"Setiap kelas dibenarkan untuk mendekorasikan bilik darjah mengikut kreativiti masing-masing. Guru kelas sila pastikan para pelajar membuat kerja dan tidak bermain-main. Para pelajar boleh pulang pada pukul 2.30 petang hari ini. Sekian. "
Seusai pemberitahuan yang disampaikan melalui speaker yang dipasang di dalam kelas, kelas 5 Sains mula berkemas untuk menjalankan aktiviti misi menghias kelas mereka menggunakan alatan dan bahan yang mereka simpan tempoh hari.
Puan Balqis yang bakal memantau kerja mereka tidak ketinggalan mencurahkan idea beliau bagi memudahkan tugasan anak muridnya. Setiap pelajar diberikan tugas tersendiri tak ketinggalan juga dengan ketua kelas dan penolong ketua kelas 5 Sains.
"Alfi! Apa benda ni?! " Awani menunjuk alatan di tangannya kepada Alfi.
Muka Awani jelas menunjukkan yang dia tidak berpuas hati dengan tugas yang diberikan padanya. Alfi tayang muka sepuluh sen.
"Itu cat dan berus. Kau tak tahu ke? Sedihnya... " Komen Alfi yang tak membantu Awani sama sekali.
Kaki Alfi diinjak Awani tanpa belas kasihan. Terjerit-jerit lelaki itu dibuatnya.
"Apa kena dengan kau ni, perempuan gila?!" Marah Alfi yang terduduk sambil memegang kakinya yang berdenyut-denyut.
Mujurlah mereka kini hanya berdua di dalam stor kelas yang hanya dilindungi dengan pintu kayu. Jadi suara jeritan Alfi yang nyaring tidaklah terdengar sampai ke luar melainkan ada rakan sekelas mereka yang berhampiran dengan bilik itu. Awani mendengus.
"Malas aku nak layan kau ni. Perangai kalah cipan." Awani berlalu keluar dari situ bersama-sama dengan berus serta cat berwarna putih di tangannya.
Kalau boleh jujur, dia teramat geram sekarang. Alfi mengagihkan tugasan menghias kelas sesuka hatinya sahaja tanpa berbincang dengannya terlebih dahulu. Rakan sekelas yang lain dapat memilih tugas apa yang mereka mahukan kerana mereka sendiri yang meminta dari Alfi dari awal dan mana yang tidak tahu hendak membuat apa, Alfi yang akan tetapkan.
Mana Awani tahu yang mereka menetapkan tugasan itu melalui Whatsapp group sedangkan dia hanya memeriksa telefon bimbit jika ada keperluan. Lagi pula, mereka berbincang mengenai hal itu pada waktu tengah malam semalam dan Awani semestinya sudah tidur ketika itu. Akhirnya, yang tinggal untuknya hanya tugas mengecat dinding yang sepatutnya diberikan pada budak lelaki.
Bertekak dengan lelaki itu pun sudah tiada gunanya sekarang. Pelajar 5 Sains sudah mula menjalankan tugas mereka mengikut kumpulan masing-masing dan hanya dia yang merungut perihal tugasnya. Awani mengeluh pasrah. Diteliti seisi kelas untuk mencari kumpulannya.
"Awani. Sini. "
Tengku Naufal Haziq yang sedang melipat lengan baju pengawas pusat sumbernya memanggil Awani dari sudut kelas. Hati kecil seorang gadis sepertinya tercuit apabila melihat Tengku Naufal memakai apron. Dia tersenyum kecil sambil menghampiri kumpulan lelaki yang terdiri daripada 6 orang itu.
Segala peralatan mengecat di tangan Awani diambil oleh Tengku Naufal lalu diletakkan bersebelahannya. Awani terharu dengan kelakuan lelaki itu terhadapnya. Dia meniru gaya Tengku Naufal yang sedang duduk bertinggung.
"Thanks. " Ucap Awani berterima kasih.
"Hm? Welcome. " Balas Naufal yang menghadiahkan senyuman kacak pada penolong ketua kelas mereka.
Awani tekun melihat bagaimana Tengku Naufal dengan berhati-hatinya mengecat dinding kelas dengan warna hitam. Langsung tak terkeluar daripada garisan yang dilukis dengan pensel itu. Kagum Awani dibuatnya.
"Awani. Kau boleh mula cat dari sini. "
Awani mendongak apabila namanya dipanggil. Kamal yang memanggilnya tadi. Awani memandang Tengku Naufal seketika dengan muka resah.
"Ada masalah ke? " Tengku Naufal berhenti mengecat apabila perasankan Awani yang seperti cacing kepanasan.
"Cat ni. Penutup dia ketat sangatlah. Aku tak boleh nak buka. Macam mana nak cat kalau macam ni? " Awani menjuihkan bibir ke arah cat bertong putih di sebelahnya.
Tengku Naufal menyerahkan berus cat ditangannya kepada Awani. Dalam sekelip mata, penutup cat itu dibuka dengan mudahnya oleh Tengku Naufal. Awani bertepuk tangan secara spontan.
"Wow..." Seru Awani penuh kekaguman.
Tengku Naufal tersenyum kecil dengan tingkah polos Awani. Cat itu kemudiannya dituang ke dalam sebuah papan untuk memudahkan kerja mengecat si gadis . Lalu, berus yang belum digunakan diberikan pada Awani manakala berusnya tadi diambil kembali dari tangan Awani.
"Pergilah cat dekat sana dulu. Bawa cat ni sekali. Senang. " Arah Tengku Naufal dengan nada lembut. Awani mengangguk patuh seperti budak kecil. Tengku Naufal tergelak dengan perlakuan Awani itu.
Anak mata Tengku Naufal mengikuti langkah Awani yang menghampiri Kamal buat seketika. Apabila dilihatnya Awani sudah mula mengecat, barulah dialihkan tumpuannya pada aktiviti mengecatnya yang tertangguh.
"Siapa lukis garisan zig zag ni, Kamal? Lawa lah..." Mata Awani bersinar-sinar melihat garisan zig zag yang simetri dan tidak cacat sedikitpun itu. Macam mana diorang lukis benda ni?
"Siapa lagi yang ada penyakit OCD dalam kelas ni selain mamat cina tu? " Kamal mengerling Xiao Liu yang fokus melukis garisan zig zag dengan pembaris panjang. Berkerut-kerut dahinya ketika menggaris pada permukaan dinding yang tidak rata dan kasar.
"Kenapa Xiao Liu pegang protaktor? " Tanya Awani pelik. Sudahlah besar protaktor yang dipegang Xiao Liu tu. Dapat dari cikgu matematik ke beli sendiri masa shopping hari tu?
"Dia kira sudut tepat garisan condong ke atas dan ke bawah. Kalau dia tak guna proktator, nanti garisan dia tak sama. Dia ambil sudut 32 darjah dan garisan sepanjang 30 sentimeter untuk satu garisan. Gila kan? " Provok Kamal dengan kening yang terangkat.
Awani tersenyum sumbing. Kelakar dengan kata-kata Kamal yang selamba tu. Ikut suka hati dia sahaja mengutuk Xiao Liu yang sudah panas telinga dari tadi. Bukan Awani tak nampak jelingan tajam yang diberikan Xiao Liu pada Kamal yang sibuk berborak dengan budak lelaki lain.
Tanpa membuang masa lagi, Awani mula mengecat garisan zig zag yang dilukis Xiao Liu dengan berus cat ditangannya. Warna yang diberikan padanya adalah warna putih sementara warna cat Tengku Naufal ialah hitam.
Mereka mengecat dinding di sebelah kiri kelas sementara yang lain mengecat dinding bertentangan mereka dengan warna merah cair dan perang. Lukisan di dinding itu juga dibuat zig zag oleh Xiao Liu selepas dia selesai melukis di bahagian sini.
Sungguh mewah warna-warna cat yang dipilih rakan sekelas Awani. Tak terjangkau dek akal fikirannya untuk memilih warna-warna ini sebagai tema kelas mereka. Awani akui, rakan sekelasnya memang kreatif.
Dari atas tangga, Alfi tersenyum penuh makna apabila melihat interaksi antara Awani dengan ahli kumpulan mengecat kelas. Dia sangkakan Awani akan membentak lalu tidak mahu menjalankan tugas yang diberikan padanya, tetapi jangkaan Alfi meleset setelah melihat Awani mampu bergaul dengan baik dengan budak-budak lelaki itu.
'Kalau dia berkeras tak nak cat dinding, aku boleh je suruh dia balut meja atau tampal bahan dekat papan kenyataan. Tapi dia tak kata apa, kira dia okay lah tu... ' Monolog Alfi seraya mengangkat bahu tak peduli.
"Hoi, Alfi! Cepatlah pasang langsir ni! Lenguh tangan aku hulur kain langsir ni dari tadi! Kau berangan apa, hah?! "
Jerkahan dari bawah tangga yang dinaiki Alfi hampir sahaja membuatkan lelaki itu hilang keseimbangan dan jatuh ke bawah. Mujurlah dia sempat menahan tangannya pada kaki tangga. Kalau tidak..
"Kau ni pun agak-agaklah kalau nak marah aku, Uzma! Aku masih duduk atas tangga kan?! " Marah Alfi balik sambil menjegilkan biji mata kepada Uzma di kaki tangga. Aksi jeling-menjeling mula berlangsung antara dua manusia berlawanan jantina di tengah-tengah kesibukan mereka menghias kelas.
Awani yang mendengar bunyi pekikan dan tawa rakan sekelasnya yang datang dari belakang tidak mengendahkan hal itu dan terus melakukan tugas mengecatnya yang masih belum siap. Dia terlalu sibuk untuk mengambil kisah perihal orang lain yang tidak penting baginya. Awani, si gadis antisosial...
To be continue .
YOU ARE READING
Penolong Ketua Kelas
Teen FictionPada mulanya, Awani Safiah tidak terlalu kisah apabila dirinya dilantik menjadi penolong ketua kelas. Tetapi, apabila Mohamad Alfi yang menjadi ketuanya, Awani jadi kisah! Tak ingin dia berdampingan dengan lelaki kerek yang hanya tahu mengarah tu! N...