Bab 37

240 28 0
                                    

Awani melabuhkan punggung di atas sebuah kerusi kosong yang tidak bertuan. Tudung hitam yang dipakainya dikibas supaya rasa panas yang meruap ke lehernya sedikit reda. Sesekali itu dia melihat ke arah khemah rumah sukan yang penuh dengan para pelajar.

Sedang dia ralit melihat peserta larian 4 kali 400 meter memanaskan badan, bahunya ditepuk dari belakang. Awani mendongak menatap si penganggu. Wajah kemerahan Izlyn terpancar di matanya.

"Weh, penat! Gila duh Cikgu Idrus tu! Ada ke patut dia suruh kita yang perempuan ni angkat berkotak-kotak air mineral yang berat tu! Memangnya sekolah ni takde budak lelaki ke?" Izlyn menghamburkan kemarahannya setelah mengambil tempat di kerusi bersebelahan Awani.

Gadis yang selalunya bertocang kuda itu kini mengikat rambutnya menjadi sanggul nyonya. Kelihatan jelas peluh jernih mengalir turun dari leher hingga ke dadanya yang dilindungi oleh baju berlengan panjang berwarna merah.

Tangan kanan Izlyn sibuk mengipas wajahnya dengan kipas tangan yang entah dari mana dia dapat. Tak berapa lama kemudian, kipas itu dirembat oleh seseorang dari arah belakang. Awani dan Izlyn serentak menoleh untuk melihat gerangan orangnya.

"Ikut suka kau je rembat kipas aku! Penat aku tanya semua orang mana benda alah ni, rupanya ada dekat kau? Buang masa aku je pergi dekat setiap khemah!" Zunirah yang memakai cap berwarna biru gelap mengetuk kepala Izlyn dengan kipas di tangannya.

Izlyn mengaduh kesakitan namun masih tidak serik dimarahi. Tangan mulusnya cepat sahaja bergerak menanggalkan cap yang dipakai Zunirah dan meletakkannya di atas kepalanya sendiri. Awani yang melihat telatah mereka itu hanya ketawa kecil kerana geli hati.

"Kenapa korang datang sini? Ini kan khemah rumah hijau. Nanti cikgu cari korang macam mana?" Awani bertanya setelah tawanya reda.

Zunirah yang kecil menyelit di antara Awani dan Izlyn. Berhimpitan mereka bertiga di atas dua buah kerusi plastik itu. Izlyn yang malas bertengkar hanya membiarkan sahaja kelakuan tak matang Zunirah itu dan kembali berbual dengan Awani.

"Aku lari dari Cikgu Idrus tu lah! Dia tu pantang betul bila nampak aku duduk rehat. Mesti ada je dia suruh aku buat apa-apa nanti. Apa yang dia tak puas hati dengan aku hah?" Luah Izlyn yang masih geram dengan guru lelaki yang bermisai lebat itu. Setiap tingkah lakunya mesti ada sahaja yang tak kena di mata guru tersebut. Naik rimas dia dibuatnya!

"Alah, ni mesti sebab dia dengki dengan kau lah. Kan pertandingan debat yang kau masuk bulan lepas tu, kau menang. Tapi pasukan debat yang dia hantar tu kalah. Mestilah dia tak puas hati!" Tukas Zunirah melontarkan buah fikirannya.

Awani yang mendengar mengerutkan dahi begitu juga Izlyn. Masuk akal ke?

"Apa kau merepek ni? Aku masuk pertandingan debat bahasa Melayu lah. Yang dia hantar tu pasukan debat bahasa Inggeris. Mana sama tahap?" Bidas Izlyn kembali tidak setuju dengan kenyataan Zunirah. Zunirah mencebikkan bibir.

"Aku cuma bagi pendapat aku je."

Zunirah berpeluk tubuh sambil bersandar pada Awani yang sedang meneguk air mineral. Kepala Zunirah yang berada di bahu Awani dijadikan sebagai tempat Awani merehatkan dagunya. Izlyn yang sedikit cemburu dengan keakraban kedua gadis itu ikut bersandar pada Zunirah. Pipinya dilabuhkan ke atas bahu Zunirah yang sedikit rendah darinya itu.

Dari kejauhan, mereka bertiga sudah kelihatan seperti buku-buku yang tersusun di perpustakaan yang bersandar antara satu sama lain secara menyerong dan Awani sebagai penahannya supaya mereka tidak jatuh. Mata-mata pelajar lain yang melihat ke arah mereka tidak dihiraukan.

Keheningan melanda. Hanya bunyi hiruk-piruk pasukan sorak rumah sukan sahaja yang kedengaran mengisi keterdiaman mereka. Namun tak lama apabila Zunirah tiba-tiba mengangkat kepalanya. Memaksa Izlyn untuk keluar dari zon nyamannya kerana kepalanya ikut sama terangkat.

Penolong Ketua KelasWhere stories live. Discover now