung sesi cabutan. Sekali dua gerakan..
Alhamdulillah. Akar gigi tadi keluar.Akar gigi yang telah dicabut lalu diletak di dalam tray besi. Alhamdulillah.
Aku berbisik sendiri. Jauh sudut hati, aku rasa lega. Pesakit pun mula tersenyum.
"Kenapa doktor suruh kami selawat tadi? Nampak hantu?" soal Puan Liza.
"Ala, untuk mudah cabutan la," aku cuba berdolak-dalih.
Sebelum aku menuju ke sinki untuk membasuh tangan, aku sempat menjeling ke arah akar gigi yang telah dicabut.
Slurrpp.. Slurrpp.. Slurrpp..
Perempuan berambut panjang masih enak menjilat saki-baki darah yang bersisa di permukaan akar gigi. Matanya buntang menjeling ke arahku.
Thanks doctor!
----
Lamunanku terhenti.
"Macam mana puan. Nak cabut tak?" -aku meminta kepastian dari pesakitku hari ini.
"Apa lagi kesan kalau tak cabut tunggul gigi ni doktor?""Kalau dari segi saintifik, macam yang saya terangkan tadi la. Tapi..." -ayatku terhenti seketika.
"Tapi apa doktor?"
"Tapi satu je saya nak cakap, syaitan iblis suka benda-benda kotor ni. Tu je la."
Aku tersenyum nipis sambil menganggukkan kepalaku.
“Tahyul la doktor ni. Belajar tinggi-tinggi! Percaya benda mengarut macam ni!” –perempuan tadi meninggikan suara, sambil mencebikkan bibir.
“La, saya nasihat guna maklumat saintifik, puan tak nak dengar. Saya cakap hal-hal macam ni pun puan kata saya tahyul. Islam sendiri menyuruh kita menjaga kebersihan mulut tau,” tegur aku lembut.
“Huh! Susah dapat doktor macam ni!” bentak wanita tadi sambil berlalu meninggalkan bilik surgeriku.
Aku tersentak dengan ayat terakhir wanita tadi. Tapi itulah lumrah kami sebagai pekerja kesihatan. Ada yang memuji, tak kurang juga mengherdik dan mengkeji. Yang penting aku dah memberikan nasihat sebaiknya, yang lain terserah kepada pesakit itu sendiri.
“Doktor Jie. Doktor Jie,” panggil DSA Herdy.
“Ya, Herdy. Kenapa pucat ni?” soal aku kehairanan.
“Doktor punya pesakit tadi kan? Yang marah-marah tu?”
“Ya, patient aku. Apsal?”
“Kenapa makcik tu kendong perempuan rambut panjang, kusut-masai! Macam han..”
“Dah Herdy. Jam pun 10 minit lagi nak punch card. Jom!”
●●●
Kalian pembaca ada tunggul gigi atau gigi rosak teruk dalam mulut? Kebersihan mulut betul-betul terjaga ke? Aku bukan nak ajar percaya benda tahyul, tapi.. Syaitan dan iblis tu wujud dan sukakan tempat kotor. Tak mustahil perempuan rambut panjang sedang menjilat-jilat rongga mulut anda! Anda takut doktor gigi atau perempuan rambut panjang? Renung-renungkanlah..
YOU ARE READING
Koleksi Kisah Seram
Terror20% benar 20%pengalaman 60% rekaan Takut?tapi nak baca jugak?Itu masalah anda bukan masalah saya...jangan baca dalam bilik sorang diri nanti ada yang ikut sama membaca.Itu atas risiko anda sendiri. Ok tu je nak pesan.